Perkara Yang Elok & Tidak Elok Disebut
3 PERKARA YANG ELOK DISEBUT-SEBUT
Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk.
Sudah
menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang
berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat
bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah SWT berikan kepada kita.
Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah.
Makhluk yang hanya berbuat baik sedikit sahaja kepada kita, kita puji
habis-habisan tetapi nikmat yang terlalu banyak Allah SWT berikan kita
langsung tidak hargai. Sebaik-baiknya elok kita basahi lidah kita dengan
memuji Allah sentiasa, bukan sekadar ucapan Alhamdulillah apabila perut
sudah kekenyangan. Pujian sebegini hanya di lidah sahaja, tidak sampai
hingga ke hati.
Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.
Dunia
terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia
setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah
umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada
nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya
1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang singkat akalnya hanya sibuk
memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA).
Manusia yang paling bijak ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan
Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling
penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan
merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu
perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul
keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.
Perbanyakkan menyebut hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.
Kita
sering memikirkan bekalan hidup ketika tua tetapi jarang memikirkan
bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan
berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang
perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu
memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan
semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Jikalau tidak
usahakan kebun dunia ini, masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat?
Dalam hubungan ini eloklah mencontohi sikap Saidina Ali k.w.s.j.
Meskipun sudah terjamin akan syurga, beliau masih mengeluh dengan hebat
sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh
perjalanannya. Bandingkan pula dengan diri kita yang kerdil dan sentiasa
bergelumang dengan dosa?2 PERKARA JANGAN DISEBUT-SEBUT
Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.
Syaitan
memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan membisikkan kepada
kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan
yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat
amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut seperti rasmi
ayam 'bertelur sebiji, riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan
menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit
hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam yang boleh
merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika
ianya menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah SWT telah
memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium
bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah
kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan
diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan baik
yang ada pada diri kita itu sebenarnya datangnya dari Allah SWT kerana
Allah yang membolehkan kita berbuat baik. Jadi kita patut bersyukur
kepada Allah SWT kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik
dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepada Allah yang
mengurniakan kebaikan itu.
Jangan menyebut-nyebut keaiban atau keburukan diri orang lain.
Kegelapan
hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita
menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong
melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan
diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak,
tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat
kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan
diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya
memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk
jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi
jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk,
malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri
kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan
menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Di dalam
Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan
sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri
seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila
melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita
walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat
dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk
menjadikan kita temannya di dalam neraka.
Semoga 5 perkara yang disebutkan di atas
dapat kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita seharian.
Sama-sama berdoa agar terselamat dari kemurkaan Allah SWT di dunia
hingga ke akhirat. Amein...
sumber: one ummah.net
http://one-ummah.net/kuliah/akhlak/503-perkara-yang-elok-a-tidak-elok-disebut.html
sumber: one ummah.net
http://one-ummah.net/kuliah/akhlak/503-perkara-yang-elok-a-tidak-elok-disebut.html
Comments
Post a Comment