Pasca Revolusi: Turki sebagai kuasa baru di Asia Barat
Di
awal pertabalan Presiden Barack Obama sebagai presiden Amerika Syarikat
(AS), beliu telah menegaskan prinsip baru yang akan diperkenalkan oleh
beliau berhubung dasar luar negaranya. Jika presiden Bush sebelumnya
telah menggadaikan prinsip demokrasi dan kebebasan (liberty) dan menggantikannya dengan prinsip keselamatan (security)
dalam Negara, Obama pula telah mengambil pendekatan yang agak berbeza.
Penegasan beliau tentang berakhirnya hegemoni sebuah kuasa di dalam
dunia dan diganti dengan kepelbagaian sistem antarabangsa (multilateral international system) telah memberikan bayangan terhadap sikap AS di dalam isu-isu antarabangsa di zaman pentadbirannya.
Kini,
sewaktu berlangsungnya revolusi (dan ada yang menamakan sebagai
kebangkitan) di negara-negara Arab, dasar luar Obama terserlah. Dasar
luar presiden dari parti demokrat ini hampir menyerupai dasar yang
pernah diambil oleh Jimmy Carter yang telah membawa kepada kebangkitan
Islam di seluruh dunia Islam di tahun-tahun 70’an dan kemuncaknya dengan
revolusi Islam Iran pada tahun 1979. Persamaan dasar luar kedua-dua
presiden AS dari parti Demokrat ini telah membawa kepada lanskap baru
politik di Timur Tengah, malah kepada dunia. Menariknya, kedua-dua
presiden tersebut konsisten dengan pendirian dan juga ideologi mereka,
berbanding dengan pentadbiran presiden-presiden dari parti Republican.
Jikalaulah Bush atau mana-mana presiden AS dari parti Republican
berkuasa pada hari ini, belum tentu Mubarak dan Ben Ali akan berada di
mana beliau berada hari ini. Dasar Obama ini sekaligus memudahkan lagi
teori domino berkaitan kebangkitan umat Arab dan kejatuhan rejim-rejim
diktator di Asia Barat dan Utara Afrika untuk berlaku. Keadaan di Libya
yang terang-terangan mencabuli hak asasi manusia dan nilai kemanusiaan
pun tidak dapat mengundang AS untuk campurtangan sepertimana yang pernah
dilakukan oleh presiden Bush ke atas Saddam di Iraq dan Taleban di
Afghanistan.
Dasar
luar Obama yang agak pasif berbanding pentadbiran Bush ini telah
mengundang kemunculan kuasa diplomatik dan kuasa geo-politik baru di
rantau berkenaan untuk muncul, iaitu Turki. Sebagai negara di tangga
ke-16 di dalam pencapaian ekonomi di peringkat dunia, dan juga negara
ke-6 sebagai kausa ekonomi di peringkat Eropah, Turki mempunyai banyak
lagi kelebihan lain untuk menjadi pengganti AS sebagai broker perdamaian
dan juga kuasa pengimbang di rantau Asia Barat dan Utara Afrika.
Kelebihan Turki sebagai anggota NATO, anggot aktif OIC, ahli G20, dan
juga anggota negara-negara D8 menjadikan negara tersebut lebih daripada
layak untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh AS. Para
penganalisis politik antarabangsa kebanyakannya melihat dasar luar Turki
pada hari inilah yang menjadi antara faktor lain kepada kemunculan
Turki sebagai kuasa baru. Lebih unik hubungan Turki-Amerika di dalam
isu-isu di Asia Barat dan Utara Afrika boleh diungkapkan sebagai
hubungan frenemy (friend-enemy) seperti yang diungkapkan di dalam buku Charles Kuplan, ‘How Enemies Become Friends’. Sungguhpun Obama menyifatkan keunikan hubungan AS-Turki di dalam fasa baru in sebagai ‘model partnership’,
hakikatnya peranan yang dimainkan Turki dewasa ini telah menjadikan
mereka rakan yang lebih dipercayai oleh negara-negara jirannya
berbanding AS yang lebih dilihat sebagai ‘Big Brother’.
Kemampuan
Turki untuk menjadi sebuah kuasa geo-politik di rantau tersebut boleh
dilihat kepada kejayaannya di dalam bidang ekonomi serantau.
Penstrukturan semula sistem politik dan ekonomi Turki semenjak parti AK
berkuasa menurut formula IMF telah berjaya meningkatkan KNK mereka (dari
-9.5% pada tahun 2001, kepada 9.9% pada tahun 2004, dan konsisten pada
tahap 7.8% untuk tahun 2010) dan telah berjaya mengundang FDI ke dalam
negara Turki. Turki juga telah dikategorikan oleh Bank Dunia sebagai
negara maju, dan dikategorikan oleh majalah the Economist sebagai ‘kuasa
ekonomi yang sedang muncul’. Komitment Turki terhadap ekonomi pasaran
juga dapat dilihat dari dasar luar mereka yang telah berjaya
meningkatkan hubungan dagang dengan negara-negara jiran, keterlibatan
aktif mereka di dalam FTA yang melibatkan EU-Mediteranean, peranan utama
mereka di dalam D8 dan juga aktiviti dagang serta pelaburan mereka
dengan negara-negara di Asia Barat dan Utara Afrika.
Di
dalam waktu yang sama, melalui dasar luar Turki yang baru, negara
tersebut telah diterima oleh pihak-pihak bertelagah di rantau Asia Barat
dan Mediteranean sebagai orang tengah (mediator).
Mereka juga telah berjaya menguruskan isu dalaman yang sensitif dengan
melibatkan pihak ketiga secara damai, seperti isu Armenia, isu Cyprus
dan juga isu puak pemisah Kurdi. Turki di fasa baru ini juga telah
berjaya mengikat jiran-jirannya dengan peningkatan hubungan dagang,
seperti membuka sempadannya untuk Syria dan negara-negara strategik yang
lain demi mengurangkan konflik yang telah lama membelenggu. Turki juga
bersikap pro-aktif dengan mengadakan pertukaran dagang nuklear
(uranium)-petrol dengan Iran (melalui Tehran Research Reactor)
bersama dengan Brazil di waktu negara-negara lain di rantau tersebut
melihat Iran sebagai ancaman utama. Turki juga berani untuk mengiktiraf
aktor bukan negara di dalam suasana konflik seperti HAMAS dan Hezbollah,
tetapi di dalam waktu yang sama tetap menjada hubungan diplomasi dan
dagang dengan rejim Zionis Israel. Sungguhpun demikian, Turki tetap
konsisten dengan isu-isu berhubung hak asasi dan demokrasi. Ini dapat
dilihat jelas di dalam isu Gaza 2008, isu flotilla, dan juga yang
terkini isu berhubung dengan kebangkitan rakyat Arab menentang rejim
diktator. Turki telah menyatakan sokongan mereka kepada rakyat yang
bangkit dan mengecam pihak diktator yang menindas rakyat mereka, lebih
cepat sebelum AS mengeluarkan kenyataan rasmi mereka. Walaupun Turki
mempunyai kepentingan dagang, contohnya seperti di Libya (dengan
pelaburan Turki di sana yang mencapai USD 15 bilion), namun mereka tetap
konsisten mengecam rejim Gadaffi yang telah membunuh rakyat Libya yang
tidak berdosa.
Dasar
yang telah membentuk hubungan luar Turki pada hari ini semenjak tahun
2003 lagi telah diilhamkan oleh menteri luarnya kini, Dr Ahmet
Davotoglu, yang juga mantan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia. Beliau telah menjadi penasihat kepada PM Turki, Erdogan
semenjak tahun 2003, dan akhirnya telah dilantik menjadi Menteri luar
Turki pada tahun 2009. Pengalaman beliau sebagai ahli akademik, pemikir
dan juga pakar di dalam bidang politik ekonomi dan hubungan luar telah
menjadikan dasar yang dihasilkannya itu mempunyai nilai falsafah yang
tersendiri berbanding dengan dasar-dasar luar Turki sebelum ini.
Hubungan luar Turki yang diformulakan oleh Dr Ahmet Davutoglu itu
menjangkaui pengamalan dan pemahaman sistem antarabangsa yang
konvensional.
Menurut Davotoglu di dalam artikel beliau di majalah Foreign Policy
(10 Mei 2010), pendekatan dasar luar Turki itu beroperasi berteraskan
lima prinsip utama yang konsisten: Keseimbangan di antara persoalan
keselamatan (security) dan
demokrasi yang melibatkan isu kebebasan individu, hak asasi manusia dan
juga kedaulatan undang-undang; keduanya, dasar luar Turki adalah
berpaksikan ‘Zero conflicts’
(konflik sifar) di dalam hubungan mereka dengan negara-negara jiran dan
negara-negara lain di rantau Asia Barat, Mediteranean, Eropah dan
Afrika Utara; paksi ketiga yang menjadi tunjang dasar luar Turki juga
ialah ‘Usaha diplomatic yang pro-aktif dan pre-emptif’ dengan menekankan
kepada soft power dan pedagangan untuk mendamaikan dua pihak yang bertelagah; di samping ‘Pendekatan pelbagai dimensi di dalam polisi luar’ (multi-dimensional foreign policy) sebagai senjata utama meningkatkan hubungan diplomatik dengan negara-negara lain; dan yang lebih penting lagi ialah dasar ‘Rythmic diplomacy’
(diplomasi berirama) yang bermaksud keterlibatan aktif Turki di dalam
segala pertubuhan dan kerjasama serantau dan antarabangsa, baik di dalam
ruang kedamaian, persenjataan, perdagangan dan juga isu-isu
kemanusiaan, kebudayaan dan pendidikan. Kelima-lima prinsip ini telah
dijadikan formula hubungan luar Turki untuk dilihat sebagai rakan,
mediator dan juga pihak yang dipercayai oleh semua pihak. Menurut
Davutoglu juga, kelima-lima formula tersebut dilahirkan berteraskan tiga
falsafah utama yang menjadi metod perlaksanaan dasar luar Turki, iaitu:
Visionary (berwawasan),
yang bermaksud dasar dan tindakan yang dilakukan oleh Turki bukanlah
untuk jangka masa pendek, tetapi untuk mencapai wawasan yang jauh yang
lebih mampan; keduanya, Consistent and Systematic (Sikap konsisten dan sistematik) di dalam hal-hal berhubung demokrasi, hak asasi manusia dan juga kebebasan (liberty); dan yang lebih utama ialah ‘Wacana dan pendekatan diplomatik yang baru (new discourse and diplomatic style) menerusi perluasan soft power demi memunculkan Turki sebagai kuasa ekonomi dan sivil yang baru di dunia.
sumber: Dr Maszlee Malik
http://maszleemalik.blogspot.com/search?updated-max=2011-10-10T11%3A11%3A00-07%3A00&max-results=7
Comments
Post a Comment