-->

Monday, February 25, 2019

BELAJAR DARI UNIVERSITI KEHIDUPAN

“Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja” - Hamka


Satu perkara yang mungkin mereka dan kita terlupa akan kepentingannya dalam membina kehidupan ialah…
‘ILMU’
Keperluan ilmu adalah sangat penting pada hari ini berbanding zaman sebelumnya. Selepas kita meninggalkan zaman industri, kita sekarang berada di zaman informasi yang sentiasa bergerak laju ke hadapan. Pergerakan yang begitu pantas inilah menyebabkan nilai bagi sesuatu ilmu itu menjadi sangat tinggi. Jika tiada ilmu, maka kita akan ketinggalan.

Ramai yang mengejar gred akademik dengan cara menghafal ayat-ayat buku, soalan bocor dan formula lalu dimuntahkannya kembali di dalam dewan peperiksaan. Jika begini cara kita belajar maka percayalah masuk tahun atau semester hadapan, apa yang kita hafal itu semua akan hilang.

Seseorang yang berilmu itu bukan diukur dengan hanya sekadar menghafal teori-teori lama yang dipelajari di dalam kelas di sekolah atau teori-teori di dalam kelas pengurusan di universiti semata-mata.

Dalam dunia keusahawanan. Usahawan dan bakal usahawan perlu lebih didedahkan dengan ilmu-ilmu praktikal yang menjadi keperluan semasa kita pada hari ini. Perlu dipastikan juga ilmu yang dipelajari itu boleh dimanfaatkan dalam kehidupan. Dengan ilmulah seseorang itu akan lebih berani ke hadapan.

Persoalan saya, adakah institusi pendidikan hari ini sudah menyediakan persiapan yang cukup buat anak-anak muda bagi menghadapai dunia yang sebenar? Dunia yang penuh dengan cabaran, godaan dan kealpaan?

Sudah lengkapkah sistem pendidikan di sekolah dan universiti untuk mempersiapkan anak-anak muda bagi mendepani dunia sebenar yang kian lama kian mencabar? Sudah cemerlangkah sistem pendidikan kita dalam membina pemikiran manusia yang berwawasan, emosi yang mantap dan kerohanian yang suci?

Atau kita hanya sibuk membina generasi yang mengejar sijil? Yang suatu hari nanti mereka akan mula sibuk menjaja diri mereka dalam sektor-sektor swasta dan kerajaan? Jika tiada tawaran maka pengangguran akan menjadi pilihan. Apa yang malang lagi adalah apabila mereka membiarkan orang lain menentukan nilai diri sendiri dengan mengikut dan mempercayai kata-kata orang lain berbanding kata-kata hati yang ingin mendorong dan membangunkan diri.

Kita tidak boleh hanya bergantung kepada ilmu-ilmu yang diajar di sekolah mahupun di universiti semata-mata untuk berjaya di dunia dan akhirat. Hari ini kita perlukan ilmu-ilmu yang lebih praktikal, ilmu yang boleh dimanfaatkan pada situasi kita sekarang, ilmu yang mampu menjadi bekalan untuk seseorang itu membina sebuah kehidupan.

Namun ilmu semata-mata tidak mampu menjadikan kita tahan lasak dengan sepak terajang ujian kehidupan. Elemen utama selepas ilmu ialah elemen pentarbiyahan diri. Pentarbiyah atau dalam kata lain ‘latihan’ ialah elemen yang akan menguatkan diri seseorang itu saat diuji dan kental jiwanya untuk berani melangkah kehadapan kembali.

Kita sebenarnya memerlukan ilmu-ilmu dan pentarbiyahan kehidupan yang berjaya membentuk insan-insan luar biasa seperti tokoh-tokoh Islam seperti Sultan Muhammad Al Fatih, Sultan Salahuddin Al Ayubi, Ibnu Khaldun, Ibnu sina dan banyak lagi.

Kita perlu mencontohi tokoh-tokoh perniagaan seperti Steve Job, Antony Robbin, Oprah Winfrey, J.K Rowling, Bill Gates, Tan Sri Syed Mokhtar Bukhary, Sulaiman Ar Rajhi sebagai inspirasi dan panduan membangunkan empayar perniagaan sendiri.
Kita juga perlu menjadikan pemimpin-pemimpin kerohanian yang hebat seperti Sheikh Yusuf Al Qaradawi, Hassan Al Banna dan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz sebagai pedoman.

Ilmu dan pentarbiyahan ini tidak dapat kita miliki daripada sistem pendidikan sekolah dan universiti yang sedia ada semata-mata kerana banyaknya polisi dan silibus pendidikan hari ini dipegang ketat oleh orang politik yang mempunyai kepentingan peribadi. Tetapi kita mampu mempelajarinya melalui sistem pendidikan yang diatur oleh Allah s.w.t.

Sistem pendidikan yang mengajar kita erti susah dan senang, cabaran dan dugaan, pemurah dan bakhil, bijak dan jahil, melalui pengalaman sebenar dan kita merasainya melalui kehidupan. Maka, saya namakan ia sebagai Universiti Kehidupan.

Realitinya, kita semua sedang melalui sebuah Universiti Kehidupan. Sama ada seseorang itu sedar atau tidak, hidup ini ialah sebuah ‘universiti’ yang besar yang tiada sempadan. Tidak kiralah kita belajar di UiTM, UTM, UTHM, UTP, UUM dan sebagainya. Hakikatnya anda, saya dan semua berpijak di sebuah universiti yang sama iaitu Universiti Kehidupan.

Di Universiti Kehidupan inilah tokoh-tokoh hebat yang saya nyatakan seperti di atas mendapat pendidikan utama mereka dan berjaya. Kita juga mampu menjadi seperti mereka. Memiliki kejayaan hebat seperti mereka. Tetapi, persoalannya ialah sanggupkah kita menempuhi ujian-ujian dalam Universiti Kehidupan?

Di Universiti Kehidupan kita akan mempelajari tentang dunia sebenar. Dunia yang penuh dengan pembelajaran, pengalaman dan warna-warni kehidupan. Dunia yang kadang-kala bercanggah dengan logik akal.

Saya ingin mengucapkan selamat datang ke Universiti Kehidupan.





Hai, thank you for visiting my blog. Hope my sharing gives some good info and benefit for you. Do drop some comments bellow to share your thought and share this article with your circle ke.

0 comments:

Post a Comment

Subscribe Us


Start Work With Me

Contact Us
KAIZAN NAZLAN
+60194501495
Kuala Lumpur, Malaysia