KEADAAN DUNIA ISLAM DAN KEPENTINGANNYA bahagia 2
Saudara-saudara yang budiman,
Andainya penjajah barat merampas harta benda kita, memeras kekayaan negara kita, membunuh, menghapuskan anak cucu kita habisan-habisan dan memusnahkan rumah tangga kita, maka kezaliman seperti itu tidaklah seburuk atau sejelik-jelik natijah jika dibandingkan dengan kezaliman yang mereka lakukan terhadap kita dalam bentuk menaburkan racun-racun tamaddun kebendaan, kebudayaan dan pengetahuan sains yang mengingkari kewujudan Tuhan dan moral akhlak yang runtuh.
Apa yang dapat kita lihat dibuat oleh musuh-musuh Islam itu ialah contohnya:
PERTAMA : Merombak sistem pelajaran dan pendidikan adalah
antara menjadi tujuan penjajahan . Setiap kali berjaya menguasai
sesebuah negara Islam, mereka biasanya terus menghapuskan sistem
pelajaran dan pendidikan kita jika mereka mampu. Atau mereka akan
jadikan orang-orang yang berkelulusan menurut sistem pelajaran kita
tidak ubah seperti barang yang tidak berharga dan seperti suatu benda
yang hanya layak ditempatkan di dalam tong sampah.
KEDUA : Menukar dan menghapus bahasa tempatan umat Islam dengan mengunakan cara yang halus. Mereka tidak akan membiarkan bahasa umat Islam yang telah ditawan itu mempunyai nilai yang tinggi. Mereka singkirkan bahasa-bahasa itu agar tidak digunakan dalam bidang pelajaran dan pendidikan. Mereka juga tidak akan mengekalkan bahasa tempatan sebagai bahasa rasmi dalam sektor pentadbiran negara. Mereka kuatkuasakan bahasa mereka menjadi bahasa rasmi di dalam urusan pendidikan dan pentadbiran negara sebagai pengganti bahasa yang telah dimusnahkan itu. Taktik-taktik yang kotor itu telah pun diamalkan dalam negara-negara Islam oleh semua penjajah barat seperti Belanda, Inggeris, Perancis dan Itali. Begitu juga Russia dan China. Seolah-olah mereka semua telah mengadakan persetujuan bersama dalam mengunakan taktik ini.
KETIGA : Membentuk angkatan baru yang buta (jahil) Islam. Penjajah barat telah mencipta dalam negara-negara Islam melalui cara yang amat halus suatu generasi baru yang jahil tentang Islam yang suci. Mereka ini jahil tentang asas utama akidah, syariat, sejarah Islam yang agong dan tamaddun mereka yang hebat. Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut lain pula generasi ini telah dicelup aliran pemikiran nya sehingga caracara berfikir dan pandangan mereka terhadap perilaku sesuatu itu mengikut kacamata materialisma barat. Dari generasi yang berhaluan barat ini tumbuh pula generasi baru yang lain, yang sudah dapat dipastikan generasi yang belakang ini akan lebih lemah lagi pegangannya terhadap ajaran Islam dibandingkan dengan generasi sebelumnya. Mereka lebih kuat dalam mempertahankan tamaddun barat, lebih cinta kepada kebudayan barat dan lebih yakin terhadap falsafah barat yang berkaitan dengan kehidupan manusia.
MENIRU GAYA HIDUP BUKAN ISLAM
Sesungguhnya kemerosotan pemikiran generasi ini telah sampai kemuncaknya:
PERTAMA : Meniru bahasa dan gaya hidup penjajah. Mereka
menganggap bahawa bahasa sendiri adalah satu keaibpan sementara bercakap
dalam bahasa penjajah satu kebanggaan bagi mereka. Ada di antara mereka
yang merasa gelisah disebabkan mereka adalah orang-orang Islam
sedangkan para penjajah adalah orang yang fanatik dengan ajaran
kristian. Ada pula orang-orang Islam yang merasa bangga kerana mereka
menyeleweng dari landasan Islam; disebabkan kebutaan mereka terhadap
hukum hukumnya. Mereka merombak tamaddun Islam yang luhur ini dengan
segala makian atau tuduhan. Mereka menganggap dengan berbuat begitu, itu
adalah cara untuk menambahkan kemuliaan, meningggikan kedudukan dan
status mereka dalam masyarakat. Padahal penjajah-penjajah barat tetap
merpertahankan peradaban dan tradisi mereka yang lapuk dan berpegang
teguh dengan akidah mereka yang lemah.
KEDUA : Meniru pakaian dan fesyen penjajah. Sedangkan penjajah tidak pernah suka memakai pakaian orang-orang Islam. Mereka tidak pernah mengikut tingkah laku kehidupan orang Islam walaupun hanya sekejap, sekalipun mereka hidup dalam negara ummat Islam seumur hidup mereka.
KETIGA : Meniru cara makan atau minum dan adat istiadat penjajah. Golongan yang berhaluan barat tanpa merasa malu berusaha untuk meniru cara hidup orang-orang barat dalam semua aspek - kecil dan besar. Bermula dari cara makan dan minum mereka sehinggalah kepada adat istiadat seperti cara berdiri dan duduk. Akhirnya mereka masuk ke dalam setiap lubang yang dimasuki oleh orang-orang barat, sekalipun ketika mereka berada di negeri-negeri mereka sendiri (negeri-negeri Islam). Bukan setakat itu sahaja, bahkan mereka merpertahankan cara hidup barat dan mengikut semua peninggalan mereka. Mereka telah terhidu fahaman kebendaan (materialisma), idealisma (fikiran yang tidak mengaku kewujudan tuhan) seperti nasionalisma jahiliah, pergaulan bebas, berbogel (mendedahkan aurat) dan mabuk.
bersambung...............
Abul A’la Al-Maududi


Comments
Post a Comment