ALAM ITU SATU SEKOLAH
Lihat
alam ini. Seluruh dan sepenuhnya dipermudahkan untuk dikuasai manusia.
Haiwan dan tumbuhan seolah-olah diciptakan untuk berkhidmat pada
manusia. Tumbuhan mengambil yang buruk (karbon dioksida) daripada
manusia dan mengeluarkan oksigen yang bersih buat kita bernafas.
Kulit, daun, akar, pucuk dan
segala-galanya menjadi sumber makanan, ubat-ubatan, pakaian dan
perlindungan untuk manusia. Begitu juga haiwan, daging, bulu dan
kulitnya semuanya dimanfaatkan untuk manusia.
Ketika segala-galanya diciptakan untuk
kita, maka wajar pula kita bertanya kita dijadikan untuk siapa? Ya, ada
maksud besar misi kedatangan manusia ke dunia. Justeru, misi yang besar
itulah segala-galanya dipermudahkan buat manusia.
Persis bekalan dan alat kelengkapan pada
seorang tentera yang dihantar untuk satu operasi ketenteraan, maka
begitulah manusia yang telah diberi berbagai-bagai-bagai kemudahan dan
bekalan.
Untuk menjadi hamba Allah dan khalifah
yang memakmurkan, mengurus dan mentadbir muka bumi ini – itulah
dwifungsi utama manusia di dunia ini. Seluruh kelengkapan yang diberikan
kepadanya harus menjurus dan fokus ke arah pelaksanaan misi itu.
Jangan disalah gunakan, kerana
segala-galanya akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan. Akan datang
detiknya, manusia akan dipanggil bersemuka dengan Allah untuk menjawab
setiap titis nikmat yang telah diamanahkan-Nya itu. Alam
ini bukan hanya membekalkan makanan, ubat-ubatan, perlindungan dan
pakaian, tetapi alam ini juga membekalkan suatu yang sangat bermanfaat
dalam menjayakan misi kedatangan manusia. Alam sebenarnya membekalkan
ilmu untuk manusia yang menghuninya. Alam adalah sekolah yang mana
manusia harus belajar pada setiap masa, keadaan dan suasana.
Alam adalah layar yang memancarkan
kebesaran Allah untuk manusia mengenali dan mencintai Penciptanya.
Bulan, matahari, bintang, tumbuhan, haiwan adalah tanda-tanda (‘sign’)
yang boleh membuka fikiran, jiwa dan perasaan manusia untuk dekat kepada
Allah. Dan dekat kepada Allah itulah sumber kekuatan, ketenangan,
kejayaan dan kebahagiaan dalam menjalankan peranan sebagai hamba Allah
dan khalifah.
Dua misi besar itu sangat berat dan
sukar. Ia adalah amanah yang pernah ditawarkan pada langit,
gunung-ganang dan bumi tetapi mereka menolaknya.
Firman Allah:
“Sesungguhnya kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakan; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.” Al Ahzab 33:72
“Sesungguhnya kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakan; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.” Al Ahzab 33:72
Gunung, langit dan bumi tidak sanggup
menanggung misi besar itu, mereka hanya sanggup menjadi ‘pembantu’
manusia untuk melaksanakannya. Justeru, mereka lebih rela dikuasai
daripada mengusai manusia. Mereka hanya ingin menjadi sekolah, manakala
manusia menjadi pelajar-pelajarnya. Allah yang menjadi ‘Guru’ dalam
sekolah besar (jagat raya) ini sentiasa mendidik manusia agar layak
menjadi graduan yang layak mendapat ijazah keredhaan-Nya dan syurga.
Sedarkah kita?
Justeru, marilah sama-sama kita mengingatkan: Alam itu sekolah insan. Jadilah pelajar yang baik. Belajarlah dari alam!
Sumber: Ustaz Pahrol Juoi - Genta Rasa
http://genta-rasa.com/2010/05/12/sekolah-insan/#more-981
Comments
Post a Comment