Wahai Pemuda
Wahai pemuda,
Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang
mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya.
Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan
tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda.
Kesimpulan
ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas
keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat
insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap
tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah.
Itulah
sebabnya maka angkatan pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap
merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan
rahsia kekuatan mana-manah kebangkitan; malahan angkatan pemuda jugalah
yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah
perjuangan.
Allah berfirman;
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
Sesungguhnya
mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan
Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Kahfi:13)
Dengan
kesimpulan inilah maka kamu, angkatan pemuda akan menghadapi kewajipan
yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat
yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan
ke atas bahu kamu itu akan menjadi bertambahberat.
Oleh itu sepatutnya kamu berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah kamumenentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna.
Ada
pemuda yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya
tenang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya
cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya
sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan
berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.
Di
samping itu ada pula pemuda yang lahir membesar di tengah-tengah umat
yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai
oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk
mengembalikan hak mereka yang dirampas, harta kekayaan yang disamun.
Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang. Pada ketika itulah
kewajipan utama lagi pertama bagi pemuda tersebut supaya menumpukan
segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah
dirinya sendiri.
Ketika
bertindak sedemikian itu, pemuda tersebut akan memperolehi kemenangan
dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk
kebajikan dan pahala di akhirat kelak.
Kita,
Angkatan Pemuda Islam ini, bertuah sebab kita termasuk ke dalam
golongan yang kedua hingga terbukalah mata kita melihat umat yang terus
menerus berjuang serta bertungkus lumus demi kebenaran dan kebebasan.
Oleh itu, bersedialah wahai angkatan kesatria, alangkah hampirnya
kemenangan itu untuk orang-orang yang beriman, dan alangkah besarnya
kejayaan yang akan dicapai oleh angkatan yang terus menerus bekerja dan
bertindak.
Wahai angkatan pemuda!
Sudut
yang paling merbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang
membangun-terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan
ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan,
bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur
di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur
dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai
beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala
matlamat yang dituju.
Menyedari
hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu
analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi
yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan
reformasi.
Memandang
semua inilah saya berasa berkewajipan menerangkan dengan jelasnya
kepada anda sekalian dari hal hakikat dan program dakwah Islam untuk
kurun yang ke-14 hijrah ini.
Dakwah Islam Dalam Kurun Yang Keempat Belas Hijrah
Wahai angkatan pemuda !
Sebenarnya
kita telah pun beriman tanpa sebarang keraguan atau prasangkaan malah
kita sudah pun yakin dengan sepenuhnya sekira-kiranya keyakinan kita ini
lebih kukuh dan tegap dari gunung-ganang yang memasak bumi, lebih dari
segala lubuk hati sanubari bahawa tidak terdapat sebarang apa pun jua
fikrah perjuangan melainkanhanya satu sahaja fikrah yang benar-benar mampu menyelamatkan duniayang
sedang terseksa, yang benar-benar mempunyai daya upaya membimbing
kemanusiaan yang sedang berada di dalam keadaan tercengang-bangang, dan
yang benar-benar sanggup memimpin umat manusia ke arah jalan yang
sewajarnya.
Fikrah
atau ideologi perjuangan yang seperti itu mustahak diberi segala
pengorbanan demi meninggikan kedudukannya, demi memperkenalkannya serta
mendorong umat manusia supaya menghayati dengan segala jiwa raga serta
memberikan dari sekecil-kecil pengorbanan hinggalah semahal-mahalnya.
Fikrah
yang tunggal ini tidak lain dan tidak bukan ialah “Islam yang maha
suci” yang sekali-kali tidak terdapat di dalamnya sebarang apa pun jua
penyelewengan, keburukan dan kesesatan yang akan menimpa sesiapa yang
mengikutnya.
Allah berfirman(Al-Imran:18-19):
شَهِدَ
اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُوْلُوا
الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ
الْحَكِيمُ إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ
Allah
menjadi saksi, dan para malaikat dan ahli cerdik pandai bahawa tidak
ada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang berlaku adil terhadap makhluknya,
tidak ada Tuhan melainkan Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.
Sesungguhnya ugama yang di sisi Allah itu ialah Islam.
Suatu lagi firman Allah (Al-Ma’idah:3):
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمْ الْإِسْلَامَ دِينًا
Hari
ini Aku sempurnakan bagi kamu akan ugama kamu, dan Aku penuhkan kepada
kamu nikmatKu, dan redhalah Aku Islam itu sebagai ugama bagi kamu.
Jelas
bahawa fikrah perjuangan kita hendaklah fikrah yang bersifat Islam
dengan setulin-tulinnya. Di atas dasar Islamlah fikrah kita berpijak,
daripada sumbernyalah kita mendapat petunjuk. Kerana Islam maka kita ini
berjuang dan demi kerana meninggikan kalimahnya maka kita bekerja serta
bertindak. Fikrah kita tidak sekali dapat menyamakan sebarang sistem
dengan sistem Islam, tidak sekali-kali redha mengikut sebarang pimpinan
yang lain malah fikrah kita sekali-kali tidak akan patuh kepada apa jua
hukum melainkan Islam.
Allah berfirman (Al-Imran : 85):
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ
Dan barangsiapa mencari ugama selain dari Islam maka usahanya itu tidak sekali – kali akan di terima.
Islam serta penganut-penganutnya pernah mengalami suatu zaman cubaan di
mana mereka ditimpa dengan pelbagai kemalangan dan dikelubungi oleh
bencana yang bertubi-tubi. Pada ketika itulah musuh-musuh Islam telah
bekerja untuk memadamkan sinarannya, cuba untuk menyembunyikan
keindahannya bahkan untuk menyesatkan para pemeluknya, membantutkan
pelaksanaan hukum hududnya serta melemahkan bala tenteranya di samping
memutar ajaran serta hukum-hukumnya. Kadang-kadang mereka lakukan dengan
cara mengurangkannya dan terkadang pula dengan jalan
menambah-nambahkannya dan selain dari itu, dengan mentafsirkan
hakikatnya dengan cara yang tidak sewajarnya.
Dalam usaha yang jahat itu mereka mendapat peluang yang baik bila berlakukehilangan kuasa politik dari
umat Islam dan kehancuran pemerintahan sejagat mereka di samping
kemerosotan semangat Muhammadiyah di kalangan bala tenteranya. Akhirnya
jatuhlah seluruh umat Islam itu ke dalam genggaman umat kufur sebagai
mangsa penghinaan dan penjajahan.
Oleh itu tugas utama lagi pertama bagi kita
angkatan pemuda Islam ialah memberi penjelasan kepada orang ramai akan
hakikat segala batas agama Islam, menjelaskan kepada mereka itu dengan
seberapa terang, sempurna dan jelas tanpa sebarang tambah dan tokok atau
kekurangan atau sebarang kesamaran. Tugas seperti ini merupakan sudut
teori bagi hakikat fikrah kita.
Di samping itu kita
mestilah mengajak mereka melaksanakan fikrah kita itu serta mendorong
mereka demi menyelamatkannya serta membimbing mereka ke arah beramal
dengan ajarannya. Sudut ini di namakan sudut amali bagi fikrah
perjuangan kita.
Pegangan
kita dalam semunya itu ialah kitab Allah yang tidak pernah diresapi
oleh kepalsuan sejak dulu hingga sekarang, dan keduanya ialah sunnah
yang benar serta nyata datangnya dari Rasulullah s.a.w dan juga sejarah
perjalanan bersih dari angkatan salaf umat Islam ini.
Kita
tidaklah menghendaki di sebalik usaha itu sebarang apa pun jua
melainkan keredhaan Tuhan, menunaikan kewajipan dan memimpin umat
manusia serta menunjuk jalan kepada orang ramai.
Kita akan terus berjihad demi
untuk menjayakan fikrah kita itu, dan kita akan berusaha sedaya upaya
demi untuk menegakkan supaya dengan itu dapatlah kita sekalian hidup
mulia atau sebaliknya biarlah kita mati secara yang mulia. Cogan kata
kita ialah :
Allah matlamat kami ;
Rasul itu ikutan kami ;
Al-Quran itu perlembagaan kami ;
Jihad jalan kami; dan
Mati pada jalan Allah ialah setinggi-tinggi cita-cita kami.
Wahai angkatan pemuda !
Sesungguhnya
Allah telah memuliakan kamu dengan menamakan kamu angkatanNya, dengan
mengurniakan iman kepada kamu serta mendidik kamu atas dasar ugamanya,
dan Allah telah meletakkan kamu di martabat tertinggi di muka dunia dan
di kedudukan para da’i di kalangan orang ramai serta Allah
menganugerahkan kepada kamu kemuliaan seperti yang dianugerahkannya
kepada maha guru di hadapan muridnya.
Allah berfirman (Al-Imran : 110):
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ
وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Kamulah
sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu
kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan
kamu beriman kepada Allah.
Allah berfirman (Al-Baqarah : 143):
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ
Demikianlah pula Kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi terhadap umat manusia.
Oleh itu perkara yang pertama sekali yang Allah menyeru kamu ialah hendaklah kamumempunyai keyakinan diri sendiri, dan hendaklah kamu menyedari martabat kamu dan
yakinlah bahawa kamulah sebagai tuan di dunia walaupun musuh-musuh kamu
sudah tentu ingin melihat kamu berada di dalam kehinaan. Hendaklah kamu
yakin bahawa kamu adalah sebagai guru kepada umat-umat di dunia
walaupun pada waktu-waktu yang tertentu orang lain pernah mengatasi kamu
dalam sesuatu sudut yang tertentu; namun demikian, kemenangan terakhir
adalah di tangan orang-orang yang bertaqwa jua.
Oleh itu, wahai angkatan pemuda!
Hendaklah kamu menentukan matlamat dan haluan kamu. Ketahuilah bahawa titik kekuatan ialah iman. Hasil dari iman ini lahirlah perpaduan.
Dengan ini tercapailah kemenangan yang cemerlang. Maka segeralah kamu
beriman, berukhuwwah dan bertindak, kemudian tunggulah kemenangan dan
sampaikanlah berita baik ini kepada seluruh para mukminin.
Seluruh
dunia berada di dalam keadaan cengang -bengang lagi bergejolak. Segala
sistem yang ada kini telah gagal mengubatinya. Tidak ada sebarang ubat
untuk menyelamatkan dunia ini melainkan dengan Islam jua. Oleh itu,
tampillah ke hadapan dengan nama Allah untuk menyelamatkan dunia itu
kerana seluruh umat manusia sedang bertunggu-tunggu ketibaan seorang
penyelamat dan juru penyelamat ini tidak akan berlaku melainkan dengan
mengamalkan risalah (perutusan) Islam, iaitu risalah yang dibawa
obor-obornya oleh kamu. Bangkitlah dan siarkanlah nya ke seluruh alam.
Wahai angkatan pemuda !
Ada
pun manhaj atau program induk kita angkatan pemuda Islam memanglah
mempunyai tahap-tahap yang tertentu, lengkap dengan
rancangan-rancangannya yang terang lagi jelas. Sebenarnya kita memang
benar-benar tahu apa yang kita kehendaki dan kita juga memang tahu
bagaiman wasilah dan jalan yang boleh menyampaikannya kita kepada
kehendak kita itu.
(1) Mula-mula sekali kita mahu diwujudkan individu muslim;
iaitu individu muslim dalam pemikirannya, muslim dalam aqidahnya,
muslim dalam segala tingkah laku serta perasaannya. Muslim dalam segala
tindak-tanduknya. Ini dinamakan pembentukan keperibadian kita.
(2) Selepas itu kita mahu diwujudkan rumahtangga muslim,
iaitu rumahtangga yang bersifat muslim dalam fikirannya, muslim dalam
aqidahnya, muslim dalam segala tingkah laku serta perasaannya, muslim
dalam segala amalan serta tindak tanduk. Bagi mencapai matlamat ini kita
memelihara wanita sama seperti mana kita memelihara angkatan pemuda.
Ini dinamakan pembetukan keluarga kita.
(3) Selepas itu kita mahu diwujudkan umat Islamiyah,
iaitu umat bersifat muslim dalam semua sudut yang tersebut tadi. Bagi
mencapai maksud ini kita bekerja supaya seruan dakwah kita sampai ke
setiap buah rumah. Kita berusaha supaya suara kita kedengaran hingga ke
setiap tempat, supaya fikrah kita ini berpeluang meresap masuk keseluruh
dusun dan desa, pekan dan bandar, kota dan negeri. Dalam hal ini kita
tidak boleh kedekut tenaga seperti mana kita tidak akan membiarkan
mana-mana wasilah yang mampu kita lakukan.
(4) Selepas itu kita mahu diwujudkan kerajaan Islam.
Kerajaan yang memimpin umat ini menuju ke masjid, yang boleh
mendorongkan orang ramai ke arah petunjuk Islam seperti mana didorongkan
para sahabat Rasulullah s.a.w dahulu seperti Abu Bakar dan Umar. Untuk
mencapai maksud ini kita tidak boleh menerima sebarang pemerintahan
kerajaan yang tidak bertapak di atas asas Islam dan tidak mengambil
ajaran dari sumbernya(Al-Quran dan As-Sunnah). Kita tidak dapat mengakui
parti-parti sekular yang ada sekarang. Kita tidak dapat menerima segala
bentuk dan corak yang sudah usang yang dipaksakan kepada kita oleh
orang kafir dan musuh-musuh Islam supaya kita berhukum dengan
undang-undang mereka. Akan tetapi sebaliknya kita akan terus bertindak
untuk menghidupkan semua sistem pemerintahan Islam dalam semua bidangnya
sehinggalah terbentuknya kerajaan Islam di atas asas sistem fikrah kita
ini.
(5) Selepas itu kita mahu mencantumkan semula setiap bahagian tanahair Islam kita,
tanahair yang telah dipecah belahkan oleh politik barat dan yang
dihapuskan perpaduannya oleh sikap tamak-tamak dan haloba negeri-negeri
Eropah. Bagi mencapai tujuan ini kita tidak dapat menyetujui segala
pembahagian sempadan dan negara yang dilakukan dengan tujuan politik
seperti yang ada sekarang. Kita juga tidak menerima segala perjanjian
antarabangsa yang menyebabkan tanahair umat Islam dipecah-belahkan
menjadi negeri-negeri kecil yang lemah dan dikotak katikkan supaya mudah
ditelan oleh para perampas. Kita juga tidak akan berdiam membisu
terhadap perbuatan menceroboh kebebasan umat-umat yang lemah ini dan
segala bentuk cengkaman ke atas mereka. Mesir, Syria, Iraq, Saudi,
Yaman, Libya, Tunisia, Algeria, Morocco, Malaysia dan setiap jengkal
bumi yang di dalamnya terdapat insan muslim yang mengucapkan Lailaha
illa Allah, semuanya itu adalah merupakan tanahair Islam yang terbesar.
Kita terus menerus berusaha demi untuk memerdekakannya dan menyelamatkan
serta melepaskannya dari cengkaman luar dan akhirnya mencantumkannya
semula segala bahagiannya yang bercerai-berai itu.
Jika
sekiranya seseorang Jerman itu meletakkan dirinya sebagai pembela
kepada sesiapa sahaja orang yang berketurunan darah Jerman, maka aqidah
Islam pula mewajibkan setiap orang muslim sebagai pembela kepada setiap
insan yang meresap masuk ke dalam dirinya ajaran kitab Qur’an. Menurut
istilah Islam, faktor-faktor keturunan darah-daging tidak boleh dianggap
lebih kuat hubungannya dari faktor iman kepada Allah. Dalam persoalan
ini aqidah Islam itu yang merupakan segala sesuatu kerana iman itulah
yang membezakan di antara kasih sayang dengan kebencian.
(6) Selepas ini kita mahu pula panji-panji Allah itu kembali
berkibaran di angkasa segala pelusuk dunia yang pada suatu masa dulu
pernah menikmati kebahagiaan hidup di bawah fikrah Islam, iaitu
negeri-negeri yang pernah berkumandang suara azan dengan ucapan takbir
dan tahlil membesarkan Allah. Kemudian malangnya negeri-negeri tersebut
menjadi malap cahayanya lalu jatuh semula ke tangan kafir setelah
beriman. Sepanyol, Sicily, negeri-negeri Balkan(Bosnia, Croatia, Serbia
dll) dan Itali Selatan semuanya itu adalah negeri-negeri kepunyaan umat
Islam yang mesti kembali semula kepangkuan Islam. Laut Mediterranean dan
Laut Merah sebagai dua tasik kepunyaan umat Islam mestilah dikembalikan
seperti sediakala.
Jika
sekiranya Mussolini (Diktator Italy semasa perang dunia kedua)
berpendapat bahawa beliau berhak mengambil empayar Rom yang telah
diwujudkan di atas asas kehalobaan dan hawa nafsu, maka kita pula
berpendapat bahawa kita adalah berhak mengembalikan keagungan empayar
Islam yang telah diwujudkan di atas asas keadilan dan keinsafan dengan
tujuan menyebarkan cahaya serta petunjuk bagi seluruh umat manusia.
(7) Selepas itu, di samping perkara-perkara yang dicita-citakan tadi, kita mahumencanangkan seruan dakwah kita kepada seluruh dunia dan
kita mahu menyampaikannya kepada sekalian umat manusia sehingga meresap
keseluruh pelusuk bumi dan sehingga tunduklah setiap makhluk yang
angkuh itu kepada seruan tersebut, agar tidak lagi berlaku fitnah dan
kembalilah ugama itu semuanya kepada Allah. Pada ketika itu
bergembiralah orang-orang mukmin dengan pertolongan Allah. Allah pasti
menolong sesiapa yang di kehendakinya kerana Dia adalah Maha Gagah lagi
Maha Penyayang.
Perlu di sebut bahawa setiap tahap program induk tadi telah lengkap mempunyai perencanaannya,
pecahan serta wasilah-wasilah yang boleh digunakan. Tetapi di sini kita
memadai dengan serba ringkas tanpa membicarakannya dengan panjang dan
perincian. Allah jualah tempat kita memohon pertolongan dan memadailah
Dia sebagai tumpuan kita dan sebaik-baik pengawal.
Biarlah
orang-orang yang culas serta pengecut itu berkata kononnya dakwah kita
ini “hanya suatu angan-angan yang begitu jauh dan suatu dongengan yang
menawan hati manusia.
Sebenarnya
itulah yang dikatakan kedayusan yang kita tidak pernah kita kenali dan
tidak juga diajar oleh Islam. Itulah dia yang dikatakan al-wahn
atau sifat pengecut yang dilemparkan ke dalam hati umat kita ini lalu
mendedahkannya kepada musuh-musuh, dan itulah yang dikatakan kemusnahan
hati sanubari serta kekosongannya dari iman dan inilah yang merupakan
sebab kejatuhan umat Islam.
Namun demikian, kita tetap mengistiharkan dengan jelas serta terus terang bahawasesiapa
orang muslim yang tidak percaya kepada program induk dakwah kita ini
dan tidak bekerja untuk menjayakannya maka mereka tidak langsung
mempunyai saham kepada Islam. Eloklah ia mencari fikrah lain untuk dipercayai dan bekerjalah dengan ideologi tersebut.
Wahai angkatan pemuda,
Sebenarnya kamu sekarang tidaklah begitu lemah berbanding
dengan angkatan yang terdahulu dari kamu yang diberikan kemenangan oleh
Allah hasil usaha mereka. Oleh itu janganlah kamu merasa hina, merasa
lemah malah hendaklah kamu meletakkan di ruang matahati kamu akan firman
Allah (Al-Imran:173):
الَّذِينَ
قَالَ لَهُمْ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ
فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
Mereka
berkata kepadanya: sesungguhnya orang ramai telah pun mengumpulkan
tenaga terhadap kamu, hendaklah kamu merasa takut kepada mereka itu,
tetapi mereka ini menjadi bertambah kuat imannya. Lalu mereka berkata
memadailah Allah itu untuk kami dan Dialah sebaik-baik pengawal.
Kita akan mendidik diri kita sendiri supaya
terbentuklah dari kalangan kita ini apa yang dinamakan individu muslim.
Kita juga akan mengasuh rumahtangga kita supaya lahirlah daripadanya
nanti apa yang kita sebutkan sebagai rumahtangga muslim. Kita juga akan
membentuk umat kita supaya terbentuklah apa yang dinamakan umat Islam.
Dan sudah tentu kita akan turut serta ke dalam umat Islam ini dan kita
akan terus menerus bergerak menurut langkah-langkah yang sudah
ditetapkan menuju hingga ke hujung jalan dan sehingga tercapai sasaran
yang Allah tentukan kepada kita; bukan sasaran yang kita sendiri
menentukannya. Dan dengan izin Allah serta pertolongannya kita akan
tiba di matlamat yang ditujui. Allah tetap enggan melainkan mesti
menyempurnakan citaNya walaupun dibenci oleh orang kafir.
Bagi
menghadapi persoalan ini kita telah pun menyediakan iman yang
sekali-kali tidak akan bergoyang, kerja-kerja yang tidak tersekat-sekat,
kepercayaan yang tidak luntur kepada Allah, bahkan kita juga telah
menyediakan jiwa raga yang merasai sebahagia-bahagia hari baginya ialah
hari yang mereka gugur sebagai para syuhada’ di jalan Allah.
Jadikan
itu semua sebagai polisi dalaman dan luaran kita kerana kita mengambil
pengertian tersebut dari hakikat Islam sendiri. Pemisahan di antara
ugama dengan politik bukanlah dari ajaran Islam yang maha suci. Orang
Islam yang tulin keugamaannya dan yang benar-benar memahami segala
pengajarannya tidak mengerti pemisahan seperti itu. Oleh itu sesiapa jua
yang cuba hendak memesongkan kita daripada hakikat manhaj ini, maka
eloklah dia meninggalkan kita kerana orang seperti itu tidak terkeluar
dari salah satu dari dua jenis manusia iaitu:
musuh kepada Islam atau pun jahil mengenai hakikat Islam.
Wahai angkatan pemuda !
Silaplah orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam ini ialah suatukumpulan Darwisy-Tok Lebai yang
mengongkong diri di dalam ruangan sempit ibadat Islam yang hanya
tertumpu kepada sembahyang, puasa, zikir dan tasbih sahaja. Sebenarnya
angkatan Islam yang pertama dahulu tidaklah memahami hakikat Islam dalam
bentuk yang sempit seperti itu; mereka juga tidak beriman dengan cara
begitu; akan tetapi mereka itu beriman dengan Islam sebagai aqidah serta
ibadat, sebagai tanahair dan kebangsaan, sebagai akhlak serta
kebendaan, sebagai kebudayaan dan undang-undang serta toleransi dan
kekuatan.
Mereka yakin bahawa Islam itu adalah suatu sistem yang sempurna yang
sesuai dengan segala bidang kehidupan dan mampu menyusun urusan dunia
seperti mana ia menyusun urusan ke akhiratnya. Mereka yakin Islam itu
sebagai suatu sistem yang mempunyai kedua-dua sudut amalan dan teorinya
sekali. Dengan keyakinan seperti itu maka Islam bagi mereka ialah ugama
dan negara serta Qur’an dan pedang.
Namun demikian mereka tidaklah pula lalai dari menunaikan urusan peribadatan mereka
dan tidak culas menunaikan segala fardhu yang diwajibkan untuk Tuhan
mereka. Mereka cuba sedaya upaya untuk mengelokkan lagi tata tertib
solat. Mereka juga membaca kitab Allah serta berzikir kepada Allah
menurut cara yang disuruh oleh Allah dalam batas-batas yang ditentukan
kepada mereka, tanpa mengada-ngada dan melampau-lampau, dengan tidak
bermain-main di kulit luar dan tidak pula terlampau mendalam
berlebih-lebihan. Mereka itu lebih mengetahui mengenai sabda Rasulullah
s.a.w yang bererti:
ان هذا الدين متين فأوغل فيه برفق إن المنبت لا أرضا قطع ولا ظهرا أبقى
Sesungguhnya
ugama Islam ini amat kukuh; oleh itu resapilah ke dalamnya
perlahan-lahan. Sesungguhnya orang yang sangat keterlaluan itu akhirnya
tidak ada bumi yang dijalaninya malah tidak pula ia kekal sebarang
tunggangannya.
Meskipun demikian namun mereka tetap jua mengambil bahagian mereka dari keduniaan sekira-kira kadar yang tidak merosakkan akhirat mereka; mereka beramal dengan firman Allah: (surah Al – A’raf : 32)
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنْ الرِّزْقِ
Katakanlah:
siapakah pula yang mengharamkan perhiasan Allah yang diberikannya
kepada hamba-hambanya dan juga rezeki yang baik-baik itu ?
Angkatan Islam mengerti bahawa sebaik-baik gambaran yang diberi kepada para sahabat Rasulullah s.a.w ialah:
رهبان فى الليل وفرسان فى النهار
Ertinya :
Pendeta di malam hari dan satria yang gagah perkasa di siang hari.
Demikianlah pula angkatan Islam ini cuba membentuk diri mereka – Allah jualah tempat kita memohon pertolongan.
Silaplah juga mereka yang menyangka kononnya angkatan Islam mengabaikan tanahair dan patriotik.
Sebenarnya orang-orang Islamlah yang paling ikhlas kepada tanahair mereka.
Merekalah yang paling banyak berkorban kepada tanahair. Merekalah orang
yang paling menghormati sesiapa juga yang bekerja dengan ikhlas untuk
tanahair. Lihatlah, saudara sendiri mengetahui sejauh mana angkatan
Islam menyintai tanah air dan setinggi mana pula mereka bercita-cita
untuk kebaikan umat mereka.
Tetapi
perbezaan di antara orang-orang Islam dengan orang-orang lain yang
mendakwa pejuang tanahair ialah asas patriotis Islam ialah aqidah
Islamiyah. Oleh itu maka pejuang Islam yang bekerja untuk sesebuah
tanahair -misalnya Mesir(atau Malaysia), berjuang pada jalannya dan
mereka sanggup mati dalam jihad seperti itu adalah kerana negeri Mesir
itu ialah termasuk ke dalam bumi Islam. Mereka kemudiannya tidak pula
membataskan perasaan patriotis ini kepada negeri Mesir sahaja tetapi
mereka merangkumkan juga setiap bumi Islam dan setiap tanahair
orang-orang Islam.
Adapun
pencinta tanahair yang tidak bersifat Islam akan membataskan
kecintaannya itu kepada bangsanya sahaja. Mereka pula biasanya hanya
berjuang kerana ikut-ikutan, sukakan promosi, mencari kebanggaan atau
kerana kepentingan-kepentingan yang tertentu. Mereka berjuang bukan
menurut kewajipan yang Allah turunkan kepada hamba-hambanya.
Memadailah
untuk saudara mengetahui bahawa faham patriotisma mengikut angkatan
Islam ialah mereka yakin dengan sepenuhnya bahawa kecuaian terhadap
sejengkal sekalipun dari bumi yang didiami oleh orang-orang Islam adalah
suatu jenayah yang tidak boleh diampuni, hinggalah mereka dapat
mengembalikannya atau pun biarlah mereka mati kerana berjuang untuk
mengembalikannya. Mereka yakin bahawa mereka tidak akan terselamat dari
balasan Allah melainkan dengan berbuat demikian.
Silaplah lagi orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam ini merupakanpenyeru ke arah kemalasan atau keculasan.
Sebenarnya angkatan Islam mengistiharkan saban waktu bahawa seseorang
muslim itu mestilah menjadi pimpinan dalam segenap perkara. Mereka tidak
berpuas hati selagi tidak dapat memimpin, bekerja, dan berjuang serta
mendahului orang lain dalam setiap urusan, sama ada dalam bidang ilmu
pengetahuan, kekuatan, kesihatan, dan juga kekayaan.
Perlu
disebut bahawa apa jua kemunduran dalam sesuatu bidang adalah
merosakkan fikrah perjuangan kita dan menyalahi pula ajaran ugama kita.
Meski
pun demikian kita memanglah menolak fahaman kebendaan(materialisma)
yang menimpa umat manusia, lalu membawa mereka ke arah hidup untuk diri
sendiri sahaja(individualistik) dan mendorong mereka mengguna segala
kemudahan semula jadi, segala masa dan tenaga ke arah kehebatan diri
sendiri semata-mata. Dengan demikian maka seseorang dari mereka itu
tidak akan bekerja untuk faedah orang lain walau sekecil-kecil khidmat
sekalipun malah ia tidak akan mengambil tahu walau sedikit pun dari hal
umatnya. Sabda Nabi saw yang bermasud:
من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم
Sesiapa yang tidak menghiraukan urusan umat Islam maka dia bukanlah daripada mereka.
Rasulullah saw juga bersabda yang bermaksud:
إن الله كتب الإحسان على كل شئ
Allah mewajibkan kesempurnaan dan keelokkan dalam setiap perkara.
Silap juga orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam itu adalah juarapenyeru ke arah sentimen perkauman. Sebenarnya
kita dari angkatan Islam ini memahami bahawa Islam sangat-sangat
menghormati hubungan umum di kalangan umat manusia seperti mana yang
tersebut di dalam firman Allah(surah Al-Hujurat:13):
يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
Wahai
sekalian manusia! sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki
dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak
supaya kamu berkenal – kenalan.
Kita
mengetahui bahawa Islam itu datang membawa kebajikan kepada semua
manusia dan sebagai suatu rahmat kepada sekalian makhluk. Mana jua ugama
yang tugasnya demikian rupa adalah jauh sekali dari perbuatan yang
memecah belahkan hati manusia dan hasut-menghasut sesama mereka. Qur’an
sendiri menguatkan perpaduan ini dengan firman Allah (Al- Baqarah:285):
لا نفرق بين أحد من رسله
Kami tidaklah membeza-bezakan sesiapa pun dari antara para Rasulnya.
Perlu
disebut bahawa Islam melarang dan mengharamkan pencerobohan hinggakan
dalam keadaan kemarahan dan permusuhan sekalipun, Allah berfirman
(Al-Maidah: 8):
وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى
Dan
janganlah kamu dipengaruhi oleh kedudukan satu-satu pihak sehingga kamu
berlaku tidak adil kerana ianya adalah lebih hampir kepada taqwa.
Dan
Islam menganjurkan kebajikan dan kebaikan di kalangan warga negara
sesebuah negara walaupun mereka itu berlainan aqidah dan ugama. Allah
berfirman (Al-Mumtahanah:8):
لَا
يَنْهَاكُمْ اللَّهُ عَنْ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ
وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا
إِلَيْهِمْ
Allah
tidaklah menegah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang
yang tidak memerangi kamu pada ugama dan yang tidak mengusir kamu dari
kampung halaman kamu.
Islam
juga menganjurkan kita berlaku adil kepada orang-orang zimmi (orang
tidak Islam di dalam negara Islam) dan bergaul baik dengan mereka. Ini
ialah menurut dasar :
لهم ما لنا وعليهم ما علينا
Ertinya:
Mereka mendapat hak sama seperti kita dan mereka memikul tanggungjawab seumpama kita juga.
Kita
mengetahui semuanya itu; oleh kita tidaklah menyeru ke arah faham
apartheid dan tidak juga ke arah faham fanatik kelompok.
Walaubagaimanapun, kita tidaklah pula menjual iman kita dengan harga
perpaduan tersebut dan kita tidak juga bersedia untuk tawar-menawar
kerana menegakkan perpaduan tadi sehingga tergadai akidah kita. Kita
tidak akan sanggup berusaha untuk menegakkan perpaduan tersebut hingga
mengorbankan kepentingan orang-orang Islam. Sebaliknya, cukuplah kita
bersedia mengorbankan perpaduan demi kebenaran dan keadilan, tetapi
lebih dari itu.
Oleh
itu, barang siapa cuba membuat selain dari itu maka tentulah kita mesti
menghalangi perbuatannya dan kita akan jelaskan kepadanya kesilapan
fahamannya itu. Bagi Allahlah segala kebesaran dan bagi Rasulnya dan
juga bagi orang-orang mukminin.
Suatu
kesilapan juga orang-orang yang menyangka angkatan Islam ini bekerja
untuk kepentingan badan yang tertentu atau pun mereka bergantung dagu
kepada mana-mana kumpulan. Sebenarnya angkatan Islam ini bekerja untuk
mencapai segala matlamat mereka sendiri menurut petunjuk dari Tuhan
mereka iaitu bersama Islam dan pemeluknya di setiap masa dan tempat.
Mereka membelanjakan apa yang dianugerahkan oleh Tuhan mereka demi untuk
mencapai keredhaannya. Mereka merasa bangga kerana sehingga sekarang
pun mereka masih belum pernah lagi menadah tangan kepada sesiapa dan
mereka tidak pernah meminta pertolongan dari mana-mana orang atau badan
atau pun mana-mana kumpulan.
Wahai angkatan pemuda !
Di
atas dasar-dasar yang tetap dan berdasarkan ajaran-ajaran yang mulia
inilah kita menyeru anda sekalian. Jika anda percaya kepada fikrah
perjuangan ini dan anda menurut jejak langkahnya, memasuki bersama kita
jalan Islam ini, melepaskan diri dari sebarang fikrah yang lain,
menguntukkan segala tenaga untuk aqidah anda, maka itu adalah
sebaik-baik pendirian untuk anda di dunia dan juga di akhirat.
Insyaallah, Tuhan akan menjayakan melalui anda seperti mana yang
dijayakannya melalui angkatan salaf yang terdahulu dari anda ketika
zaman permulaan dulu.
Dengan
itu, setiap pekerja yang ikhlas dari anda yang bekerja di jalan Islam
akan mendapati balasan yang memuaskan cita-cita nuraninya dan setimpal
dengan masanya, jika ia benar-benar termasuk ke dalam golongan
pejuang-pejuang tulin.
Akan
tetapi sebaliknya, jika anda enggan dan terus menerus berdolak-dalik
dan teragak-agak, atau masih mencari-cari antara perjuangan bukan Islam
sebenar yang telah ternyata gagal, maka ketahuilah bahawa batalion
tentera Allah akan terus mara tanpa menghiraukan sama ada sedikit atau
ramai dengan penuh yakin kepada firman Allah (Al-Imran:126):
وما النصر الا من عند الله العزيز الحكيم
Kemenangan itu hanyalah dari Allah Maha Gagah lagi Bijaksana.
Sumber: http://dakwah.info/category/buku-tarbiyah/wahai-pemuda/
DAKWAH.INFO
Comments
Post a Comment