BELAJAR DARI LAUT
"Dimulai dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang"
Mari
kita lihat laut. Mungkin sesetengah kita merasakan bahawa laut
merupakan ciptaan yang biasa. Tetapi tidak, laut sebenarnya adalah
ciptaan Allah yang luar biasa. Laut sangat luas. Ia merangkumi hampir
tiga perempat muka bumi. Cuma kerana sudah terbiasa kekadang kita tidak
merasa bahawa laut sangat luar biasa. Baiklah, sekarang Pak Cik hendak
datangkan satu perbandingan…
Anak-anak pernah mendengar cerita kapal yang sangat
besar bernamaTitanic? Semua orang kagum waktu kapal yang sangat besar
itu dibina. Kapal yang tidak mungkin tenggelam, begitu dakwa jurutera
dan arkitek yang membinanya. Setelah Titanic siap dibina, ia pun
dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk belayar dari England menuju
Amerika. Itu merupakan satu perjalanan yang jauh merentasi laut
Atlantik. Seluruh dunia menumpukan perhatian kepada peristiwa yang
sangat bersejarah itu. Tidak kurang yang rasa angkuh dan megah dengan
kehebatan teknologi terkini pada waktu itu.
Malang.
Titanic ditimpa malapetaka dalam perjalanan. Ia tenggelam setelah
terlanggar dengan… cuba teka. Dengan batu karang? Akibat ribut
atau taufan? Tidak. Titanic tenggelam hanya disebabkan berlanggar
dengan air… air yang beku – ‘iceberg’. Pada waktu itu dunia terkejut.
Kapal yang sebesar dan sehebat itu akhirnya tenggelam juga. Begitu hebat
Titanic yang dibina manusia, tetapi hanya sekelumit bila dibandingkan
dengan lautan yang dicipta Allah.
© copyright 1999-2008 Getty Images, Inc. All rights reserved.
Setelah
lama tenggelam, saintis mengambil masa yang lama untuk menentukan
lokasi di mana tragedi itu berlaku. Tempat Titanic tenggelam terlalu
sukar dikesan justeru kapal yang besar itu hanya umpama sebilah jarum
sahaja sahaja dibandingkan dengan lautan Atlantik yang sangat luas itu.
Begitu kerdil ciptaan manusia, sedangkan Atlantik bukanlah lautan yang
terluas… Lautan Pasifik lebih luas lagi. Begitulah anak, luar biasanya
keluasan laut.
Air
laut sangat masin. Itu juga sangat luar biasa. Allah tidak ciptakan
sia-sia. Kemasinan laut itulah yang menyerap bau seluruh sampah yang
dialirkan kepadanya. Bayangkan, seluruh kotoran di dunia dialirkan ke
laut oleh sungai. Sampah sarap, bangkai, najis dan lain-lain dialirkan
ke laut. Tidak keterlaluan kalau dikatakan, laut adalah ‘tong sampah’
yang paling besar di dunia. Sejenak fikirkan… apa akan jadi kalau air
laut seperti air sungai yakni rasanya tawar? Tentu ia akan dicemari
dengan bau yang sangat busuk.
Kalau
itulah yang berlaku, seluruh dunia akan dicemari oleh bau yang sangat
busuk. Kesihatan akan terjejas. Hidup tidak akan tenteram. Mujurlah air
laut tidak tawar. Dengan kadar kemasinannya yang sangat tinggi itu, ia
mampu menyerap bau dan ‘mengawet’ kekotoran yang banyak. Anak-anak akan
faham proses saintifik ini jika bertanya kepada guru-guru di sekolah.
Secara mudah, Pak cik boleh katakan itu samalah seperti peranan garam
yang boleh mengawet isi ikan dalam proses membuat ikan masin.
Diharap
sekarang anak-anak akan faham betapa hebatnya laut ciptaan Allah bukan?
Keluasan dan kemasinannya punya rahsia yang tersirat. Jadi apabila
anak-anak melihat laut, jangan lihat begitu sahaja… sebaliknya
renungkanlah kehebatannya, dan kemudian rasailah kehebatan Penciptanya…
Allah.
Sumber: Ustaz Pahrol Juoi - Genta Rasa
http://genta-rasa.com/2008/12/26/belajar-dari-laut/#more-50
Comments
Post a Comment