-->

Friday, October 14, 2011

KEADAAN DUNIA ISLAM DAN KEPENTINGANNYA- Abul A’la Al-Maududi

Saudara-saudara yang mulia !!

Perkara yang pertama yang harus anda semua ketahui ialah Dunia Islam terbahagi
kepada dua jenis: 

Jenis pertama :
Negara di mana orang-orang Islam merupakan kumpulan minoriti dan tampuk
pemerintahannya berada di tangan orang lain (bukan Islam).

Jenis kedua :
Negara yang majoriti (sebahagian besar) penduduknya terdiri dari orang-orang Islam
dan mereka sendiri menerajui pemerintahan.

Tidak perlu dibincangkan lagi bahawa kelompok yang kedua ini lebih penting dari kelompok yang pertama  mengikut ukuran biasa. Kerana nasib umat Islam di dunia ini benar-benar bergantung di atas maju atau mundurnya kelompok kedua ini, berdasarkan sistem yang dipilih untuk diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat.

Ini bukan bererti saya menafikan kepentingan kelompok yang pertama, malahan saya memberi perhatian khusus untuknya, kerana dengan wujudnya orang-orang yang beriman dengan satu akidah, satu fikrah dan satu sistem hidup yang berada di segenap penjuru alam ini, yang bilangan mereka ratusan ribu, malah lebih  banyak, itulah sebenarnya sebesar-besar wasilah dan sekuat-kuat pendorong untuk membakar semangat orang-orang yang beriman dengan akidah, fikrah dan sistem tadi supaya hidup secara praktikal dan meninggikan panjinya.

Tetapi apabila akidah, pemikiran dan dakwah tadi telah kalah dalam kandang sendiri atau kedudukan terhina maka sudah terang orang-orang mukmin yang bertaburan disana sini di segenap pelusuk alam tidak akan di tanggung oleh bumi dan diteduhi oleh langit hingga sesuatu masa yang tidak dapat ditentukan, dan ianya bukan pendek pula.

Oleh kerana itu tidaklah salah kalau saya katakan:
Bahawa masa depan yang akan dihadapi oleh umat Islam di dunia ini adalah terletak di atas bahu negara-negara Islam itu sendiri. Kawasan negerinya luas, dari Indonesia dan Malaysia di sebelah timur hinggalah ke Morokko dan Nigeria di sebelah barat. Ini adalah berdasarkan fikiran yang logik dan sebab-sebab yang boleh dilihat. Ada pun jika di sana jika berlaku perkara yang menyalahi adat, yang luar dari batasan
kekuasaan kita maka itu bukanlah perkara yang mustahil, kerana Allah berkuasa memancarkan air dari batu yang keras, berkuasa menukar padang pasir yang kering tandus menjadi kebun-kebun yang indah, segar bugar, suka mata memandang. Maha
Suci Allah Tuhan memiliki segala sesuatu dan Dia Maha berkuasa atas segalanya2. Mengikut apa yang kita bayangkan tadi bila membicarakan tentang masa depan umat Islam, kita katakan: bahawa masa depan mereka bergantung dengan masa depan negara ummat Islam sendiri, samada baik atau buruknya.
Sekarang kita ingin kemukakan:
- apakah keadaan yang sedang berlaku di negara-negara ummat Islam hari ini ?
- apakah sebab dan faktornya ?
- dan apakah cara dan metod yang mesti diikuti oleh orang-orang yang berkerja keras untuk membela nasib umat Islam ?
Di antara perkara yang diketahui oleh kita semua wahai saudara-saudaraku bahawa pada akhir-akhir ini negara Ummat Islam telah jatuh ke dalam genggaman penjajah setelah ianya ditimpa oleh kemerosotan fikiran, kebekuan akal, keruntuhan moral dan kekacauan politik.

Pada abad ke 18, penjajah telah memacakkan tongkat penjajahan mereka di negara negara Islam dan dapat mencapai maksudnya pada awal abad ini. Penjajah telah dapat menguasai kebanyakan negara-negara Islam kecuali sedikit. Negara yang tidak dijajah secara langsung ini pula sentiasa menerima kekalahan demi kekalahan menyebabkan ianya tidak berbeza dari segi kehinaan dibanding dengan suasana yang menimpa negara-negara Islam yang dijajah penuh. Mereka merasa serba kekurangan dan lebih
gerun kepada penjajah dari negara-negara yang kemerdekaannya dirampas sepenuhnya. 
Seburuk-buruk kesan yang kita terima dari serangan penjajahan barat ini ialah jatuhnya kita ke dalam lembah kehinaan yang amat ketara dari sudut kelemahan fikiran, keruntuhan moral dan peniruan kebudayaan barat.
bersambung..............
 Abul A’la Al-Maududi

Hai, thank you for visiting my blog. Hope my sharing gives some good info and benefit for you. Do drop some comments bellow to share your thought and share this article with your circle ke.

0 comments:

Post a Comment

Subscribe Us


Start Work With Me

Contact Us
KAIZAN NAZLAN
+60194501495
Kuala Lumpur, Malaysia