-->

INSPIRASI HIDUP LUAR BIASA

I AM

image
Hello,

I'm Kaizan Nazlan

Saya adalah seorang penulis, penceramah, dan juga merupakan seorang usahawan yang struggle membina kejayaan hidup. Saya percaya dengan ilmu kita pasti beroleh kejayaan hidup, dengan ilmu kita akan menjadi orang menang, dengan ilmu kita bakal meninggalkan legasi dengan hasil kejayaan yang memberi manfaat kepada ramai.

My Perjuangan saya adalah membina dan mengembangkan perniagaan yang boleh memberi nilai tambah kepada ramai. Perjuangan saya adalah untuk menyampaikan ilmu dan memberi inspirasi kepada orang ramai melalui penulisan blog ini, penulisan buku, dan perkongsian di pentas ceramah.


Education
University of Technology Mara (UiTM)

Diploma in Business Management

University of Technology Mara (UiTM)

Degree in Marketing Management

University of Life

Mastery of Life


Experience
Land Developer

Marketer, Ombak Murni Sdn Bhd

Project Management

UWAIS Academy Plt

Project Manager

Enzack Bina Development


My Skills
Writing
Training
Leadership
Marketing

764

-

1664

-

2964

-

1564

-

WHAT AM I OFFERING?

Self Empowerment Talks

"Bicara Inspirasi" berkongsi kisah-kisah kejayaan dan kunci-kunci digenggam menjadi orang luar biasa

Financial Management Talk

Bicara soal pengurusan kewangan diri dengan modul "Bijak Mengurus Wang"

Business Talk

Berkongsi ilmu, teknik dan cerita membina, mengurus dan mengembangkan perniagaan dengan modul "Wise Entrepreneurship"

Books Writer

Kuasa Aliran Wang, Budak Kelas Belakang, Travelog Usahawan Muda, Sayonara Kampung Baru

-

-

-

-

SOME OF WORK

Zaynab Al Ghazali - Kisah Seorang Mujahidah

Zaynab al-Ghazali bukanlah seperti wanita biasa. Seperti Aisha Abdul Rahman, beliau merupakan rakyat Mesir dan mempertahankan hak-hak wanita Islam berdasarkan apa yang diyakini beliau sebagai fahaman Islam yang betul. Beliau dilahirkan di Al-Bihira pada tahun 1917 di dalam keluarga yang terhormat, keturunan Umar al-Khattab dan al-Hasan bin Ali bin Abi Talib. Ayah beliau juga merupakan lulusan al-Azhar. Beliau lebih terkedepan sebagai pejuang dan aktivis Islam daripada seorang yang ulama’. Sewaktu mudanya, beliau aktif dalam pergerakan feminis, dan menyertai Kesatuan Wanita Mesir (Egyptian Feminist Union) yang diasaskan oleh Huda as-Syarawi pada tahun 1923. Beliau telah keluar daripada persatuan itu disebabkan tidak bersetuju dengan idea dan landasan perjuangan gerakan pembebasan wanita. Pada umur 18 tahun (1936), beliau mengasaskan Persatuan Wanita Islam untuk menguruskan hal-ehwal dan akitiviti-aktiviti wanita berlandaskan ajaran Islam dan tujuan ke arah Islam.

Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hasan al-Banna pada 1928 mempunyai perancangan untuk mengasaskan sayap wanita di dalam pertubuhannya. Hasan al-Banna telah meminta beliau untuk mengetuai bahagian wanita dalam Ikhwan Muslimin. Beliau dan persatuannya menolak tawaran ini tetapi menyatakan persetujuan untuk memberikan kerjasama. Setelah Ikhwan Muslimin dibubarkan pada tahun 1948, Zaynab al-Ghazali telah berbaiah kepada Hasan al-Banna pada tahun 1949 untuk menyokongnya dan bersama memperjuangkan sebuah daulah Islam. Malangnya Hasan al-Banna telah gugur syahid tidak lama setelah itu. Kesedihan hati Zaynab telah tercoret dalam bukunya yang masyhur, Hari-hari Dalam Hidupku. Beliau menyambung perjuangan dan mengotakan baiahnya kepada pemimpin Ikhwan Muslimin yang menggantikan Hasan al-Banna iaitu Hasan al-Hudhaibi. Beliau menyertai dan bersama dengan ahli Ikhwan Muslimin terutama apabila Ikhwan Muslimin diharamkan dan mereka terpaksa bergerak secara rahsia di bawah pemerintahan Jamal Abdul Naser sekitar tahun 1950-1960an.

Dalam satu temuramah dirumahnya di Heliopolis, Mesir pada tahun 1981, Zainab al-Ghazali berkata:
“Islam telah menyediakan segala-galanya untuk lelaki dan perempuan. Islam memberikan wanita semuanya-kebebasan,hak ekonomi,hak politik,hak social, hak awam dan juga hak persendirian. Islam telah memberikan hak-hak wanita di dalam keluarga lebih daripada persatuan dan agama lain. Wanita boleh berkata tentang kebebasan wanita dalam masyarakat Kristian,Yahudi dan juga masyarakat pagan, tetapi dalam masyarakat Islam adalah satu kesilapan besar untuk berkata tentang kebebasan wanita. Wanita Muslim perlu mempelajari Islam supaya mereka tahu Islam telah memberikan mereka semua hak-hak mereka.”

Inilah intipati pemikiran Zainab al-Ghazali berkenaan dengan status wanita seperti yang selalu diluahkan dan disampaikan beliau dalam ceramah-ceramah beliau dan juga karya-karya beliau di dalam majalah al-Da’wa, dimana beliau merupakan editor sebuah ruangan untuk pembangunan rumah tangga Muslim yang sebenar. Perkara utama dalam perjuangan beliau adalah pentarbiyahan, iaitu untuk memberi kefahaman Islam di dalam pemikiran wanita, mendidik mereka tentang hak-hak dan tanggungjawab mereka dan mengubah masyarakat untuk membina sebuah daulah Islamiah yang berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Zainab al-Ghazali meyakinin bahawa Islam membenarkan wanita untuk bergiat aktif dalam hal social, memegang jawatan, memasuki politik dan juga memberi pendapat. Beliau percaya Islam membenarkan wanita memiliki harta, menguruskan perniagaan dan apa sahaja yang mereka mahu dalam perkhidmatan masyarakat Islam. Beliau berpendapat tugas utama wanita Muslimah ialah menjadi ibu dan isteri. Oleh itu, tiada tanggungjawab lain yang boleh mengatasi tanggungjawab ini. Jika wanita itu mempunyai masa luang untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan setelah tugasnya sebagai ibu dan isteri telah dipenuhi, maka dia boleh berbuat demikian kerana Islam tidak melarang perbuatan tersebut.

Zainab al-Ghazali sangat meyakini tanggungjawab agama dan social apabila berkahwin. Pada perkahwinan beliau yang pertama, suami beliau tidak bersetuju untuk membenarkan beliau bergiat aktif dalam perjuangan Islam. Dengan sebab itu, beliau telah meminta cerai daripada suaminya kerana pra-syarat yang diletakkan oleh beliau sebelum berkahwin adalah membenarkan beliau memperjuangkan Islam. Suami beliau yang kedua memahami semangat dan gagasan perjuangan beliau dan melibatkan diri dalam penulisan untuk menyokong beliau dan sama sekali tidak menghalang beliau dari perjuangan. Didalam buku ‘Hari-hari dalam Hidupku’ (Ayyam min Hayati) beliau mengisahkan bagaimana suami beliau walaupun sangat bimbang akan diri beliau tetapi terus menerus menyokong perjuangan suci beliau. Zainab al-Ghazali juga menekankan beliau tidak akan mengabaikan tanggungjawab kepada suami dan keluarga beliau walaupun beliau Amirah sayap wanita Ikhwan Muslimin. Tanggungjawab beliau yang berat itu menyebabkan beliau perlu bekerja pada waktu yang panjang di pejabat beliau dan aktiviti bersama Ikhwan Muslimin. Setelah kematian suaminya yang kedua, beliau masih di dalam penjara. Beliau merasakan tanggungjawabnya terhadap perkahwinan telah selesai dan beliau bebas untuk mengorbankan seluruh masanya untuk perjuangan Islam.

Sebagaimana pejuang-pejuang Islam yang lain, beliau juga kecewa dengan revolusi Mesir 1952 yang didokong mereka pada mulanya dan akhirnya pejuang Islam telah dikhianati oleh Jamal Abdul Naser. Zainab al-Ghazali menyatakan bahawa rejim Jamal Abdul Naser adalah musuh kepada Islam. Setelah beberapa tokoh Ikhwanul Muslimin ditangkap dan dihukum mati dan ramai dipenjara, beliau mendahului pergerakan untuk menolong isteri, janda dan keluarga pejuang yang telah dibunuh dan dipenjarakan. Walaupun dipenjara, beliau meningkatkan usaha tarbiyyah secara rahsia diketuai oleh pimpinan Ikhwan Muslimin. Dalam tahun 1962, beliau dapat berhubung dengan Sayyid Qutb melalui dua orang adik Sayyid Qutb dan menerima tulisan beliau berkenaan perjuangan Islam dan tafsir al-Quran dan hadith serta syariah Islam. Beliau juga menerima sebahagian dari buku yang dikarang oleh Sayyid Qutb dalam penjara yang kemudian diterbitkan dengan judul Ma’alim Fit-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan).

.Tulisan dan petunjuk daripada Sayyid Qutb di dalam penjara dan juga ayat-ayat al-Quran akan dipelajari dalam satu kumpulan terdiri daripada lima hingga sepuluh pemuda yang berjumpa pada waktu malam di rumah Zainab ataupun tempat lain. Perbincangan, pandangan dan pendapat diutarakan di dalam pertemuan tersebut. Dengan persetujuan Sayyid Qutb dan pimpinan Ikhwan Muslimin, keputusan untuk menjalankan program tarbiyyah selama 13 tahun sepertimana zaman Rasulullah saw di era Mekah. Apabila tempoh ini berakhir, maka studi dan kajian akan dibuat adakah sekurangnya 75% daripada rakyat Mesir sudah yakin dengan keperluan adanya daulah Islam dan membangunkannya. Jika ianya terjadi maka gerak kerja menubuhkan daulah Islam akan dilakukan dan jika belum lagi mencapai tahap tersebut, program pentarbiyahan akan dilakukan semula selama 13 tahun lagi sehingga sehingga rakyat bersedia untuk membina daulah Islam, menerima pakai undang-undang syariah Islam dan menegakkan hukum Islam berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Apabila kerajaan Mesir berasa curiga dengan perkumpulan rahsia dan matlamat mereka ini, Ikhwan Muslimin diserbu pada tahun 1965. Ikhwah dan akhawat pergerakan Ikhwan Muslimin semuanya ditangkap dan dipenjarakan. Zainab al-Ghazali adalah salah seorang daripada mereka. Jemaah wanita Ikhwan Muslimin dibubarkan. Beliau dibicarakan bersama sahabiah yang lainnya pada tahun 1966 dan dihukum penjara seumur hidup dengan kerja berat. Satu hukuman yang tidak masuk akal bagi seorang wanita. Namun pada tahun 1971 beliau telah dibebaskan apabila kematian Jamal Abdul Nasir dan Anwar Sadat mengambil alih tampuk pemerintahan. Setelah itu, beliau terus sahaja meneruskan perjuangan beliau tanpa mengenal penat lelah dalam mendaulatkan Islam dibumi Mesir.

Beliau merupakan wanita yang terkemuka setelah jatuhnya khilafah Islamiah di Mesir. Beliau tidak mempunyai anak dan segalanya hidupnya diserahkan kepada perjuangan Islam. Beliau juga menjadi sanjungan dan pendorong kepada perjuangan wanita di seluruh dunia. Beliau dihormati oleh kawan dan lawan, malah disegani oleh tokoh-tokoh ulama’ kerana perjuangannya yang luar biasa.

Zainab al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada hari Rabu 3 Ogos 2005 di kala umur beliau 88 tahun. Ternyata umur yang panjang yang dianugerahkan Allah pada beliau telah digunakan tanpa sia-sia sedikitpun, semuanya dikorbankan demi menegakkan agama Allah yang mulia. Beliau terus menjadi idola dakwah kepada pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia. Beliau juga menjadi bukti kukuh bahawa sebenarnya Islam mampu membina wanita yang berjuang untuk Islam. Sejarah hidup beliau persis hidup srikandi di teratak Rasulullah saw. Jadi tidaklah salah jika kita menggelarnya sebagai Ummul Mujahidah pada masa kini. Moga Allah mencucuri rahmat yang melimpah ruah kepada beliau dan menjadikan beliau di kalangan para siddiqin,amilin dan mujahidin.

Rukun Faham - Fahami Islam

Faham yang dimaksudkan ialah anda yakin fikrah atau gagasan anda adalah sepenuhnya berlandaskan Islam. Anda faham Islam sebagaimana yang kami faham, dalam skop dua puluh usul yang ringkas seringkas-ringkasnya ini:

1. Islam adalah satu sistem yang bersepadu mencakupi seluruh aspek kehidupan. Islam adalah negara dan tanahair atau kerajaan dan rakyat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Islam adalah benda dan harta atau pendapatan dan kekayaan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan gagasan. Selain itu Islam juga adalah akidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih.

2. Al-Quran al-Karim dan sunnah yang suci adalah rujukan setiap muslim untuk memahami hukum-hakam Islam. Al-Quran perlu difahami menurut kaedah bahasa Arab tanpa mengada-adakan atau keterlaluan. Sementara sunnah pula perlu difahami melalui ahli hadis yang dipercayai.

3. Iman yang benar, ibadat yang sahih dan mujahadah mengandungi cahaya dan kemanisan yang diberikan Allah ke dalam hati hambaNya yang dikehendaki. Namun ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah dalil hukum syarak dan tidak diambil kira kecuali jika tidak bercanggah dengan hukum-hukum dan nas-nas agama.

4. Tangkal, jampi, kulit kerang yang dijadikan pendinding, menilik dengan cara melukis di pasir, tenung nasib, sihir dan dakwaan mengaku mengetahui perkara ghaib, semua ini adalah amalan sesat yang wajib diperangi, kecuali jampi yang menggunakan ayat al-Quran atau hadis yang ma’thur.

5. Pendapat imam atau wakilnya dalam perkara yang tiada nas ataupun nas tersebut mempunyai pelbagai maksud dan dalam soal masalih mursalah (kepentingan umum) boleh dilaksanakan selagi tidak bertentangan dengan asas syarak. Pendapat ini mungkin berubah mengikut keadaan, budaya dan adat. Asas dalam soal ibadat ialah pengabdian (ta’abbud) tanpa perlu melihat kepada maksud. Sementara dalam soal yang lain ia perlu melihat kepada sebab, hikmah dan maksud.

6. Kata-kata manusia boleh diterima dan boleh ditolak kecuali kata-kata manusia yang maksum iaitu Nabi s.a.w. Segala yang datang daripada generasi silam yang diredai Allah jika bertepatan dengan kitab dan sunnah kita akan terima. Jika tidak kitab Allah dan sunnah rasulNya lebih utama untuk diikut. Walau bagaimanapun kita tidak akan mengecam atau mengkritik mana-mana individu yang tidak sependapat. Kita serahkan kepada niat mereka.Mereka telahpun menyampaikan apa yang telah mereka kemukakan..

7. Setiap orang Islam yang masih belum mencapai tahap ahli nadzar iaitu dapat mengkaji dalil-dalil hukum dalam masalah furu’ hendaklah mengikut salah satu imam dalam agama ini. Namun demikian adalah lebih baik selain mengikut dia berusaha sedaya upaya untuk memahami dalil-dalil tersebut. Dia juga perlu menerima segala tunjuk ajar yang disertakan dengan dalil setelah dipastikan orang yang menunjuk ajar itu adalah orang yang berkebolehan dan berkelayakan. Jika dia memang adalah ahli ilmu dia hendaklah mengatasi kelemahannya dalam bidang ilmu supaya dia mampu mencapai tahap yang membolehkan dia mengkaji.

8. Perbezaan pendapat fikah dalam soal yang kecil tidak sepatutnya menjadi sebab untuk berpecah. Perbezaan pendapat ini tidak sepatutnya menimbulkan permusuhan dan persengketaan kerana setiap mujtahid akan mendapat pahalanya. Namun tidak salah untuk membuat kajian ilmiah dalam masalah-masalah yang dipertikaikan selagimana ia dilakukan dalam suasana penuh kemesraan dan saling bekerjasama untuk mencari kebenaran. Dengan syarat ia tidak menimbulkan perselisihan yang tidak diingini dan budaya taksub.

9. Setiap masalah yang tidak membuahkan amalan tidak perlu dibincangkan secara mendalam kerana tindakan itu dianggap membebankan diri yang dilarang oleh syarak. Ini termasuklah tindakan mencambah hukum-hakam yang masih belum berlaku, mengkaji maksud ayat-ayat al-Quran yang masih belum dicapai oleh sains, berbincang mengenai kemuliaan seorang sahabat berbanding sahabat yang lain dan persengketaan yang berlaku di kalangan mereka. Setiap sahabat ada kelebihan mereka sebagai seorang sahabat nabi dan mereka akan mendapat pahala bergantung kepada niat mereka. Begitu juga dengan takwil yang dibenarkan.

10. Mengenali, mengesakan dan mensucikan Allah Taala adalah akidah Islam yang paling suci. Semua ayat dan hadis sahih yang menyebut tentang sifat Allah dan apa sahaja yang berkenaan dengannya kita yakini sepertimana yang disebutkan itu tanpa kita tafsirkan mengikut kehendak kita atau kita tolak sama sekali. Kita tidak akan libatkan diri kita dalam perselisihan pendapat di kalangan ulama. Kita sepatutnya meniru sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.

"Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami." (Aali Imran: 7)

11. Setiap amalan bid‘ah yang dimasukkan ke dalam agama Allah dan tidak berasas (diamalkan oleh manusia kerana mengikut selera mereka sama ada mereka menokok tambah atau mengabaikannya) adalah sesat dan perlu diperangi serta dihapuskan dengan cara yang terbaik dan tidak membawa kepada keadaan yang lebih buruk.

12. Bid‘ah yang dilakukan dengan cara menambah ataupun meninggalkan atau beriltizam dengan mengamalkan sesuatu ibadat merupakan masalah perbezaan pendapat dari sudut fikah. Masing-masing mempunyai pendapat yang tersendiri. Namun tidak salah untuk mencari kebenaran dengan berpandukan dalil dan bukti.

13. Mengasihi, menghormati dan memuji orang-orang yang soleh kerana amalan baik yang mereka lakukan adalah suatu amalan mendekatkan diri dengan Allah Taala. Apa yang dimaksudkan dengan wali ialah mereka yang disebutkan oleh firman Allah:

"(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa." (Yunus: 63)

Karamah berlaku pada mereka dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak. Namun perlu diyakini mereka yang diredai oleh Allah ini tidak mampu mendatangkan kemudaratan dan kemanfaatan untuk diri mereka sendiri ketika hayat mereka dan juga setelah kematian mereka, apatah lagi untuk melakukannya kepada orang lain.

14. Menziarahi kubur adalah sunnah dan disyariatkan dengan cara yang dinyatakan oleh sunnah. Walaupun bagaimanapun meminta bantuan ahli kubur walau siapapun mereka atau menyeru nama mereka atau meminta sesuatu hajat daripada mereka dari dekat atau jauh atau bernazar untuk mereka atau membuat binaan atas kubur atau menyelimutkan kubur atau memasang lampu di kubur atau menyentuh dan mengucup kubur itu atau bersumpah dengan nama yang lain daripada nama Allah atau apa sahaja bid‘ah yang berkenaan dengannya adalah dosa besar yang perlu diperangi. Kita tidak akan bertolak ansur dengan semua amalan ini agar tidak timbul perkara yang lebih buruk.

15. Doa yang dikaitkan dengan tawasul kepada Allah menggunakan perantaraan salah satu makhlukNya adalah perkara yang melibatkan perselisihan pendapat yang bersifat cabang. Masalah ini lebih kepada masalah dalam kaedah berdoa dan bukan masalah akidah.

16. Adat sumbang yang diamalkan tidak boleh mengubah hakikat lafaz-lafaz syarak. Malah apa yang dimaksudkan oleh istilah syarak ini perlu dikenal pasti dan dilaksanakan menurut erti istilah tersebut. Di samping itu budaya mempermainkan istilah perlu dielak dalam seluruh aspek dunia dan agama. Perkara yang diambil kira bukannya nama sebaliknya apa yang dimaksudkan oleh nama tersebut.

17. Akidah adalah landasan kepada amalan. Amalan hati lebih penting daripada amalan anggota badan. Melakukan yang terbaik dalam kedua-dua amalan ini adalah tuntutan syarak walaupun wujud perbezaan pada sejauhmana ia dituntut.

18. Islam membebaskan akal dan menggalakkan manusia memerhati alam semesta. Islam mengangkat darjat ilmu dan ulama. Islam juga mengalu-alukan segala perkara yang baik dan bermanfaat.

“Hikmah adalah hak orang mukmin yang telah hilang. Oleh itu di mana sahaja dia menemuinya dia adalah orang yang paling berhak untuk memilikinya.”

19. Ada pandangan syarak yang tidak bertepatan dengan pandangan akal namun akal dan syarak tidak akan bertembung dalam soal yang pasti. Penemuan sains yang sah tidak akan bertembung dengan kaedah syarak yang tetap. Bagi perkara yang tidak dipastikan oleh akal atau oleh syarak, ia perlu disesuaikan supaya bertepatan dengan apa yang pasti. Bagi perkara yang tidak dapat dipastikan oleh syarak dan oleh akal, pandangan syarak perlu diutamakan sehingga akal dapat membuktikan kebenarannya atau sebaliknya.

20. Kita tidak mengkufurkan seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah dan masih mengamalkan tuntutan dua kalimah syahadah serta menunaikan amalan fardhu –sama ada mengikut suatu pendapat atau kerana melakukan suatu maksiat-kecuali jika dia mengeluarkan ucapan kufur dan mengakuinya, atau menolak sesuatu yang menjadi asas agama atau tidak mempercayai kenyataan al-Quran yang jelas, atau mentafsir al-Quran menurut cara yang tidak bertepatan sama sekali dengan gaya bahasa Arab, atau melakukan sesuatu yang tidak boleh diandaikan kecuali sebagai kufur.
Setelah seorang muslim memahami agamanya berpandukan asas ini barulah dia memahami apa yang sering dilaungkannya:

“Al-Quran adalah perlembagaan kami dan rasul adalah ikutan kami.”

As Syahid Imam Hassan Al Banna

KEPERLUAN SISTEM KHALIFAH

Antara matlamat Allah Taala mencipta umat manusia adalah agar mereka menjadi khalifah di muka bumi-Nya. Mereka ditugaskan bukan sekadar untuk membina hadharah (ketamadunan), tetapi juga agar mereka merasa kehambaan kepada Pencipta, iaitu Allah Taala. Kewajiban berperanan sebagai khalifah ini merupakan kewajiban yang berada di dalam kedudukan yang kedua selepas kewajiban beribadat. Perkara ini turut diisytiharkan kepada para Malaikat sebagaimana firman Allah yang menyatakan :

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berkata kepada para Malaikat; Sesungguhnya Aku mahu menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka (para Malaikat) bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata); Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu mereka yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), sedangkan kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu? Tuhan berkata; Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya” - Surah al Baqarah:30, al Quranul Karim

Rasulullah S.A.W bersabda, “Kaum Bani Israel pada zaman dahulu dipimpin oleh Para Nabi (mereka menjadi ahli politik). Setiap kali matinya seseorang nabi, penggantinya Nabi juga selepasnya. Sesungguhnya tiada lagi Nabi selepasku dan akan berlakunya perlantikan khalifah (yang mengganti Nabi bagi memimpin umat), mereka ramai. Para Sahabat bertanya; Apakah perintah-mu kepada kami? Rasulullah S.A.W menjawab; Tunaikan bai’ah (janji ketaatan) kepada yang pertama dan seterusnya. Berilah kepada mereka hak mereka (untuk memerintah). Maka sesungguhnya Allah akan bertanyakan mereka berkenaan urusan mereka yang diminta supaya memimpin”.

Khilafah adalah kewajipan menegakkan agama dan mentadbir urusan dunia dengannya. Ia boleh disebut dengan kewajiban berpolitik. Kewajiban ini dilaksanakan oleh semua Para Rasul sejak Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad S.A.W. Mereka semua berdakwah dan berpolitik, dalam erti kata lain membawa maksud mengajak manusia kepada Islam dengan makna yang menyeluruh dan sempurna dari segi akidah, syariat, akhlak dan pemerintahan yang mendaulatkannya.

Para Rasul bukan sahaja berdakwah mengajak manusia kepada agama Allah, malah mereka turut mengajak raja-raja dan para pemimpin pada zaman masing-masing supaya menganut Islam dan mentadbir negara dengan Islam. Ada di kalangan Rasul sendiri menjadi raja atau khalifah apabila ada di kalangan pemimpin dan rakyatnya zalim dan monolak seruan Para Rasul.

Rasulullah S.A.W melaksanakan kewajiban ini. Baginda S.A.W pernah menolak tawaran para pemimpin Quraish yang mahu melantik Baginda menjadi raja jahiliyyah Makkah dengan syarat menolak Islam sebagai agama yang memerintah. Rasulullah S.A.W menolak tawaran lumayan itu dan memilih jihad yang payah dan mengorbankan harta dan jiwa raga sehingga beliau dan para pengikutnya berhijrah ke Madinah bagi menunaikan kewajiban Tuhan ini. Selepas penduduk Madinah menerima Islam dengan sempurna. Rasulullah S.A.W tetap meneruskan jihad yang lebih mencabar. Kewajiban ini berterusan walaupun Rasulullah S.A.W sudah meninggal dunia dan disambung oleh para Khulafa’ ar-Rasyidin.

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah S.A.W menegaskan beberapa peringkat cabaran yang dialami oleh pejuang Islam dalam menegakkan pemerintahan Islam, “Islam bermula dengan pemerintahan berasaskan konsep Nabi, kemudian diikuti oleh konsep Khulafa’ ar-Rasyidin, diikuti pula berlakunya penguasaan raja yan zalim, seterusnya raja yang ganas dan akhirnya kembali semula kepada khalifan di atas konsep Nabi.”

Benar seperti yang dilakarkan dalam hadis ini, Islam mencapai kejayaan pada zaman Rasulullah S.A.W. Selepas Rasulullah S.A.W meninggal dunia, tegak pula pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin, pemimpin generasi awal hasil didikan daripada tangan Nabi. Selepas itu tegak pula pemerintahan sistem beraja yang masih lagi beramal dengan Islam walaupun berlakunya kezaliman dan penaklukan penjajah Barat ke atas negara-negara Islam. Umat Islam yang berkuasa terus dibelenggu penjajahan pemikiran walaupun penjajah asing sudah pergi manakala umat Islam yang lemah terus dimamah kezaliman akibat pengekalan amalan sistem penjajahan.

Fahaman sekularisme yang mengeluarkan politik daripada agama Islam adalah ajaran salah yang diwarisi zaman penjajah bukan Islam. Mereka menakluk dan memerintah negara-negara Islam selepas pemerintahan berkhalifah Uthmaniyah di Turki tumbang. Sebenarnya fahaman salah ini lahir akibat perpecahan masyarakat Eropah yang menganut agama Kristian menyeleweng daripada agama yang dibawa oleh Nabi Isa.

Islam menegaskan kewajipan memilih dan mengikut pemimpin adalah amanah besar dalam kehidupan dunia sebelum menuju akhirat. Kewajipan ini bukan sahaja dihitung dalam amal ibadat yang khusus malah turut dihitung dalam memilih dan mengikut pemimpin. Oleh itu, tuntutan ini termasuk dalam perkara benar ataupun sesat, pahala ataupun dosa. Pemimpin adalah pemegang amanah bagi melaksanakan syariat Allah dalam pemerintahan negara. Allah menyatakan :

"Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya); Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah."

"Dan mereka berkata lagi; Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar."
"Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya" – Surah al Ahzab:66-68, al Quranul Karim

Penyebab masuk neraka itu bukan semata-mata kerana dosa syirik dalam ibadat, meninggalkan yang wajib, mengerjakan yang haram, malah kesalahan-kesalahan yang berlaku dalam politik juga termasuk dalam penyebab ke neraka apabila mengikut bukan menurut petunjuk Allah dan Rasulullah S.A.W. Hadis Rasulullah S.A.W menyebut :
“Abu Hurairah menceritakan; Sedang Rasulullah S.A.W bercakap kepada orang ramai, tiba-tiba seorang Badwi datang lalu bertanya; Bilakah berlakunya kiamat? Rasulullah S.A.W meneruskan perbualannya tanpa mempedulikan soalan orang Badwi itu. Ada di kalangan kami berfikir, Rasulullah S.A.W tidak senang dengan cara dia menyoal. Ada juga yang berfikir Rasulullah S.A.W tidak mendengar pertanyaannya. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W bertanya; Mana orang yang bertanya tadi? Orang Badwi itu menjawab; Ini dia, saya. Rasulullah S.A.W menjawab; Apabila dihilangkan amanah. Orang Badwi itu bertanya lagi; Bagaimanakah amanah itu hilang? Jawab Rasulullah S.A.W; Apabila diserahkan urusan pemerintahan kepada orang yang bukan ahlinya.”

Saidina Umar menegaskan, “Sesiapa yang melantik pemimpin kerana harta ataupun hubungan keluarga, bukan kerana kelayakan mereka, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya S.A.W.”

Begitu juga besarnya dosa pemimpin yang menipu rakyat, kerana Rasulullah S.A.W bersabda, “Tidak ada pemimpin yang mengendalikan urusan rakyat di kalangan kaum Muslimin lalu dia mati dalam keadaan menipu mereka melainkan Allah mengharamkannya masuk syurga.”

Ini menunjukkan urusan kepimpinan negara adalah kewajiban yang besar dalam ajaran Islam. Ajaran pemisahan agama daripada politik adalah menyalahi ajaran Islam yang sempurna.

Rasulullah Tidak Mewasiatkan Pengganti

Imam Bukhari dan Imam Muslim melaporkan, “Khalifah Umar ditanya ketika beliau dalam keadaan tenat akibat cedera ditikam, supaya menamakan siapakah penggantinya. Katanya; Sekiranya aku menentukan, maka orang yang lebih baik daripadaku (Abu Bakar) pernah menentukannya. Sekiranya aku tinggalkan kepada kamu sendiri yang menentukan, maka orang yang terbaik (Rasulullah S.A.W) pernah meninggalkannya (dengan menyerahkan urusan ini kepada umat supaya memilihnya).”

Imam Ahmad dan Imam al Baihaqi menyebut dalam kitab - Dalail an Nubuwwah - dengan laporan yang baik daripada Amar bin Sufian ketika berlakunya peristiwa Perang Jamal. Apabila berlakunya penderhakaan kepada Khalifah Ali bin Abu Talib, beliau berucap :

“Wahai semua yang hadir, Rasulullah S.A.W tidak menentukan kepada kami jawatan menjadi ketua negara, sehingga kami berpendapat Abu Bakar yang dilantik, lalu dia menjalankan tugasnya dan beliau meneruskan tugasnya dengan benar. Kemudian Abu Bakar menentukan Umar dengan persetujuan orang ramai, dia melaksanakan tugasnya dengan konsisten sehingga meletakkan agama di hadapan. Kemudian berlaku orang yang menuntut keduniaan (sahaja) maka berlakulah perkara-perkara yang menjadi ketetapan Allah”.

Kedua teks ini adalah sumber yang sahih, Rasulullah S.A.W tidak mewasiatkan sesiapa menjadi calon khalifah selepas beliau meninggal dunia. Ada laporan yang tersebar di kalangan mazhab Syiah mengenai wasiat yang menentukan Ali menjadi khalifah. Namun, laporan ini tidak sahih daripada segi rekod ilmu hadis yang adil dan beberapa sumber yang menunjukkan Ali tidak bermaksud melantiknya menjadi khalifah.

Ini dikuatkan lagi dengan penyertaan dan penglibatan Ali sepanjang pemerintahan khalifah yang terdahulu daripadanya. Beliau membantu semua urusan dan mempertahankannya dengan penuh pengorbanan bersama seluruh Ahlil Bait. Kajian yang dibuat menunjukkan banyaknya hadis palsu yang direka selepas berlakunya pergolakan pada akhir zaman di era pemerintahan Khulafa’ ar Rasyidin.

Islam mendahului demokrasi Barat dengan meletakkan urusan politik negara menjadi hak rakyat secara adil, tidak ada amalan secara diktator, merampas dan menipu hak rakyat, teokrasi yang memberi kuasa mutlak kepada golongan agama dalam Islam atau menjadi pusaka warisan keluarga.

Kenyataan sejarah membuktikan pendekatan Islam berasaskan akidah, syariat dan akhlak, menjadikannya lebih baik daripada demokrasi Barat. Walaupun amalan demokrasi moden mempunyai pengaruh feqah politik Islam, tetapi ia disekularkan dengan memisahkan politik daripada agama. Rakyat menjadi mangsa pelbagai cara penipuan dan rasuah apabila pemimpin tidak beriman pada balasan hari akhirat dan tidak mengamalkan cara hidup tanpa memikirkan perhitungan pahala dan dosa. Ini kerana kepercayaan mereka, agama tidak wujud dalam kegiatan politik sekular. Amanah politik menjadi rebutan demi kemewahan dunia.

Abu Bakar Menjadi Khalifah

Ketika keluarga dan beberapa sahabat Rasulullah S.A.W sedang mengebumikan jenazah beliau, berlaku peristiwa Thaqifah Bani Saidah iaitu mesyuarat memilih pengganti pemimpin negara dan umat selepas Rasulullah S.A.W. Perhimpunan segera dibuat kerana menurut para ulama urusan siyasah, memimpin negara lebih penting daripada urusan mengebumikan jenazah Rasulullah S.A.W yang juga besar kewajibannya.

Sebelum Rasulullah S.A.W meninggal dunia, golongan Ahlil Bait melalui Abbas, bapa saudara kesayangan Rasulullah S.A.W pernah keluar melawat Rasulullah S.A.W. Beliau membisikkan kepada Ali supaya meminta Rasulullah S.A.W mewasiatkan penggantinya di kalangan keluarga ataupun kepada orang lain. Jika ada, tentu beliau mewasiatkan sesuatu kepadanya.

Ali menjawab, “Demi Allah, aku tidak akan melakukannya. Demi Allah, jika kalangan kita tidak diberi, kita dilarang daripada memegang jawatan itu selama-lamanya.”

Sikap ini bermaksud beliau (Saidina Ali) tidak mahu meminta jawatan dan tidak menyoal yang mana lebih baik dan mulia. Beliau khuatir nanti diharamkan kepada zuriat Rasulullah S.A.W selama-lamanya.

Para keluarga Baginda sibuk dengan urusan mengendalikan jenazah Rasulullah S.A.W. Kemudian, Ali bersama Bani Hasyim, Zubair bin Awwam dan Tolhah bin Ubaidillah berada di rumah Fatimah al-Zahra, tempat Rasulullah meninggal dunia.

Perhimpunan di Thaqifah Bani Saidah menjadi tegang apabila kaum Ansar berpendapat mereka lebih layak dipilih menjadi khalifah kerana jihad mereka bersama Rasulullah S.A.W dengan penuh pengorbanan. Allah memuji mereka di dalam al Quran dan disokong oleh hadis-hadis Rasulullah S.A.W. Mereka mencalonkan pemimpin mereka iaitu Saad bin Ubadah.

Kaum Muhajirin berpendapat, mereka juga lebih layak menjadi khalifah. Mereka kaum pertama yang memeluk Islam, berdakwah sejak permulaan wahyu diturunkan, menghadapi ujian dahsyat ketika di Makkah, seterusnya mengalami ujian berhijrah dan berjihad bersama-sama Rasulullah S.A.W. Selain itu, wahyu dan hadis-hadis Rasulullah S.A.W turut menyanjung mereka dengan pujian yang tinggi.

Keadaan yang tegang dapat dikendurkan. Sikap fanatik perkauman dapat dipadamkan. Pemimpin utama kaum Muhajirin dan Ansar menemui Abu Bakar. Mereka terus ke Thaqifah Bani Saidah, tempat berlakunya perdebatan yang hangat kerana terdapat perangai jahiliyah melalaikan sebahagian pihak daripada mengamalkan akhlak dan adab musyawarah dalam Islam. Di sini Abu Bakar as Siddiq menunjukkan ketokohannya menjadi pemimpin. Beliau menyampaikan khutbahnya yang menenangkan keadaan. Selepas beliau memuji Allah dengan selayaknya, lantas beliau memulakan bicara :

“Sesungguhnya Allah melantik di kalangan kita seorang Rasul (menjadi petunjuk) kepada makhluk-Nya, menjadi saksi kepada umatnya supaya beribadat kepada-Nya sahaja, dan mengesakan-Nya. Melihat keadaan mereka menyembah kepada yang lain daripada-Nya, dengan menghadap tuhan-tuhan yang banyak yang diperbuat daripada batu dan kayu.”

“Menjadi suatu perkara yang besar dan sukar kepada bangsa Arab bagi meninggalkan agama nenek moyang mereka. Maka Allah memilih secara khusus kalangan para Muhajirin yang terawal, mereka terdiri daripada kaumnya yang pertama mempercayai ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad, mempertahankannya, serta bersabar menghadapi kejahatan kaum yang membohonginya. Ketika semua orang menentang dan berpaling tidak mahu mengikutnya, memperlecehkan para pengikutnya kerana jumlah pengikut sedikit dan orang yang membencinya ramai. Maka kalangan mereka (Muhajirin) menjadi orang yang ulung menyembah Allah sahaja di bumi ini (ketika itu) dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Mereka yang menjadi penolong Baginda dan kaum keluarganya, serta orang-orang yang paling berhak mengendalikan urusan umat selepasnya, tidak  ada yang menentang Baginda melainkan orang yang zalim. Kamu (wahai kalangan Muhajirin) adalah pembantu dan keluarga Rasulullah S.A.W dan orang yang layak menjadi pemimpin selepasnya. Tidak ada yang menentangnya melainkan orang yang zalim.”

“Kamu pula wahai golongan Ansar, adalah kalangan yang tidak boleh dinafikan kelebihan daripada segi agama dan yang terawal juga memeluk Islam. Allah mengisytiharkan redha-Nya kepada kamu, menjadi penolong yang ulung pada perjuangan menegakkan agama dan menolong Rasulullah S.A.W. Ramai kalangan isterinya daripada kamu, dan ramai di kalangan Sahabatnya daripada kamu, tidak ada yang lebih daripada kamu selepas golongan Muhajirin. Maka sewajarnya pemimpin utama daripada kalangan kami (para Muhajirin) dan para jemaah menteri daripada kalangan kamu pula wahai golongan Ansar. Perkara ini tidak meliputi keputusan mesyuarat dan tidak ada sesiapa yang dapat mengatasi kamu.”

Ucapan Saidina Abu Bakar telah berhasil menenangkan keadaan dan menghilangkan pertelingkahan. Seterusnya Abu Bakar mencalonkan Umar dan Abu Ubaidah menjadi khalifah. Namun, secara tiba-tiba Umar dan Abu Ubaidah bangun mencalonkan Abu Bakar menjadi khalifah, diikuti oleh pemimpin Sahabat kalangan kaum Ansar dan Muhajirin yang lain. Maka dengan rasminya Abu Bakar diisytiharkan menjadi khalifah pertama selepas Rasulullah S.A.W meninggal dunia.

Pemilihan khalifah berlaku secara mesyuarat yang tidak memaksa dan tidak berlaku dengan mudah melainkan melalui pendapat yang dibahas dengan sehangat-hangatnya, namun dilaksanakan dengan seadab-adabnya. Dengan sifat fanatik kabilah dan kekeluargaan yang tebal menjadi perangai bangsa Arab yang masih wujud. Sifat ini menjadi warisan zaman jahaliyah yang diberi amaran keras dalam wasiat Rasulullah S.A.W sebelum meninggal dunia. Namun, iman yang teguh dan ikhlas, Islam yang sebenar tertanam dalam jiwa hasil didikan Nabi kepada generasi awal ini dapat menjadi contoh yang baik mengatasi demokrasi purba dan moden yang dibanggakan oleh dunia Barat.

Keputusan dibuat tidak sebulat suara, ada kalangan Ahli Bait membai’ahkan Abu Bakar selepas beberapa bulan. Kalangan kaum Ansar ada yang tidak mahu berbai’ah kerana mahukan khalifah dilantik kalangan mereka, termasuk juga kaum Quraish sendiri yang pada awalnya tidak berbai’ah, mereka adalah Zubair, Talhah dan Abu Sufian. Namun, krisis dalaman yang berlaku tidak menyebabkan berlakunya pertumpahan darah.

Selepas itu sebulat suara mereka mendukung negara Islam dan risalahnya, menyambung tugas Islam yang tidak habis selepas Rasulullah S.A.W meninggal dunia. Kesimpulan ada tiga pendapat dengan hujah masing-masing :
  1. Golongan Ahlil Bait yang menegaskan ketua negara perlu daripada keluarga Rasulullah S.A.W. Mereka mencalonkan Ali kerana beberapa ayat al-Quran dan hadis menyebut kelebihan dan tugas yang diserahkan kepadanya semasa hayat Rasulullah S.A.W.
  2. Golongan Ansar menegaskan ketua negara perlu daripada kalangan mereka. Ini kerana al Quran dan Hadis menyebut kelebihan golongan Ansar. Ketaatan kepada pemimpin tanpa menentukan bangsa dan kabilah. Mereka juga penduduk asal Madinah yang menyerahkan tanah air, jiwa raga dan harta, berjihad menegakkan Islam, mereka mencalonkan pemimpin Ansar, Saad bin Ubadah.
  3. Kalangan Muhajirin berpendapat, pemimpin mesti daripada kalangan mereka. Al Quran dan Hadis menegaskan kelebihan mereka dan pemimipin mesti daripada kalangan Quraish. Mereka mencalonkan Abu Bakar.
Ibnu Khaldun menegaskan keputusan mereka memilih Abu Bakar daripada kalangan Muhajirin dan Quraish dilihat daripada segi ilmu politik. Ketokohan Abu Bakar difikirkan layak, kerana kematangannya melebihi dan ilmunya melangkaui orang lain. Daripada kalangan Quraish, beliau adalah daripada kabilah yang terkuat pengaruhnya dalam masyarakat Arab, sehingga mempunyai kehebatan menghadapi cabaran dalaman dan luaran ketika itu.

Masih terlalu awal menyerahkan jawatan yang besar ini selain Abu Bakar. Kedudukannya menemani Rasulullah S.A.W ketika berhijrah. Rasulullah S.A.W pernah menugaskanya menjadi imam di waktu solat dan tugas-tugas yang lain memberi kelebihan kepadanya menjadi orang yang paling layak bergelar khalifah yang pertama. Allah menyatakan :

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya; Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terjunam (kalah dengan sehina-hinanya) dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” – Surah at Taubah:40, al Quranul Karim

Dalam kalangan Ansar, mereka sendiri menghadapi masalah, akibat pertelingkahan yang mencetuskan peperangan ketika zaman jahiliyah antara dua kabilah besar Aus dan Khazraj. Adalah sukar mencalonkan orang yang diterima oleh semua pihak. Islam yang berjaya memadamkan api permusuhan dengan tidak mencetuskan pertelingkahan calon khalifah kalangan Ansar sendiri.
Apabila dikhususkan kepada Ahlil Bait, Islam membawa sistem mewariskan pemerintahan yang beku dalam satu keluarga. Pada masa yang sama, ia bercanggah dengan konsep musyawarah yang ditegaskan di dalam al Quran, bersalahan dengan sikap Rasulullah S.A.W dan sikap orang yang beriman.

“Termasuk orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan solat dengan sempurna, dan urusan mereka dijalankan secara mesyuarat sesama mereka. Mereka pula mendermakan sebahagian yang kami beri kepadanya” – Surah as Syura:38, al Quranul Karim

Membina keluarga Rasulullah S.A.W tidak mengahwinkan puterinya dengan kalangan keluarga sahaja, dua orang puterinya dikahwinkan dengan Uthman bin Affan, sementara Zainab binti Jahsy dari kalangan keluarganya dikahwinkan dengan Zaid bin Harithah, bekas hamba yang dimerdekakan dan dijadikan anak angkatnya. Adapun dalil yang dibawa oleh kalangan Syiah tidak menepati nas al Quran dan riwayat yang sah serta tidak menepati kaedah siasah syariah yang betul.

Kekhilafan ini melahirkan mazhab kefahaman politik Islam pada zaman mutakhir. Pendapat Ahlil Bait melahirkan mazhab Syiah. Selepas itu, muncul pula golongan yang menyatakan bukan sahaja keturunan Ali dan Fatimah yang layak menjadi khalifah, bahkan mereka turut memperjuangkan keturunan al Abbas, bapa saudara Rasulullah juga berhak memegang kuasa khalifah. Golongan ini berjuang menegakkan kerajaan Abasiyah. Pendapat Ansar melahirkan mazhab Khawarij dan pendapat Muhajirin menjadi pegangan ahli Sunnah.

Berlaku pula pertelingkahan mazhab yang melibatkan akidah dan syariat yang mencetuskan perpecahan dalam masyarakat Islam, sehingga diresapi oleh anasir musuh dalam selimut yang merosakkan dalaman umat Islam sendiri. Ada yang wasatiyyah, ada yang jahil dan ada pula yang melampau dan menzalimi diri sendiri sehingga terkeluar daripada landasan Islam yang sebenar. Islam tetap dipelihara oleh Allah secara ilmu melalui laporan yang rapi dan dirayat; Iaitu secara kefahaman melalui ilmu Islam dan kaedahnya.

Akhirnya suara Para Sahabat bersetuju Abu Bakar dilantik menjadi khalifah, mereka yang tidak bersetuju kalangan Ahlil Bait dan Ansar akhirnya berbai’ah. Mengenai riwayat yang menyatakan bahawa Saad bin Ubadah, ketua kaum Ansar yang terus tidak membai’ah Abu Bakar sebagai khalifah terlalu dhaif.

Sebenarnya seluruh Ahlil Bait dan golongan Ansar tetap menerima Abu Bakar menjadi khalifah dan berbai’ah serta mendukungnya dengan pengorbanan yang membuktikan keikhlasan mereka. Hendaklah yakin betapa mereka tidak didorong oleh nafsu merebut jawatan ketua kerana keimanan yang ikhlas dalam diri masing-masing memadamkan sifat yang buruk, mereka hanyalah berlumba-lumba bagi menunaikan perintah Allah yang besar ganjarannya. – edited by Qutuz's Legacy

SINAR ISLAM UNTUK SEMUA - Tuan Guru Nik Abdul Aziz

Akhir-akhir ini, pertembungan kaum cuba dimanipulasi secara melampau termasuklah media massa yang turut menyimbah minyak ke atas api pertikaian yang marak. Jika dahulu, PAS dilabel sebagai parti rasis, radikal dan sebagainya. Maka hari ini seolah-olah label itu telah bertukar ke arah parti yang memfitnahnya. Perlulah disedari, PAS sendiri tidak pernah bersikap perkauman sejak dari dahulu hinggalah ke hari ini. Label-label yang negatif yang dipakaikan oleh pihak media langsung tidak benar dan hari ini ia terbukti merupakan tuduhan jahat.

Perjuangan PAS sendiri bukanlah mengajak kepada menegakkan idealisme perkauman yang sempit tetapi mengajak manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah S.W.T selaku pencipta alam semesta.
Dunia yang indah ini tidak mungkin wujud dengan sendirinya tanpa Pencipta. Akal logik tentu sekali tidak dapat menafikan wujudnya kuasa yang mengatur perjalanan alam yang begitu tersusun ini.

Peredaran bulan dan bintang, pergantian malam dan siang yang begitu teratur mustahil wujud kecuali adanya kuasa yang mencipta dan mengurus tadbirnya. Kita tentu sekali boleh menerima bagaimana tubuh badan manusia yang terdiri daripada pelbagai anggota dan beribu-ribu sendi hanya dikawal oleh akal sebagai papan kawalan utama.

Demikianlah juga sebuah kilang yang terdiri daripada pelbagai jentera dan mesin namun kesemuanya hanya digerakkan dengan hanya menekan suis utama. Maka begitu jugalah alam semesta yang begitu hebat ini tentulah ditadbir oleh satu kuasa saja. Kuasa ini esa, tidak ada dua dan tiganya.

Asal manusia dari Nabi Adam

Dalam ajaran Islam, Kuasa Yang Maha Mencipta ini disebut Allah SWT. Dialah Tuhan yang menciptakan alam ini untuk kehidupan manusia. Dialah juga yang menciptakan manusia bermula dari seorang lelaki yang dinamakan Adam dan dijadikan pula dari Adam itu isterinya Hawa. Ini disebut di dalam firmanNya (surah An Nisa’:1) yang bermaksud :

"Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang Telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak".

Merujuk kepada firman Allah S.W.T ini, agama Islam mengajar penganutnya agar meyakini bahawa semua manusia ini berasal dari bapa yang sama iaitu Adam. Walau apapun warna kulit, manusia sebenarnya bersaudara atau adik-beradik kerana datang dari sulbi yang sama atau satu keturunan.

Sebutlah apa nama bangsa sekalipun, ia tetap merupakan anak cucu kepada Nabi Adam. Justeru, langsung tidak timbul soal bangsa dan warna kulit di dalam Islam. Bangsa, bahasa dan warna kulit tidak lain hanyalah merupakan unsur atau ciri untuk membezakan manusia.

Oleh yang demikian, ia tidak patut dijadikan punca manusia bersengketa antara satu sama lain. Sekalipun secara fitrahnya manusia tentulah menyintai bangsanya sendiri lebih daripada bangsa yang lain, namun cinta dan kasih itu tidaklah menghalalkan dirinya untuk melakukan kezaliman dan ketidakadilan kepada bangsa yang lain.

Realiti perjuangan Islam

Menghayati maksud firman Allah SWT ini, maka inilah perjuangan Islam di bawa PAS yang ingin membawa masyarakat mengenali Tuhan Yang Maha Mencipta alam ini iaitu Allah SWT. Inilah hasrat para ulama Tanah Melayu satu ketika dahulu yang mengambil inisiatif menubuhkan Parti Islam Se-Tanah Melayu dan hari ini dikenali sebagai Parti Islam Se-Malaysia atau singkatnya PAS.

Dari awal penubuhannya hinggalah ke hari ini, matlamatnya tidak pernah lari walau seinci, tidak pernah berganjak walau sejengkal. Misi utamanya ialah memperkenalkan Allah SWT sebagai pencipta dan mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah SWT bukan hanya di tikar sejadah tetapi di medan siasah.

Allah itu yang disembah di dalam solat, Allah itu jugalah yang disembah di dalam pentadbiran. Inilah hakikat yang tidak dibawa oleh UMNO yang menyebabkan para alim ulama yang asalnya berada di dalam UMNO bertindak keluar menubuhkan PAS.

Sejak 50 tahun yang lampau, kita tidak pernah lekang menyebut hakikat ini di hadapan rakyat jelata. Jatuh bangun kita sepanjang melalui jalan politik ini tidak pernah menjauhkan kita walau sedikit dari matlamat utama memperkenalkan Islam yang tulen kepada masyarakat.

Kita mengajak semua lapisan rakyat untuk meyakini bahawa dunia ini diciptakan oleh Allah SWT dengan manusia hanya bertaraf penumpang walau sebesar manapun pangkat dan kuasanya. Kita juga menyeru rakyat agar meyakini bahawa selepas hidup ini akan tiba kehidupan yang lain iaitu alam akhirat. Di alam akhiratlah segala amalan manusia akan dibalas tanpa ditinggalkan sedikitpun oleh Hakim Yang Maha Adil iaitu Allah SWT.

PAS akan terus menongkat cita-cita murni ini walau sehebat manapun gelora yang membadai. Kita penuh yakin bahawa UMNO tidak akan jujur di dalam memperkenalkan Islam kepada rakyat Malaysia khususnya.

Bagi kita, ke hulu atau ke hilir kita berakit, tetap Islam menjadi tali pengikatnya. Jika kita boleh menerima bahawa di rumah ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh anak-anak, di sekolah ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh para pelajar, di dalam negara ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh rakyat, maka sudah tentu di bumi ada peraturan yang perlu dipatuhi.

Peraturan tersebut ialah Islam dan bukan semangat nasionalis yang membawa kepada ideologi perkauman yang sempit. Kesemua enakmen-enakmen peraturan hidup di dunia ini telah termaktub di dalam al-Quran selaku lidah rasmi Allah SWT atau disebut sebagai kalamullah.

Peraturan Islam jamin keamanan semua manusia

Peraturan yang diperkenalkan Islam sama sekali tidak akan menyusahkan manusia. Ia akan mengamankan semua manusia. Lihatlah perkara-perkara yang diharamkan oleh Islam, kesemuanya merupakan perkara-perkara yang memudaratkan.

Menghindarinya bermakna mengamankan hidup kita. Ini kerana mencuri, merompak, berzina, menipu, rasuah, menyeleweng, khianat yang kesemuanya diharamkan oleh Islam turut ditolak oleh kesemua manusia tidak mengira bangsa dan agama.

Demikian juga perkara-perkara yang diwajibkan atau digalakkan oleh Islam seperti mentaati pemimpin, mematuhi ajaran nabi, bercakap benar, menepati janji, tidak menipu, menghormati orang tua, menghormati semua agama, menghubungkan persaudaraan adalah kesemuanya merupakan nilai-nilai yang baik dan diterima secara universal.

Oleh yang demikian, tidak ada sebab untuk kita menolak ajaran Islam. Jika semua kita menerima pakai ajaran Islam dan boleh menepikan seruan kedaulatan bangsa tertentu  sehingga mengguris bangsa lain, saya yakin ia akan mengurangkan ketajaman perselisihan antara kaum yang sedang diasah oleh pihak-pihak tertentu dalamnegara kita.

Inilah dasar Islam yang cukup adil dan mulia. Maka sesuai dengan maksud al-Quran yang telah dirujuk pada awal di atas, ia jelas menunjukkan bagaimana perintah Allah SWT sendiri supaya melakukan kebaikan kepada orang-orang bukan Islam yang tidak memerangi orang Islam.

Atas perintah Allah inilah bagi pihak kerajaan yang berkuasa adalah menjadi tanggungjawab memberi keadilan dan layanan yang baik bukan sahaja kepada umat Islam tetapi seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang sosial mereka.

Menerima pandangan Dr. Yusuf al-Qaradawi

Atas kemuliaan ajaran Islam, maka usaha untuk memperkenalkan Islam yang sebenar turut dilakukan oleh tokoh intelek Islam terkenal, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi melalui bukunya “Golongan Non-Muslim di dalam Masyarakat Islam”.

Buku ini adalah antara hidangan istimewa yang sesuai untuk kita hadam dan diskusikan oleh semua pihak ke arah memahami Islam dan menolak prejudis terhadap Islam. Secara peribadi, saya telah mengikuti pandangan beliau semenjak saya pulang ke tanah air sekitar tahun 1960-an.

Saya mula menggunakan kitab beliau iaitu ”Islam dan Sekular : Satu Pertentangan” di dalam majlis pengajian yang saya kendalikan. Satu demi satu kitab beliau saya habiskan hinggalah ke hari ini, saya menggunakan kitab karangan beliau iaitu Fiqh Daulah di dalam majlis pengajian saya.

Sepanjang pengkajian saya terhadap pendekatan yang digunakan oleh beliau, nyata sekali beliau merupakan seorang tokoh intelek yang mengamalkan pendekatan wasatiyyah. Beliau tidak ekstrim dalam mengemukakan pandangannya, dan tidak pula menolak mentah-mentah pandangan orang lain.

Sesuai dengan pengalaman yang pernah terlibat dengan usaha dakwah Islamiah menerusi pertubuhan Ikhwanul Muslimin, maka pandangannya dilihat rasional dan berssandarkan pengalaman praktikal serta sesuai untuk direalisasikan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia ini.

Justeru, ketokohannya diiktiraf oleh dunia dengan pelbagai anugerah yang diperolehi termasuklah dua anugerah dari Malaysia iaitu anugerah Ijazah Kehormat dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 1996 dan turut diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan pada tahun 2009 biarpun Perdana Menteri kita, Najib Tun Razak menuduhnya sebagai pengganas.

Semoga pandangan-pandangan sederhana beliau seperti yang ditulis di dalam banyak bukunya dapat diterima pakai sebagai asas membina hubungan yang harmoni di antara Muslim dengan Nonmuslim di Malaysia.

Sinar Islam memenuhi harapan

Harapan masyarakat Malaysia adalah untuk mewujud sebuah kehidupan aman, damai, sejahtera dan harmoni berteraskan agama. Besarlah harapan agar kita semua dapat menjernihkan pandangan kita terhadap Islam yang sekian lama disolekkan dengan wajah yang comot oleh pihak-pihak yang tertentu.

Segala prejudis dan salah faham yang sering mengabui mata hendaklah dicuci sama sekali, agar kita semua dapat melihat warna Islam yang sebenar. Sesungguhnya sinar Islam adalah cahaya yang boleh memenuhi harapan kita semua. Sejarah sendiri menyaksikan bagaimana orang Cina dan India lebih dahulu menerima Islam berbanding orang Melayu.

Ia berlaku kerana sinar Islam itu dipancarkan dengan baik kepada mereka. Ia cukup membuktikan bahawa Islam tidak asing di kalangan kedua-dua bangsa ini. Justeru, kepada sahabat sebangsa saya yang masih enggan menerima Islam. Ingatlah, sesungguhnya Allah S.W.T hanya akan memuliakan sesuatu bangsa itu dengan Islam. Tanpa Islam, Allah SWT pastinya akan menggantikan kaum yang lain untuk menerajui pentadbiran di bumiNya. Sebagaimana firmanNya (surah Muhammad:38) yang bermaksud :

"Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini. Semoga setiap amalan yang kita lakukan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT, maka bersetujulah kita dengan kemuliaan dan kebesaran-Nya yang merahmati umat manusia ini dengan sinar Islam".

______________________________________
Oleh : Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Mursyidul AM PAS

a story about FRIENDSHIP



Friendship (^_^)

aku tidak akan putus asa, sehingga engkau senyum...
SABAR itu yang perlu...
BERSANGKA BAIK itu pasti...
HADIAH buat mu akan ku cari...
ENGKAU SAHABAT KU


Bedah Surah Al Shaff (Barisan)

Tulisan ini merupakan tafsiran Surah al Shaff, sebuah imbasan daripada karangan as Syahid Syed Qutb rahimahuLlah yang berjudul, 'Tafsir Fi Dzilal Al Quran', sebuah tafsiran yang ditulisnya ketika beliau berada di jerjak penjara. Surah al Shaff bertujuan memacak dua asas yang begitu jelas disebut di samping isyarat-isyarat lain yang turut disentuh sekitarnya. Iaitu :

PERTAMA : Bertujuan memacakkan keyakinan di dalam diri setiap Muslim bahawa agama Islam adalah satu agama dan manhaj Ilahi yang terakhir untuk manusia. Ia pula telah didahului sebelumnya oleh beberapa bentuk manhaj yang bersesuaian dengan tahap-tahap perkembangan sejarah dan pengalaman kehidupan manusia yang dapat membina asas yang teguh untuk agama terakhir ini. Justeru surah ini telah menyebut tentang risalah Nabi Musa A.S dan kaumnya yang menyakiti dan menyeleweng daripadanya yang menamatkan kelayakan mereka sebagai pemegang amanah risalah Allah di muka bumi ini.

Ia juga menyebut tentang risalah Nabi Isa A.S termasuklah kedudukannya sebagai penyambung risalah Nabi Musa di samping menjadi penyedia tapak dan pembawa khabar gembira kepada kehadiran al Rasul dan risalah langit yang terakhir. Oleh itu, Baginda Al Masih diutuskan untuk menyerahkan amanah ini kepada Nabi Muhammad S.A.W. Takdir Allah menentukan bahawa perjalanan risalahNya sepanjang zaman akhirnya berhenti dan terbina teguh di tangan Nabi Muhammad yang mulia.

KEDUA : Di atas asas yang pertama ini, terbina pula asas kedua yang ditekankan oleh surah ini iaitu terbentuknya rasa tanggung jawab dan taklif yang berat yang perlu dipikul oleh umat Islam yang menerima amanah agung tersebut daripada umat-umat yang terdahulu. Ia lantas mendorong mereka untuk memasang niat yang benar dan ikhlas kepada perjuangan menegakkan amanah ini. Ia tidak ragu-ragu lagi bahkan menempelak sikap nifaq di dalam perjuangan.

Di pertengahan surah pula, Allah mendorong seluruh warga iman untuk menyambut seruan kepada satu perniagaan paling menguntungkan di dunia dan akhirat iaitu berjihad di jalan Allah dengan seluruh jiwa dan raga.

Surah al Shaff diakhiri dengan ajakan terhadap warga iman agar menjadi penolong dan pembantu kepada Allah sebagaimana golongan Hawariyyun yang telah menyatakan kesanggupan mereka di hadapan Nabi Isa AS sekalipun Baginda ditentang oleh Bani Israel sendiri.

Inilah dua asas utama yang merangkum segala isi di dalam surah al Shaff. Ia termasuklah kecaman terhadap golongan yang menentang agama terakhir ini yang berusaha bermatian untuk memadamkan cahayanya.

Maka adalah jelas di sisi seorang Muslim bahawa agamanya adalah agama Allah yang terakhir. Dia terbeban dengan amanah besar ini. Dia diwajibkan berjihad demi agamanya itu. Dia bahkan, tidak boleh teragak-agak lagi. Akhlaknya adalah benar dan ikhlas. Tidak boleh berkata apa yang dia sendiri tidak buat. Kata dan perbuatannya adalah sama. Zahir dan batinnya adalah sama. Dirinya adalah dirinya sepanjang masa tanpa nifaq dan ragu-ragu. Dia konsisten dalam perjuangan dan keikhlasannya. Itulah akhlak yang agung.

"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

Surah al Shaff yang isi besarnya adalah bertujuan memperteguhkan konsep amanah agung yang dibebankan ke atas umat Islam ini telah dimulai dengan perkhabaran tentang kumat-kamit tasbih dan kalimat-kalimat pujian dan penyucian oleh seluruh makhluk Allah di langit dan bumi terhadapNya daripada sebarang kekurangan.

Ia adalah satu isyarat yang mengilhamkan rasa kebersamaan di sisi umat Islam bahawa risalah Islam yang dipikulnya itu adalah satu amanah kewujudan seluruhnya. Ia adalah satu perjuangan menegakkan akidah isi alam seluruhnya dan kemenangannya adalah kemenangan buat seluruh alam yang tunduk dan menuju kepada Allah, Tuhan sekalian alam.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!"
"Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya"
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh"

Kemudian Allah terus mengutuk keras terhadap satu kejadian yang berlaku di kalangan satu kelompok umat Islam yang dibenciNya iaitu kejadian menolak untuk melakukan perkara yang mereka katakan.

Mengikut satu riwayat oleh Ali bin Talhah daripada Ibnu Abbas bahawa segolongan orang beriman sebelum diturunkan kefardhuan berjihad telah berangan-angan dan berkata, jikalah Allah tunjukkan kepada mereka sebaik-baik amalan lalu mereka akan segera beramal dengannya.Allah lalu mengkhabarkan NabiNya bahawa amal yang terbaik adalah beriman denganNya tanpa ragu-ragu dan berjihad menentang musuhNya. Tatkala diturunkan ayat jihad, segolongan mereka menjadi keberatan dan membencinya. Allah memurkai sikap mereka lalu menurunkan ayat di atas.

Ayat ini walaupun diturunkan di dalam isu jihad, tetapi ia bukan khusus bertumpu kepada semata-mata soal jihad, bahkan ia meluas dan merangkum ke semua aspek dan lapangan kerja umat Islam bahawa Allah membenci dan memurkai sifat munafik yang merosakkan binaan peribadi muslim yang mulia iaitu sifat benar di dalam akhlak dan tingkah lakunya dan sentiasa sama di antara luar dan dalamnya.Justeru ayat pertama bermula dengan kecaman terhadap satu sikap yang keji iaitu berkata-kata terhadap perkara yang tidak dilakukan. Ayat kedua kemudiannya menambahkan kepanasan kecaman itu dengan membayangkan kemurkaanNya dengan kalimah 'al maqt' yang bermaksud kemarahan yang melampau.

Ayat ketiga seterusnya merujuk kepada kejadian asal yang dimurkai iaitu perihal menolak jihad di jalan Allah.

Ada tiga kesinambungan yang disebutkan di dalam ayat perang itu. Ia bukan hanya perang, bahkan hendaklah di jalan Allah. Ia pula hendaklah dalam satu saf dan jamaah. Ia juga mestilah teguh, penuh konsisten dan istiqamah. Tiga ikatan yang bersambungan inilah yang dimaksudkan dengan jihad yang disukai oleh Allah.

Islam Membina Umat
Sesungguhnya Al Quran datang untuk membina satu umat. Ia dibina untuk memikul amanat ugamanya di muka bumi. Justeru ia membina peribadi dan peribadi itu dibina di dalam jamaah. Pembinaan itu pula berlaku secara amalan dan praktikal dalam satu masa. Maka Islam tidak tergambar kecuali di dalam satu ruang himpunan yang tersusun, memiliki ikatan, peraturan dan tujuan iaitu membina manhaj Ilahi di dalam diri dan masyarakat di muka bumi. Ia membina sebuah masyarakat yang hidup, bergerak, bekerja dan menghasil produk kehidupan yang membangunkan muka bumi di dalam hudud dan lingkungan manhaj Ilahi.

Islam, di sebalik kesungguhannya membina peribadi, bukanlah agama untuk golongan yang suka menyendiri dan lari daripada masyarakatnya. Sebaliknya, Islam datang untuk mentadbir kehidupan dan menguruskannya. Maka pembinaan Islam terhadap diri dan peribadi adalah menumpu kepada asas bahawa mereka mesti hidup di dalam masyarakat dan bersama masyarakat menuju Allah dan manhajNya.

Itulah pembinaan di hari pertama dakwah al Rasul bermula. Ia membina sebuah jamaah sahabat yang dipimpin oleh ketaatan dan kepatuhan kepada ketua dan akhlak jamaah. Ia terbina lebih awal sebelum terbinanya negara Islam di kota Madinah, bahkan ia menjadiwasilah ke arah pembinaan negara Islam yang pertama itu.

Ketiga-tiga ayat di atas sebenarnya menunjukkan berlakunya cernaan akhlak peribadi yang dibina di dalam keperluan masyarakat dan jamaah. Ayat pertama dan kedua yang menggambarkan kemurkaan Allah terhadap mulut yang terlalu mudah berkata perkara yang tidak dilakukannya telah memperteguhkan keperluan pembinaan sifat benar (al shidq) dan konsisten (al istiqamah). Tanda sifat jati mukmin ini sebenarnya telah diulang berkali-kali oleh Allah dan Rasulnya di dalam Al Quran dan Al Sunnah.

Tiga Pemerhatian
Ada tiga pemerhatian yang perlu diketengahkan daripada ayat ketiga yang menyebut mengenai al jihad: Perihal diri manusia yang kadang-kadang dilanda saat-saat kelemahan. Tiada yang dapat menyelamatkannya selain pertolongan Allah melalui tazkirah, taujihat dan tarbiyah yang berterusan.

Mengikut riwayat, mereka adalah segolongan Muhajirin yang berangan-angan jikalau Allah memfardhukan jihad perang semasa awal dakwah di kota Makkah, pasti mereka akan menyahutnya. Tetapi sebaik Allah menurunkan kefardhuan jihad, sebahagian mereka berundur ke belakang. Atau, mereka adalah golongan Ansar yang berangan untuk mengetahui dan melakukan sebaik-baik amalan. Tetapi apabila dikhabarkan bahawa ia adalah jihad, sebahagian mereka membencinya pula.

Mereka adalah Para Sahabat yang di sebalik kekuatan, turut terserlah kelemahan diri. Justeru adalah jelas keperluan memahami diri (al nafs) dan kelemahannya agar difahami betapa pentingnya pemerkasaan, pengukuhan, taujihat dan tarbiyah yang berterusan terhadap diri. Perihal kesukaan Allah terhadap hamba-hambaNya yang berjuang secara berjamaah di jalanNya. Arahan ini bagaikan satu penawar untuk mencergaskan diri orang Mukmin untuk mara berjihad tanpa rasa lemah dan malas.

Sesungguhnya Islam tidak menyukai perang tetapi ia tetap mem-fardhukannya kerana keadaan yang memaksanya dan matlamat kedatangannya yang agung. Dakwah ini walaupun serasi dan menyambut segala keperluan dan kehendak fitrah kemanusiaan yang sejahtera, tetapi ia memerlukan kekuatan yang hebat untuk diterima diri manusia yang terpaksa bertembung dan berlawan dengan kelemahan dan kejahilan diri di samping kedegilan untuk terus mengekalkan adat dan warisan lama yang sesat.

Ia turut pula berhadapan kekuatan musuh yang berhimpun untuk menentangnya demi mempertahankan kelebihan-kelebihan yang dimiliki hasil kemenangan jahiliyah di dalam kehidupan yang menolak agama dan fitrah.

Justeru amat jelas betapa gerombolan iman memerlukan kekuatan yang akan menjaga dan mengawalnya daripada serangan, bahkan mengalahkan tentera jahiliyah tersebut. Bahkan jelas sekali, di saat tiada lagi wasilah selain perang, maka jihad adalah kefardhuan yang tidak boleh dinafikan lagi haknya.

KETIGA : Perihal keadaan jihad yang disukai Allah iaitu dalam keadaan tersusun dan bersaf bagaikan sebuah bangunan yang teguh. Ia adalah kewajiban fardhiah dalam bentuk jama'ie dalam jamaah yang tersusun. Ini kerana musuh yang memerangi Islam bergerak dalam kekuatan jamaah.

Maka begitulah kekuatan Islam mestilah kekuatan yang sama dan menandingi kekuatan musuh. Kemudian, tabiat agama juga menuntut kemenangan secara jama'ie kerana ia membina masyarakat dalam proses pemerintahan jamaie dan tunduk kepadanya. Islam tidak terbina di atas kekuatan individu dan pemerintahan individu. Ia adalah gambaran yang jauh daripada tabiat agama Islam.

Tasawwur yang tergambar daripada sebuah binaan yang teguh yang di-tamsilkan oleh ayat ini melukiskan untuk umat Islam gambaran tabiat agama mereka, menerangkan batu tanda perjalanan dan tuntutan kesatuan dan kerja sama yang perlu diterapkan oleh mereka di dalam kehidupan Islami. Mereka mestilah sering meneguhkan, menampal kecacatan dan menyempurnakan binaan.
"Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu? Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik – derhaka"

"Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad. Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: Ini ialah sihir yang jelas nyata!"

Dua ayat ini menggambarkan kisah dan peringkat perjalanan manhaj Ilahi yang penuh onak di dalam risalah-risalah sebelum kedatangan Islam sebagai manhaj Ilahi yang terakhir.

Pengkhianatan Bani Israel terhadap Nabi Musa AS adalah pelbagai dan berpanjangan. Jihad Baginda pula di dalam membetulkan dan memimpin mereka adalah sebuah jihad yang begitu sukar dan memenatkan. Kisah-kisah Bani Israel yang berupa pengkhiatan yang pelbagai dan jihad yang sukar itu disebut begitu banyak di dalam Al Quran. Sila baca sejarah mereka di dalam al Quran.

Ayat di atas menyebut mengenai kata-kata kecaman Nabi Musa terhadap tindakan mereka, tetapi dalam nada penuh kelembutan. Malangnya, di sebalik segala usaha dan cara yang dikorbankan demi umatnya, Bani Israel terus menyeleweng. Lalu Allah menambahkan lagi penyelewengan mereka. Hati mereka diselewengkan sehingga tidak lagi layak untuk memikul amanah ugama ini dek kesesatan mereka yang nyata. Maka berakhirlah peranan agung mereka di muka bumi.

Kemudian datang pula Nabi Isa AS dengan perkhabaran bahawa baginda adalah utusan Allah, bukan tuhan atau anak tuhan dan bukan satu dalam tiga. Ia manhaj Ilahi yang membenarkan ajaran Nabi Musa dan membawa khabar gembira mengenai kelahiran rasul agung yang akan datang selepasnya bernama Ahmad.

Ia satu bentuk yang melukiskan talian dakwah Ilahi yang saling mengikat dan serah menyerah amanat itu dari satu risalah kepada risalah yang datang selepasnya. Ia manhaj Ilahi yang satu pada asasnya dan pelbagai pada bentuknya berdasarkan persediaan dan pengalaman manusia di zamannya yang berkembang sehingga akalnya menjadi masak dan matang untuk sebuah syariat dan manhaj Allah yang sempurna.

Perkhabaran gembira oleh Nabi Isa terhadap kedatangan Nabi Muhammad adalah thabit dan pasti melalui nas Al Quran ini. Ia tidak terikat dan merujuk kepada versi kitab-kitab Injil yang berada di tangan penganut Kristian hari ini samada wujud sebutan mengenai kedatangannya atau tidak. Ini kerana sejarah penulisan kitab Injil yang penuh kekeliruan itu tidak melayakkannya untuk menjadi rujukan dan pemutus di dalam urusan ini. Al Quran pula, ketuanannya sebagai risalah Allah yang asli adalah jelas dan tiada syak lagi. Justeru segala isinya adalah benar.

"Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, sedang ia diajak kepada memeluk Islam; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim"
"Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)"

"Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad S.A.W) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya"

Tampak daripada kehadiran ayat-ayat di atas selepas sebutan kisah Bani Israel bahawa ianya ditumpukan kepada mereka yang menunggu, tetapi kemudiannya menolak secara keras berita gembira kedatangan Rasul akhir zaman di samping penentangan dan tipu daya berterusan mereka demi menyekat perkembangan dakwah Islam.

Bani Israel telah membina sikap memusuhi dakwah baru ini dengan merancang segala usaha jahat dan memeranginya dengan pelbagai cara. Ia terus berlangsung sejak awal kisah dakwah sehinggalah hari ini tanpa pernah berhenti walau seketika. Mereka menuduhnya sebagai perbuatan sihir yang nyata, tuduhan yang sama dilakukan oleh golongan musyrikin tidak berkitab di kota Makkah.

Mereka memeranginya dengan menanam bibit-bibit fitnah dan percakaran sesama sendiri di dalam kem tentera Muslimin di Madinah. Mereka bekerja sama dengan golongan munafiqin, bahkan dengan golongan musyrikin juga dengan mengkhianati janji dan menyertai tentera musyrikin yang datang memerangi negara mereka sendiri sebagaimana berlaku di dalam perang Ahzab.

Mereka mencetuskan dan menyebarkan fitnah ke atas isteri Rasulullah SAW di tangan Abdullah bin Ubai, ke atas Saidina Uthman di tangan Abdullah bin Saba' dan terus menerus memerangi umat Islam dengan cerita-cerita Israeliyatyang dimasukkan ke dalam sumber utama umat Islam. Ia terus berlangsung sehingga abad akhir kini. Gerakan Zionis dan kristianisasi antarabangsa bersatu melakukan tipu daya memerangi Islam. Di Timur, tercetus perang salib yang panjang manakala di Barat mereka memeranginya di Andalus dan akhirnya mereka masuk ke tengah dan menghancurkan kerajaan khilafah yang terakhir di Turki.

Pada kandungan ayat 8 menggambarkan satu hakikat dan melukiskan satu gambaran persendaan terhadap golongan musuh Islam. Mereka melakukan tuduhan bahawa al Rasul dan dakwahnya adalah sihir. Mereka lalu berusaha keras menikam dan melakukan segala tipu daya untuk membunuh agama Islam dan memadamkan cahayanya.

Alangkah memalukan dan alangkah lemahnya mereka di hadapan sebuah agama yang Allahlah pemiliknya dan penyempurna kepada kesudahannya yang agung. Benarlah janji Allah. Dia menyempurnakan agamaNya di dalam hayat Baginda SAW. Dia membina sebuah jamaah Muslimah yang begitu sempurna yang menayangkan satu gambaran masyarakat agung yang jelas dan hidup untuk generasi selepasnya.

Dia menyempurnakan agamaNya dan nikmatNya ke atas umat Islam. Mereka mencintainya, berjuang di jalannya dan setiap mereka lebih rela dicampak ke dalam api yang panas demi mempertahan dan menikmati keagungan agamaNya itu. Bagaimanakah digambarkan cahaya Allah mampu dihembus mati oleh hembusan dari mulut-mulut manusia?

Terjadilah takdir dan ketentuan Allah Yang Maha Agung bahawa agama Islam akhirnya memperolehi kemenangan di atas muka bumi ini. Persaksian Allah adalah jelas bahawa agama ini adalah petunjuk dan agama yang benar (al huda dan din al haq). Ia adalah kata putus. Ia hujah sepanjang zaman yang menolak seluruh agama lain ke hujung yang kelam.

Agama-agama langit telah diselewengkan dan jika ada secalit yang kekal, maka ia sudah tidak sesuai lagi untuk memandu kehidupan manusia baru yang telah mencapai puncak kematangan. Ia syariat lama yang telah dihakis masanya untuk berperanan.

Ada pun agama-agama berhala yang lain, Islam datang dengan hujah keesaan Allah yang cukup jelas bagai sinaran suria yang menerangi.Adapun secara realitinya pula, telah jelas penyempurnaan Allah terhadap agama dengan kemenangan-kemenangan yang dicapai oleh agamaNya sehingga terus tersebar ke serata alam samada melalui jihad di tanah yang keras atau melalui dakwah yang aman di tanah yang lembut.Bahkan melalui dakwah aman di sebelah Timur, Islam telah dianuti oleh penduduknya berganda-ganda berbanding jumlah penganutnya pada jihadnya yang pertama.

Ayat-ayat di atas hakikatnya telah menjadi pendorong utama kepada umat Islam sepanjang zaman untuk terus memikul amanah yang telah gagal disempurnakan oleh Yahudi dan Nasrani. Ia membina ketenangan dengan janji daripada Allah. Tiadalah mereka selain menjadi alat kepada janji Allah Yang Maha Esa.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?"

"Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)"

"(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga Adn. Itulah kemenangan yang besar"

"Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman"

"Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israel beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang"

Di bawah lembayung kisah akidah dan pertentangannya yang berterusan dengan musuh, Al Quran bergema dengan seruan indah ke atas seluruh orang yang beriman kepada satu perniagaan paling menguntungkan di dunia dan akhirat iaitu perniagaan iman kepada Allah dan berjihad di jalanNya. Dengan pelbagai keindahan bentuk dan lenggok bahasa yang digunakan, ia jelas bertujuan menetapkan satu seruan yang mesti disahut oleh orang-orang yang beriman. Ia bermula dengan seruan khusus terhadap orang-orang beriman dan disusuli dengan tawaran dalam nada pertanyaan daripada Allah sendiri yang mendorong mereka untuk menyahut seruan itu.

Siapakah yang tidak merindui seruan daripada Allah yang menunjuki kepada sebuah perniagaan yang paling menguntungkan?Kemudian, pertanyaan yang begitu diharapkan jawaban segera itu lantas diperolehi tanpa lengah-lengah, saat seluruh pendengaran orang-orang yang beriman tertumpu kepadanya.

"...Kamu beriman kepada Allah dan RasulNya". Itu debaran pertama dan sesungguhnya mereka telah beriman kepada Allah dan RasulNya itu.

Kemudian debaran kedua yang menjadi topik segera menyusul, "...Dan kamu berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri kamu". Kalimah Allah diulang-ulang agar hati mereka menjadi segar dengan janji tuhan yang agung. Kemudian diikuti dengan janji keelokan dan kebaikan, "...Itu adalah lebih baik untuk kamu jika sekiranya kamu mengetahui".

Allah lalu menambahkan kejelasan maksud kebaikan yang dijanjikan itu. "Dia mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurgaNya yang mengalir...". Sesungguhnya ia adalah benar-benar satu perniagaan yang paling menguntungkan. Hayat yang pendek di dunia ini digantikan dengan kehidupan mewah yang abadi di akhirat nanti.

Tetapi kelebihan Allah amat besar. Dia maha mengetahui bahawa jiwa manusia itu lebih melekat kepada janji yang lebih dekat. Allah lalu menyahut keinginan hambaNya dengan janji yang lebih dekat, iaitu pertolongan daripadaNya dan kemenangan agamaNya yang dekat di dunia ini.

Di sini keuntungan perniagaan mencapai kemuncaknya. Ia hanya mampu datang daripada Allah yang takkan kering khazanahNya yang luas.Sesungguhnya manusia yang beriman yang memahami hakikat iman kepada Allah dan hidup dengan hatinya yang segar, kemudian dia melihat kepada sempitnya dunia dan ajal umurnya sudah pasti tidak mampu hidup walau sesaat tanpa iman yang agung ini. Ia tidak mungkin lagi ragu-ragu untuk berjihad di jalan demi menegakkan akidahnya itu dan menanti janji agung Tuhannya.

Tetapi Allah Maha Mengetahui bahawa jiwa itu kadang-kadang dirundung rasa lemah dan lelah. Semangat boleh menjunam dan rasa ingin selamat kadang-kadang mendorong diri untuk berpuas hati dengan realiti kelemahan yang ada. Justeru Allah menyudahkan surah ini dengan satu seruan baru yang membawa kepada rasa yang baru, tolakan yang baru dan isyarat yang baru.

"Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu pembantu Allah sebagaimana golongan Hawariyyun...", Hawariyyun adalah murid-murid kepada Nabi Isa A.S. Di mana lagi tempat yang lebih tinggi berbanding kedudukan sebagai pembantu Allah?

Inilah janji yang lebih tinggi daripada janji syurga dan kenikmatannya. Jadilah pembantu Allah. Perolehilah kemuliaan besar ini. Pengajaran adalah jelas bahawa seruan di dalam ayat di atas adalah demi membangkitkan jiwa orang-orang yang beriman dengan Allah yang diamanahkan untuk memikul beban dakwah ini agar terus bersedia dan siap siaga di dalam menolong Allah dan agamaNya.

Pusingan akhir ini turut berakhir dengan janji kemenangan dan sokongan Allah terhadap mereka yang menyahut seruan iman ke atas musuh mereka. Kemenangan akhirnya adalah menjadi milik pembantu Allah yang beriman.

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Pengerusi Akademi Tarbiyah DPPM

KENAPA ULAMA TIDAK SEKATA ISU HUDUD?

Kenapa umat Islam, hatta di kalangan ulama-ulama terbuang di Malaysia, tidak bersependapat dan sepakat dalam hal pelaksanaan hukum hudud? Malah mereka dilihat bertentangan antara satu sama lain. Seolah-olah hukum hudud itu ada pilihan untuk melaksanakannya atau tidak melaksanakannya. Berikutan kecelaruan itu, apakah pandangan Dato' dalam perkara ini?
 
Dato' Dr. Haron Din : Berlainan dan percanggahan pendapat dalam Islam adalah perkara lumrah dari dahulu hingga sekarang. Bagaimanapun perlulah diketahui bahawa berlainan pendapat itu, ada yang diharuskan syarak dan ada yang dilarang. Malah ada yang amat-amat dilarang.

Yang diharuskan adalah pada perkara-perkara/ furu'iyyah (masalah-masalah cabang) yang tidak ada nas syarak yang memastikannya. Adapun yang diharuskan berkhilaf, adalah pada ruang berijtihad pada perkara yang ada tiada nas syarak, tidak ada ayat yang menetapkan hukumnya. Lebih-lebih lagi pada perkara yang baru timbul, di mana tidak pernah berlaku sebelum ini.

Contoh jelas yang diharuskan berkhilaf. Seperti bila mana sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W tidak bersependapat, sama ada hendak menghimpun dan menulis semula Al Quran. Abu Bakar As Siddiq R.A berpendapat tidak boleh dibuat kerana Rasulullah S.A.W tidak melakukannya dan tidak pernah ada suruhan melakukannya. Oleh kerana itu beliau berpendapat, ia tidak boleh dilakukan. Manakala Umar Al Khattab R.A berpendapat, perlu dilaksanakan usaha pengumpulan dan penulisan Al Quran kerana dibimbangi akan hilang daripada hafalan ummah. Sebabnya pernah berlaku, ramai penghafal Al Quran yang terkorban syahid. Generasi kemudian akan kehilangan Al Quran. Setelah mereka bertelagah, akhirnya mereka bersetuju perlu dihirnpun dan ditulis semula Al Quran.

Demikian juga mereka bertelagah dalam memilih seorang ketua negara untuk menggantikan Rasulullah S.A.W, bagi meneruskan pemerintahan Islam. Mereka bertelagah pada memilih orang, yang akhirnya mereka bersetuju memilih Abu Bakar As Siddiq.

Dalam permasalahan hudud, perlu atau tidak melaksanakannya, telah dijawab oleh amalan Rasulullah S.A.W, para sahabat dan juga as-salafussoleh. Perlu melaksanakannya. Mereka tidak pernah bertelingkah kerana wujud nas-nas syarak yang amat jelas, menyuruh kita, khasnya pihak berkuasa agama, pada setiap generasi, pada setiap negara, wajib melaksanakannya.

Sepatutnya tidak berlaku pertentangan pendapat di kalangan ulama-ulama muktabar, khasnya ulama 'amilin (yang beramal dengan ilmunya), jika kesemua mereka benar-benar takutkan Allah dan melaksanakan perintah Allah. Bagaimanapun jika ada di kalangan mereka, yang takut akan kehilangan maslahat keduniaan, daripada kemurkaan Allah Taala dan azabnya, maka akan berlakulah apa yang anda ajukan pada persoalan di atas, bahawa ada ulama bertelingkah.

Setiap satu dalam kesalahan hudud (mencuri, merompak, berzina, menuduh zina, meminum arak, murtad) semuanya telah ditetapkan Allah hukumannya di dalam Al Quran (dan terang hukumnya) dan juga hadis-hadis sahih, maka pelaksanaannya adalah wajib.

Seperti Allah Taala memerintahkan kita melaksanakannya dalam perintah-Nya menerusi ayat (mafhumnya), "Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu daripada sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah daripada dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan daripada umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik". Surah Al Maidah:49

Di kalangan ulama-ulama muktabar tidak berlaku khilaf dalam kewajipan melaksanakannya. Ini kerana mempertikaikan kewajipannya, adalah bererti melawan dan mempertikaikan hukum Allah yang sabit wajibnya. Jika berlaku demikian, maka bererti mereka melawan hukum Allah. Mengendalakan hukum Allah, mempertikaikan hukum Allah adalah menentang Allah. Firman Allah (mafhumnya), "Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar". Surah At Taubah:63

Ayat-ayat yang sedemikian maksudnya, banyak berulang dalam al-Quran. Antaranya firman Allah (mafhumnya), "Orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, mereka tetap ditimpa kehinaan sebagaimana orang-orang yang terdahulu daripada mereka ditimpa kehinaan; kerana sesungguhnya Kami telah menurunkan keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang menghina. 

"Sesungguhnya orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, mereka termasuk dalam golongan yang amat hina. Surah Al Mujadilah, ayat 5 dan ayat 20.

Ulama muktabar atau ilmuan yang terbilang, tidak mungkin bertelingkah kerana mereka tahu akibat penentangan itu akan menghadapi seksa Allah yang  amat keras menunggu mereka. Ada kalangan ulama yang menjadi ahli politik, menggunakan akal pendek mereka dan menilai kepentingan dan pulangan-pulangan duniawi, atau membela dan mempertahankan kedudukan, atau kepentingan-kepentingan khusus, yang mereka berselindung di sebalik kalimah (bahasa) yang seolah-olahnya mereka bukan menentang, tetapi sebenarnya menentang.

Ini kerana dalam hati mereka, mereka tidak mahu melaksanakan hukuman hudud. Sebenarnya hukum-hukum hudud tidak ada pilihan bagi kita, melainkan mencari jalan yang terbaik untuk melaksanakannya, dan Mta sama-sama menggalas amanah untuk memahamkan masyarakat tentang kebaikan hukuman itu, bagi dilaksanakan sebaik-baiknya tanpa sebarang kecelaruan.

Rukun Faham


Faham yang dimaksudkan ialah anda yakin fikrah atau gagasan anda adalah sepenuhnya berlandaskan Islam. Anda faham Islam sebagaimana yang kami faham, dalam skop dua puluh usul yang ringkas seringkas-ringkasnya ini:

1. Islam adalah satu sistem yang bersepadu mencakupi seluruh aspek kehidupan. Islam adalah negara dan tanahair atau kerajaan dan rakyat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Islam adalah benda dan harta atau pendapatan dan kekayaan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan gagasan. Selain itu Islam juga adalah akidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih.

2. Al-Quran al-Karim dan sunnah yang suci adalah rujukan setiap muslim untuk memahami hukum-hakam Islam. Al-Quran perlu difahami menurut kaedah bahasa Arab tanpa mengada-adakan atau keterlaluan. Sementara sunnah pula perlu difahami melalui ahli hadis yang dipercayai.

3. Iman yang benar, ibadat yang sahih dan mujahadah mengandungi cahaya dan kemanisan yang diberikan Allah ke dalam hati hambaNya yang dikehendaki. Namun ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah dalil hukum syarak dan tidak diambil kira kecuali jika tidak bercanggah dengan hukum-hukum dan nas-nas agama.

4. Tangkal, jampi, kulit kerang yang dijadikan pendinding, menilik dengan cara melukis di pasir, tenung nasib, sihir dan dakwaan mengaku mengetahui perkara ghaib, semua ini adalah amalan sesat yang wajib diperangi, kecuali jampi yang menggunakan ayat al-Quran atau hadis yang ma’thur.

5. Pendapat imam atau wakilnya dalam perkara yang tiada nas ataupun nas tersebut mempunyai pelbagai maksud dan dalam soal masalih mursalah (kepentingan umum) boleh dilaksanakan selagi tidak bertentangan dengan asas syarak. Pendapat ini mungkin berubah mengikut keadaan, budaya dan adat. Asas dalam soal ibadat ialah pengabdian (ta’abbud) tanpa perlu melihat kepada maksud. Sementara dalam soal yang lain ia perlu melihat kepada sebab, hikmah dan maksud.

6. Kata-kata manusia boleh diterima dan boleh ditolak kecuali kata-kata manusia yang maksum iaitu Nabi s.a.w. Segala yang datang daripada generasi silam yang diredai Allah jika bertepatan dengan kitab dan sunnah kita akan terima. Jika tidak kitab Allah dan sunnah rasulNya lebih utama untuk diikut. Walau bagaimanapun kita tidak akan mengecam atau mengkritik mana-mana individu yang tidak sependapat. Kita serahkan kepada niat mereka.Mereka telahpun menyampaikan apa yang telah mereka kemukakan..

7. Setiap orang Islam yang masih belum mencapai tahap ahli nadzar iaitu dapat mengkaji dalil-dalil hukum dalam masalah furu’ hendaklah mengikut salah satu imam dalam agama ini. Namun demikian adalah lebih baik selain mengikut dia berusaha sedaya upaya untuk memahami dalil-dalil tersebut. Dia juga perlu menerima segala tunjuk ajar yang disertakan dengan dalil setelah dipastikan orang yang menunjuk ajar itu adalah orang yang berkebolehan dan berkelayakan. Jika dia memang adalah ahli ilmu dia hendaklah mengatasi kelemahannya dalam bidang ilmu supaya dia mampu mencapai tahap yang membolehkan dia mengkaji.

8. Perbezaan pendapat fikah dalam soal yang kecil tidak sepatutnya menjadi sebab untuk berpecah. Perbezaan pendapat ini tidak sepatutnya menimbulkan permusuhan dan persengketaan kerana setiap mujtahid akan mendapat pahalanya. Namun tidak salah untuk membuat kajian ilmiah dalam masalah-masalah yang dipertikaikan selagimana ia dilakukan dalam suasana penuh kemesraan dan saling bekerjasama untuk mencari kebenaran. Dengan syarat ia tidak menimbulkan perselisihan yang tidak diingini dan budaya taksub.

9. Setiap masalah yang tidak membuahkan amalan tidak perlu dibincangkan secara mendalam kerana tindakan itu dianggap membebankan diri yang dilarang oleh syarak. Ini termasuklah tindakan mencambah hukum-hakam yang masih belum berlaku, mengkaji maksud ayat-ayat al-Quran yang masih belum dicapai oleh sains, berbincang mengenai kemuliaan seorang sahabat berbanding sahabat yang lain dan persengketaan yang berlaku di kalangan mereka. Setiap sahabat ada kelebihan mereka sebagai seorang sahabat nabi dan mereka akan mendapat pahala bergantung kepada niat mereka. Begitu juga dengan takwil yang dibenarkan.

10. Mengenali, mengesakan dan mensucikan Allah Taala adalah akidah Islam yang paling suci. Semua ayat dan hadis sahih yang menyebut tentang sifat Allah dan apa sahaja yang berkenaan dengannya kita yakini sepertimana yang disebutkan itu tanpa kita tafsirkan mengikut kehendak kita atau kita tolak sama sekali. Kita tidak akan libatkan diri kita dalam perselisihan pendapat di kalangan ulama. Kita sepatutnya meniru sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.

"Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami." (Aali Imran: 7)

11. Setiap amalan bid‘ah yang dimasukkan ke dalam agama Allah dan tidak berasas (diamalkan oleh manusia kerana mengikut selera mereka sama ada mereka menokok tambah atau mengabaikannya) adalah sesat dan perlu diperangi serta dihapuskan dengan cara yang terbaik dan tidak membawa kepada keadaan yang lebih buruk.

12. Bid‘ah yang dilakukan dengan cara menambah ataupun meninggalkan atau beriltizam dengan mengamalkan sesuatu ibadat merupakan masalah perbezaan pendapat dari sudut fikah. Masing-masing mempunyai pendapat yang tersendiri. Namun tidak salah untuk mencari kebenaran dengan berpandukan dalil dan bukti.

13. Mengasihi, menghormati dan memuji orang-orang yang soleh kerana amalan baik yang mereka lakukan adalah suatu amalan mendekatkan diri dengan Allah Taala. Apa yang dimaksudkan dengan wali ialah mereka yang disebutkan oleh firman Allah:

"(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa." (Yunus: 63)

Karamah berlaku pada mereka dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak. Namun perlu diyakini mereka yang diredai oleh Allah ini tidak mampu mendatangkan kemudaratan dan kemanfaatan untuk diri mereka sendiri ketika hayat mereka dan juga setelah kematian mereka, apatah lagi untuk melakukannya kepada orang lain.

14. Menziarahi kubur adalah sunnah dan disyariatkan dengan cara yang dinyatakan oleh sunnah. Walaupun bagaimanapun meminta bantuan ahli kubur walau siapapun mereka atau menyeru nama mereka atau meminta sesuatu hajat daripada mereka dari dekat atau jauh atau bernazar untuk mereka atau membuat binaan atas kubur atau menyelimutkan kubur atau memasang lampu di kubur atau menyentuh dan mengucup kubur itu atau bersumpah dengan nama yang lain daripada nama Allah atau apa sahaja bid‘ah yang berkenaan dengannya adalah dosa besar yang perlu diperangi. Kita tidak akan bertolak ansur dengan semua amalan ini agar tidak timbul perkara yang lebih buruk.

15. Doa yang dikaitkan dengan tawasul kepada Allah menggunakan perantaraan salah satu makhlukNya adalah perkara yang melibatkan perselisihan pendapat yang bersifat cabang. Masalah ini lebih kepada masalah dalam kaedah berdoa dan bukan masalah akidah.

16. Adat sumbang yang diamalkan tidak boleh mengubah hakikat lafaz-lafaz syarak. Malah apa yang dimaksudkan oleh istilah syarak ini perlu dikenal pasti dan dilaksanakan menurut erti istilah tersebut. Di samping itu budaya mempermainkan istilah perlu dielak dalam seluruh aspek dunia dan agama. Perkara yang diambil kira bukannya nama sebaliknya apa yang dimaksudkan oleh nama tersebut.

17. Akidah adalah landasan kepada amalan. Amalan hati lebih penting daripada amalan anggota badan. Melakukan yang terbaik dalam kedua-dua amalan ini adalah tuntutan syarak walaupun wujud perbezaan pada sejauhmana ia dituntut.

18. Islam membebaskan akal dan menggalakkan manusia memerhati alam semesta. Islam mengangkat darjat ilmu dan ulama. Islam juga mengalu-alukan segala perkara yang baik dan bermanfaat.

“Hikmah adalah hak orang mukmin yang telah hilang. Oleh itu di mana sahaja dia menemuinya dia adalah orang yang paling berhak untuk memilikinya.”

19. Ada pandangan syarak yang tidak bertepatan dengan pandangan akal namun akal dan syarak tidak akan bertembung dalam soal yang pasti. Penemuan sains yang sah tidak akan bertembung dengan kaedah syarak yang tetap. Bagi perkara yang tidak dipastikan oleh akal atau oleh syarak, ia perlu disesuaikan supaya bertepatan dengan apa yang pasti. Bagi perkara yang tidak dapat dipastikan oleh syarak dan oleh akal, pandangan syarak perlu diutamakan sehingga akal dapat membuktikan kebenarannya atau sebaliknya.

20. Kita tidak mengkufurkan seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah dan masih mengamalkan tuntutan dua kalimah syahadah serta menunaikan amalan fardhu –sama ada mengikut suatu pendapat atau kerana melakukan suatu maksiat-kecuali jika dia mengeluarkan ucapan kufur dan mengakuinya, atau menolak sesuatu yang menjadi asas agama atau tidak mempercayai kenyataan al-Quran yang jelas, atau mentafsir al-Quran menurut cara yang tidak bertepatan sama sekali dengan gaya bahasa Arab, atau melakukan sesuatu yang tidak boleh diandaikan kecuali sebagai kufur.
Setelah seorang muslim memahami agamanya berpandukan asas ini barulah dia memahami apa yang sering dilaungkannya:

“Al-Quran adalah perlembagaan kami dan rasul adalah ikutan kami.”

As Syahid Imam Hassan Al Banna

Subscribe Us


Start Work With Me

Contact Us
KAIZAN NAZLAN
+60194501495
Kuala Lumpur, Malaysia