-->

Sunday, February 27, 2011

RASULULLAH (SAW) SEBAGAI TOKOH KEPIMPINAN
RASULULLAH (SAW) SEBAGAI TOKOH KEPIMPINAN

Sebagai pemimpin yang dipilih oleh Allah, tentunya baginda dirancang sedemikian rupa untuk menjadikan baginda pemimpin mithali. Kehidupan baginda yang yatim, hidup dalam suasana kehidupan yang serba sederhana menjadi batu asas penting dalam proses pemupukan sifat kepemimpinan baginda . Dengan kehendak dan pemeliharaan Allah, baginda dapat membataskan dari baginda dari perkara yang merosakkan dan tidak berfaedah. Baginda akhirnya manjadi manusia yang paling dipercayai yang digelar “al-amin” oleh seluruh masyarakat di zamannya.

Sifat asasi yang wajib bagi para nabi dan rasul terserlah dengan cukup nyata pada diri Rasulullah (SAW). Sifat-sifat tersebut ialah : SIDIQ, AMANAH, TABLIGH DAN FATONAH. Sifat-sifat ini merupakan tunggak asasi keperibadian dan kepimpinan Rasulullah (SAW).

SIDIQ ialah sifat yang mempunyai ciri-ciri benar yang merangkumi nilai-nilai tidak melakukan sifat bohong dan pendustaan, sama ada dalam percakapan mahupun dalam perbuatan. Ini merujuk kepada sifat tiadanya kontradiksi anatara apa yang diucap dengan apa yang dilaksanakan. Di samping itu, sidiq juga membawa maksud hidup dan perjuangan baginda itu bertunjangkan kebenaran hakiki, yang boleh membawa manusia mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Sifat asasi yang lain ialah AMANAH, iaitu merujuk kepada sifat melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan. Baginda tidak melakukan walaupun sedikit penyelewengan, penyimpangan atau pengkhianatan. Apa yang diarahkan oleh Allah itulah dilaksanakan olah baginda seutuh dan setulennya.


Sifat asasi yang lainnya ialah TABLIGH, yang secara literalnya bermaksud “menyampaikan”. Ianya merujuk kepada sifat baginda melaksanakan tanggungjawab menyampaikan seluruh dan sepenuhnya risalah kenabian dan kerasulan baginda kepada manusia. Baginda tidak sedikit pun menyembunyikan apa yang ditanzilkan oleh Allah kepada baginda untuk disampaikan kepada umat manusia sejagat. Di samping baginda juga dengan sifat tabligh itu mempunyai kemahiran dan kemampuan komunikasi yang tinggi. Dengan itu, ianya membolehkan manusia yang didakwahkan oleh baginda memahami maksud dan tujuan dakwah tersebut.

Sifat asasi yang lain ialah FATONAH, iatu bermaksud “bijaksana”. Sebagai pembawa risalah Allah, dan pemimpin manusia sejagat, baginda merupakan pemimpin yang mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa. Ini dapat dilihat melalui tindakan-tindakan yang baginda laksanakan dalam sejarah perjuangan dan kehidupan baginda.

Dengan sifat-sifat asasi tersebut, baginda telah melaksanakan tanggungjawab kenabian dan kerasulan dengan berjaya, dan ianya penuh dengan contoh dan teladan yang bukan sedikit yang sewajarnya dicungkil dan dihayati oleh seluruh umat manusia, terutamanya oleh umat Islam, khususnya mereka yang merasakan diri mereka pejuang dan penggerak Islam.

Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21:
Yang bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik Hari Akhirat serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang dan ingatlah kepada Allah banyak-banyak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
(Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara yang mana sekiranya kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu Al-Quran & As-Sunnah)

Hai, thank you for visiting my blog. Hope my sharing gives some good info and benefit for you. Do drop some comments bellow to share your thought and share this article with your circle ke.

0 comments:

Post a Comment

Subscribe Us


Start Work With Me

Contact Us
KAIZAN NAZLAN
+60194501495
Kuala Lumpur, Malaysia