-->

Sunday, November 6, 2011

KEADAAN DUNIA ISLAM DAN KEPENTINGANNYA bahagia 7
DUA HAKIKAT PENTING DI GELANGGANG POLITIK YANG MESTI
DIKETAHUI OLEH PEJUANG ISLAM

Saudara-saudara yang mulia !

Dalam kegelapan yang menghitam ini, di sana masih terdapat harapan yang cerah,
berkilapan cahayanya, dalam dua hakikat ini :

PERTAMA: Sesungguhnya Allah telah menurunkan bala ke atas penduduk yang atheis, yang berterusan  dalam kefasikan. Allah telah menurunkan bala kepada penyeru yang menghalalkan segala-galanya. Allah telah memecahkan mereka menjadi berpuakpuak, sebahagian dari mereka menggunakan kekuatan dalam usaha menghancurkan sebahagian yang lain. Inilah di antara kelebihan-kelebihan Allah yang dikurniakan kepada hamba-hambanya.

Firman Allah :
وَلَوْلا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَفَسَدَتِ الأرْضُ
Maksudnya : "..dan andainya Allah tidak mempertahankan setengah mereka dengan setengah
yang lain nescaya rosaklah bumi…" (Al-Baqarah : 251)

Kerana kalau mereka memanah umat Islam dengan busur yang satu nescaya jadilah bagi umat Islam satu penyakit teruk yang tidak boleh diubati lagi, tetapi mereka jadikan syaitan sebagai penolong mereka.

Firman Allah :
إِنَّ آَيْدَ الشَّيْطَانِ آَانَ ضَعِيفًا
Maksudnya : "..dan sesungguhnya tipu helah syaitan itu adalah lemah.." ( Al-Nisa’ :76 )

KEDUA: Jiwa penganut Islam tidak kurang semangat mereka terhadap Islam dan kemuliaan. Apa sahaja usaha dan perbuatan meruntuh dan menghancur yang dilakukan oleh pemimpin dan penyeru sekular tidak melemahkan mereka.

Di sana ada beberapa bukti yang menunjukkan bahawa apabila ada satu jemaah yang cergas, cukup lengkap dengan syarat keahliannya untuk menjalankan peranan kepimpinan dan pentadbiran, jemaah yang tegak di atas keimanan yang kuat dengan berpegang teguh kepada Islam, yang bangun di atas akidah yang kuat dengan dasar Islam dan keazaman yang benar untuk mengorbankan segala2 pada jalan ini, sama ada
perkara yang dikorbankan itu mahal atau murah maka tidak syak lagi bahawa pada akhir nanti dokongan umat akan kembali kepada mereka. Allah akan memberi  kemenangan kepada mereka di dalam pertempuran yang menentukan di antara yang haq dengan yang batil. Merekalah yang akan bertanggungjawab membersihkan umat Islam dari segala bentuk najis fahaman atheis tidak bertuhan, amalan fasik dan jahat. Kemuliaan, kebahagiaan dan kemakmuran akan kembali seperti di abad sebelumnya.

Firman Allah:
وَلا تَيْئَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ
إِنَّهُ لا یَيْئَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلا الْقَوْمُ الكَافِرُونَ
Maksudnya : Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah ( kerana ) tidak berputus asa
dari rahmat Allah kecuali golongan yang kufur. ( Surah Yusuf: Ayat 87 )

DI ANTARA KEWAJIPAN PEMUDA ISLAM

Untuk mengakhiri ucapan saya ini, penting juga bagi saya membuat kesimpulan kepada pemuda-pemuda yang beriman terutama para bijak pandai yang mempelajari ilmu moden tentang beberapa perkara yang harus mereka titik beratkan untuk bangun bekerja dengan sungguh-sungguh dalam situasi yang berlaku sekarang :

1. Pertama kali saya harus memperkenalkan hakikat Islam dengan secara terperinci, agar anda semua benar-benar menjadi muslim, baik dari segi ilmu pengetahuan mahupun dari segi fikiran. Juga agar anda benar-benar menjadi muslim dari segi hati dan perasaan, supaya anda mendapat sebesar-besar habuan daripada kemampuan yang cukup lengkap dan berada di dalam kelengkapan yang pasti untuk melaksanakan kerja kemasyarakatan di zaman sekarang yang sesuai dengan perundangan dan ajaran Islam.

2. Anda semua mesti segera memperbetulkan budi pekerti yang telah menyeleweng, memperbaiki adat yang telah rosak sehingga anda dapat memperlihatkan perkara secara praktikal bagi Islam seperti mana datuk
nenek kita telah memperlihatkannya pada masa lampau. Hendaklah anda semua mengetahui bahawa percanggahan antara perkataan dengan amalan itu akan menuumbuhkan bibit-bibit nifaq dalam jiwa. Ia akan
menghilangkan kepercayaan. Sesungguhnya kejayaan akan bergantung kepada kejujuran dan niat anda, benar di dalam keazaman dan keselarasan di antara amalan anda dengan perkataan anda. Sesungguhnya seseorang yang berkata apa yang ia tidak lakukan akan mendatangkan kemudaratan besar terhadap dakwahnya.

Firman Allah :
یَاأَیُّهَا الَّذِینَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لا تَفْعَلُونَ *
آَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman ! Mengapa kamu berkata barang yang kamu tidak buat. Besarlah kemurkaan di sisi Allah bahawa kamu berkata barang yang kamu tidak buat. ( Surah Al-Sof : 2-3 )

3. Janganlah anda merasa sayang untuk mencurahkan segala apa yang anda mampu melalui fikiran dan tenaga bekerja yang Allah kurniakan kepada anda untuk berdakwah. Samada dengan tulisan atau dengan ucapan. Hendaklah anda mengkaji asas-asas tamaddun barat dan mengkritik serta membezakan di antara asas yang silap dengan yang betul. Anda perlu dapat membebaskan fikiran dan jiwa orang Islam dari meniru orang-orang barat. Anda hendaklah mampu menghancurkan berhala-berhala dan teori-teori barat kerana teori ini telah banyak menipu segolongan orang-orang Islam sejak zaman berzaman.


Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut yang lain pula hendaklah anda bertugas menyusun dan membentangkan undang-undang Islam yang bersangkutan dengan kehidupan manusia dengan cara-cara yang paling munasabah dan mudah dalam mempraktikan supaya dapat menarik dan meyakinkan generasi baru bahawa undang-undang Islam itu adalah betul dan baik. Anda hendaklah mampu meyakinkan mereka bahawa jika mereka mengamalkan sistem Islam mereka bukan sahaja akan maju ke depan, malah mereka akan mendahului bangsa lain dalam semua cabang kehidupan. Sesungguhnya makin luas daerah kegiatan kerja anda dan makin betu dengan manhaj Islam maka makin bertambah banyaklah bilangan pendakwah, bilangan pendokongnya dan bilangan orang yang berpengaruh dengannya di dalam tiap perjuangan hidup. Dan tugas anda ini hendaklah diteruskan untuk jangka masa yang panjang hingga tiba suatu hari, di mana akan lahir kumpulan manusia yang ramai, yang beriman dengan tugas dakwah dan bergabung di bawah panji dakwah Islamiyyah. Kumpulan ini sangat kita perlukan untuk mengikat bangunan negara di atas tiang-tiang seri yang berlandaskan Islam. Termasuk di dalam perkara sia-sia sekiranya kita mengira bahawa perubahan Islam secara lengkap dan sempurna boleh wujud dengan tidak didahuluinya oleh persiapan yang cukup. Jika di takdirkan perkara itu berhasil juga dengan tiada persiapan yang cukup lengkap maka perkara itu tidak akan tahan lama dan terasnya tidak akan bertapak kukuh di bumi.

4. Hendaklah anda gabungkan tiap-tiap orang yang berminat dengan dakwah Islamiyah kepada usrah dan kumpulan anda. Hendaklah anda menyusun orang-orang yang ada di kalangan mereka dalam satu jemaah yang kuat, yang mempunyai disiplin yang kukuh dan mempunyai perlembagaan yang utuh hingga kelemahan dan kelonglaian tidak boleh menyelit dicelah-celah barisan anda.

Sesungguhnya semata-mata membentuk jemaah di kalangan manusia yang telah bersetuju dengan dasar tertentu tanpa ada penyusunan yang licin, kukuh dan segala gerak kerjanya di tolak oleh perasaan taat dan patuh, maka itu adalah pekerjaan yang cacat tidak akan membuahkan natijah. Ini telah
dibuktikan oleh pengalaman dan pengajaran yang telah lepas. Orang yang berpengalaman sahaja dapat menjelaskan kepada anda.

5. Begitu juga anda mesti bekerja keras menyebar dakwah di kalangan orang-orang awam hingga anda boleh menyingkap kabus kejahilan mereka. Anda jadikanlah mereka itu terang benderang mengenai agama mereka, sehingga mereka dapat membezakan di antara yang buruk dari yang baik.
Demikian juga anda mesti bekerja keras memperbaiki budi pekerti mereka, meninggikan taraf pemikiran dan fahaman mereka terhadap Islam supaya mereka dapat berdiri tegak dan teguh dalam menghadapi serangan ideologi, seruan kepada maksiat dan kefasikan yang sedang bermaharaja lela di negeri-negari Islam, dengan dibantu dan dokongan dari kerajaan yang telah rosak.

Ini adalah penting kerana :
-Bumi yang rakyatnya telah mempertuhankan syahwat dan kelazatan hidup tidak boleh menjadi bumi yang baik untuk dibangunkan negara Islam,

-Bila lahirnya sikap pura-pura dan merebaknya kejahatan yang menyeluruh di kalangan umum manusia, mustahillah untuk dibangunkan dasar dan undang-undang Islam di kalangan para pendusta, pengkhianat dan orang orang fasik. Sejauh mana mereka boleh hidup dengan dasar dan sistem kafir maka sejauh itulah mereka tidak boleh hidup dengan dasar dan sistem Islam.
6. Jangan anda cuba membangun dasar-dasar Islam di atas asas yang tidak sihat, di atas tiang seri yang lemah dan di atas tunjang yang bergoyang. Anda mesti bersabar dahulu di dalam masalah ini, kerana matlamat yang mahu kita capai itu ialah matlamat yang besar, yang bertujuan membaiki nilai-nilai kemanusiaan, memberikan fahaman kepada manusia dan mengembalikan mereka ke kandang Islam sesudah mereka berada di dalam kemurtadan sejak beberapa lama. Kerja-kerja yang baik seperti ini memerlukan keteguhan dan kesabaran dan pemikiran yang matang. Anda pasti menghayung langkah kedepan dan tiap langkah mesti berwaspada, bijaksana dan berhati-hati. Dan jangan anda terlalu cepat menghayung langkah baru sebelum anda mengulangi hasil langkahan anda dahulu serta menganalisa natijahnya : Adakah langkahan itu berjalan di atas jalan yang telah digariskan, adakah ia memberi natijah yang diharapkan. Antara
hakikat yang mesti diterima ialah gopoh gapah itu adalah suatu perkara yang tidak selamat akibatnya.
Contohnya - kita menyertai di dalam suatu kementerian yang tidak betul dan tidak beriman dengan dengan dasar-dasar kita - Harapan kita menyertai di dalam kementerian itu akan memberi suatu langkah yang boleh mendekati

kepada tujuan-tujuan kita. Tetapi itu adalah perkara yang salah kerana pengalaman lalu membuktikan bahawa usaha yang seumpama ini tidak akan membuahkan natijah yang baik, kerana orang yang memegang teraju pemerintahan, merekalah yang menetapkan polisi pemerintahan dalam dan luar negerinya dan menyelenggarakan polisi pemerintahan itu berdasarkan kepentingan dan nafsu mereka. Penyertaan kita bersama mereka dengan membawa tujuan yang baik, bersih dan mulia terpaksa berganding bahu
dengan mereka dan terpaksa menyesuaikan dengan perjalanan mereka. Ini memberi erti bahawa pada akhirnya kita akan jadi trompet dan alat mainan di tangan mereka, yang boleh mereka lakukan terhadap kita mengikut sesuka hati mereka.


bersambung.......

Abul A’la Al-Maududi

Hai, thank you for visiting my blog. Hope my sharing gives some good info and benefit for you. Do drop some comments bellow to share your thought and share this article with your circle ke.

0 comments:

Post a Comment

Subscribe Us


Start Work With Me

Contact Us
KAIZAN NAZLAN
+60194501495
Kuala Lumpur, Malaysia