LIHAT LANGIT INGAT ALLAH
Ada
satu petua orang tua-tua yang mengatakan bahawa jika hati kita runsing
atau fikiran kita sempit, maka lihatlah langit. Insya-Allah, hati yang
runsing akan mendapat ketenangan. Fikiran yang sempit akan menjadi
lapang. Ya, seolah-olah langit yang sangat luas dan tidak bertepi itu
mampu memberi satu rasa ketenangan di dalam jiwa kita. Tetapi anak-anak
harus ingat, yang memberi ketenangan itu bukan langit tetapi Allah.
Langit hanya menjadi sebab sahaja bagi Allah untuk memberi ketenangan
kepada manusia yang melihatnya.
Untuk menjelaskan hal ini, mari Pak Ngah terangkan satu perkara. Di dunia ini ada dua bentuk penciptaan Allah. Pertama, penciptaan yang dibuat oleh Allah secara langsung. Kedua, ciptaan yang dibuat oleh Allah secara tidak langsung. Apa penciptaan Allah yang secara langsung? Apa pula ciptaan secara tidak langsung?
Untuk menjelaskan hal ini, mari Pak Ngah terangkan satu perkara. Di dunia ini ada dua bentuk penciptaan Allah. Pertama, penciptaan yang dibuat oleh Allah secara langsung. Kedua, ciptaan yang dibuat oleh Allah secara tidak langsung. Apa penciptaan Allah yang secara langsung? Apa pula ciptaan secara tidak langsung?
Mari
kita lihat ciptaan langsung daripada Allah terlebih dahulu. Antaranya,
hutan, bukit-bukau, gunung-ganang, awan gemawan, sungai, laut dan
lain-lain termasuklah langit. Semua itu adalah ciptaan yang dibuat oleh
Allah tanpa campur-tangan manusia. Istilah yang selalu digunakan ialah
‘alam semulajadi’. Tetapi hati-hati yang anak-anak, alam ini bukan
terjadi dengan sendirinya tetapi Allah yang menjadikannya. Semula jadi
itu maksudnya Allah telah ciptakan sejak awal lagi, Ada antaranya
sebelum penciptaan manusia.
Manakala
ciptaan secara tidak langsung pula ialah seperti bangunan, kenderaan,
perabot, talipon dan lain-lain. Semua ciptaan ini dibuat oleh manusia.
Dengan akal fikiran, tenaga fizikal dan keupayaan imiginasi, manusia
mencipta pelbagai alat teknologi. Tetapi ingat, manusia itu dicipta
Allah. Akal, jiwa dan seluruh anggotanya adalah pemberian daripada Allah
jua. Manusia tidak akan dapat mencipta atau membuat sesuatu tanpa
kurniaan Allah. Itulah maksudnya ciptaan tidak langsung dari Allah.
© copyright 1999-2008 Getty Images, Inc. All rights reserved.
Rupa-rupanya
hati kita akan menjadi tenang apabila kita memandang sesuatu ciptaan
yang langsung daripada Allah. Cuba bandingkan bagaimana rasa hati kita
bila melihat bukit-bukau, laut, sungai ataupun tasik dengan
melihat bangunan pencakar langit? Yang mana hati kita lebih tenang.
Tentulah melihat tasik, sungai dan bukit bukan? Sebab itu selalunya
orang beriadah atau berkelah di tepi-tepi tasik, sungai atau bukit.
Begitu juga kalau anak-anak bercuti, selalunya memilih lokasi yang dekat
dengan alam semulajadi.
Jadi
pak Ngah hendak ingatkan, kalau hati kita tenang ketika melihat langit
bukan kerana langit itu yang memberi ketenangan, tetapi kerana langit
itu ‘dekat’ dengan Allah yang menciptanya. Hati kita akan jadi tenang
bila dekat dengan sesuatu yang dekat dengan Allah. Kalau begitupun hati
kita tenang, apalagi kalau hati kita dekat terus dengan Allah melalui
zikrullah dan ibadah. Tentulah akan lebih tenang. Benarlah firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah (zikrullah) hati akan menjadi tenang.”
Anak-anak
tentu pernah mendengar bahawa alam ini sentiasa bertambah luas dari
hari ke hari, dari semasa ke semasa. Inilah yang disebut oleh ahli Sains
– ‘universe is expanding’ – maksudnya dunia sentiasa berkembang dari
segi keluasannya. Ia umpama belon yang terus ditiup setiap hari.
Keluasan jagat raya ini tidak statik dan terhenti tetapi sentiasa
dinamik dan berkembang.
Begitulah kuasa Allah yang Al Wasi’ (ertinya melapangkan atau meluaskan). Allah
bukan sahaja Maha meluaskan rezki, pengampunan dan rahmat-Nya tetapi
Allah juga Maha meluaskan alam ciptaan-Nya. Jadi, apa kata selepas atau
semasa membaca tulisan ini anak-anak jengukkan kepala ke luar tingkap.
Pandanglah langit. Lalu ingatlah Allah yang bersifat Al Wasi’ (Maha
Meluaskan). Insya-Allah hati anak-anak akan menjadi lebih tenang, malah
ilmu, rezki dan lain-lain lagi pun akan menjadi bertambah luas! Amin.
Sumber: Ustaz Pahrol Juoi - Genta Rasa
http://genta-rasa.com/2008/12/26/lihat-langit-ingat-allah/#more-46
Comments
Post a Comment