TUHAN ATAU HANTU?- Seks, Gosip dan Hantu
Tiga unsur ini – pertama seks, kedua misteri (tahyul), ketiga gossip – jika dimasukkan ke dalam filem, akhbar, buku atau apa sahaja media massa akan menjadi faktor pelaris. Justeru, demi mendapat keuntungan material, tiga unsur itulah yang sedang dieksploitasi dan dimanupulasi semaksimumnya dalam masyarakat pengguna.
Berbincang tentang buruk baik filem
hantu dan seram (yang menjadi isu ketika ini), tidak akan menyelesaikan
masalah tanpa merujuk kepada satu titik kebenaran. Apakah titik
kebenaran itu? Ya, kita semua mesti akur bahawa Allah lebih mengetahui
apa yang baik untuk manusia berbanding manusia itu sendiri. Bukan itu
sahaja malah Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang dalam apa jua
ketentuanNya buat manusia samada takdirNya, hukum-hakamNya, ujianNya dan
lain-lain.
Jika hakikat itu ditolak… tidak akan
ada titik pertemuan kerana akal dan hati manusia akan terus berbeza
antara satu sama lain. Individu ini dengan logik dan rasionalnya,
individu itu dengan hujjah dan pandangannya. Masing-masing ada ‘ego’nya.
Mengapa tidak merujuk dan tunduk kepada Allah? Bukankah Islam itu cara
hidup yang syumul?
Saya yang kerdil ini ingin turut
menyumbang bagi menjernihkan keadaan setakat yang terdaya. Sekadar ingin
membuka ufuk fikiran termalah dua hasil tulisan saya yang ada kaitannya
dengan isu filem hantu, seram dan berunsur seks sekarang. Dua tulisan
ini telah saya terbitkan dalam buku BILA BEDUK DIKETUK...
Tulisan 1: TUHAN ATAU HANTU?
Secara sinis seorang sahabat berkata, “tidak ada hantu yang berkeliaran pada malam Jumaat.”
“Malam Jumaat, malam yang berkat. Esoknya,
penghulu segala hari raya. Hari raya mingguan untuk umat Islam. Mungkin
itu sebabnya,” balas saya.
“Bukan itu yang aku maksudkan,” katanya.
Saya senyum sambil bertanya kembali, “kenapa tiba-tiba kau bercakap tentang hantu?” tanya saya kembali.
Dia diam sebentar. Kemudian menyambung,
“semua hantu dah masuk dalam TV. Macam-macam hantu telah dimunculkan
semula. Pemikiran orang kita kembali ke belakang,” ujarnya.
Saya senyum dengan sindirannya. Teringat
kata guru penulisan saya, “ada tiga unsur yang menjadi bahan pelaris
dalam media yang dikuasai oleh orang Melayu – seks, mistik atau misteri
dan gosip. Benar, media cetak dan elektronik yang ada ketiga-tiga unsur
ini akan mendapat sambutan.
“Aku bimbang, pemikiran anak-anak kita akan
diracuni. Bukankah siapa kita lima tahun akan datang ditentukan dengan
siapa kita bergaul dan oleh apa yang sering kita baca, tonton dan
dengar? Kalau cerita-cerita hantu ini yang kerap mereka tonton dan baca,
fikiran bawah sedar anak-anak kita akan terkebelakang!”
Saya diam. Memang ada kebenaran kata-katanya
itu. Budak-budak sekarang jadi penakut tidak bertempat, hendak ke bilik
air, hendak tidur, hendak bersendirian semua penakut. Apa tidaknya
cerita-cerita hantu sarat dengan adegan hantu muncul tiba-tiba dari
bawah katil, dari sebalik pintu dan sebagainya.
“Aku bimbang melihat peranan ahli agama dan
ayat-ayat Quran yang disalah tafsirkan dalam cerita-cerita hantu ini…”
tambah saya untuk menyuburkan percambahan fikiran.
“Ada yang berhujah, tengok dalam cerita
hantu ini kami memartabatkan ahli agama dan ayat-ayat Quran. Bila ahli
agama datang dengan serban dan kopiah serta membaca ayat-ayat Quran,
hantu akan cabut lari, terbakar, ghaib dan sebagainya. Apa pandangan kau
tentang ini?”
“Al Quran ditujukan untuk difahami, dihayati
dan diamalkan oleh manusia. Itu fungsi utamanya. Jika manusia tidak
menghayati al Quran, manusia akan jadi hantu yang lebih ganas dan
dahsyat!”
“Maksud kau?”
“Akibat meminggirkan Al Quran lahirlah
hantu-hantu di kalangan manusia yang menjadi pembuang bayi, mat rempit,
peragut, perogol, penagih dadah, perasuah, penjenayah, ahli politik yang
putar belit, wanita yang mendedahkan aurat dan penggiat budaya
hedonisme di kalangan orang Islam sendiri. Inilah hantu yang lebih
dahsyat daripada polong, puntianak, penanggalan, pocong yang
digembar-gemburkan itu.”
Saya teringat lagi pesan imam kampung saya
dulu, katanya,” hantu ini ada dua, satu hantu di kalangan jin, dan satu
lagi hantu di kalangan manusia. Hantu di kalangan jin lebih mudah
dihadapi, baca ayat Quran dia akan lari. Tetapi hantu di kalangan
manusia ni tak lari kalau dibacakan ayat Quran… “
“Betul kata kau. Ustaz-ustaz atau
lebai-lebai dalam cerita hantu datang pada saat-saat akhir dengan kuasa
magisnya. Mereka baca ayat Quran yang lebih mirip mantera atau jampi
dan hantu pun cabut lari!”
“Pada hal peranan ahli agama dan ayat-ayat
Quran bukan sekadar sebagai penghalau hantu tetapi pendidik, pendakwah
sekali gus profesional yang menegakkan ayat-ayat Quran dalam sistem
hidup manusia secara keseluruhan. Kalau dulu ahli agama dijemput di
permulaan majlis untuk membaca doa, kemudian majlis pun berjalan dengan
pelbagai agenda yang membelakangkan syariat… Kini ahli agama digambarkan
pula sebagai penghalau hantu yang datang di hujung cerita yang tidak
memaparkan pun Islam sebagai cara hidup!”
“Islam mesti dimartabatkan sebagai cara
hidup dalam keluarga. Itulah penghalau hantu yang paling “mujarab”. Jika
sebuah keluarga menjaga solat, menjauhi riba dan rasuah, menutup aurat,
mengelakkan diri daripada pergaulan bebas, rajin berusaha insya-Allah
mereka tidak akan jadi hantu…”
“Dan hantu-hantu di kalangan jin pun akan takut kepada diri dan keluarga itu betul tak?” tambah teman saya itu.
“Kalau kita tidak jadi hantu, hantu akan takut kepada kita. Orang yang takutkan Allah, makhluk lain akan takutkannya!”
“Jadi cara menghalau hantu?”
“Jangan jadi hantu!”
Kami sama-sama tersenyum.
“Nilai-nilai Islam sentiasa menjadi
tempelan. Ayat Quran kekadang dijadikan tema awal atau muncul di akhir
cerita hanya untuk menghalalkan cerita yang sarat dengan nilai syirik
dan mistik. Jika tidak ada asas agama yang kukuh, tidak mustahil kuasa
hantu yang menjadi fokus utama dalam cerita itu akan menenggelamkan
kuasa agama yang dipaparkan di penutup cerita. Penonton akan lebih
takutkan hantu berbanding keyakinan kepada kekuatan agama dan roh Al
Quran,” jawab saya.
“Aku bimbang, ayat-ayat Al Quran sudah tidak
dijadikan lagi bahan untuk mendidik hati manusia. Lambat-laun ia akan
hanya menjadi azimat, tangkal yang digantung di palang pintu untuk
menghalau hantu. Atau ia hanya akan jadi bahan mantera atau jampi
serapah ahli-ahli agama yang berimej dukun atau bomoh semata-mata.”
“Nanti orang menuduh kau tidak percaya yang ghaib…”
“Yang ghaib itu ada. Syaitan dan jin ada.
Ada hikmahnya Allah ciptakan mereka ghaib dan tidak boleh kelihatan. Dan
bila Allah ciptakan begitu, itu sesungguhnya lebih baik untuk manusia.
Tidak payahlah susah-susah kita jadi “seekers” untuk berjumpa
dengan mereka. Tumpukan sahaja tugas kita sebagai khalifah di muka bumi
ini. Musuh yang kita tidak nampak ini pun akan gentar dengan
kekhalifahan kita!”
“Kau nak nafikan juga ada ulama-ulama yang pakar dalam menghadapi jin dan umat memerlukan mereka?”
“Aku tidak katakan begitu. Rasulullah saw
sendiri telah berdakwah kepada golongan jin. Dan ramai ulama-ulama yang
hebat yang mampu melihat jin dengan mata hati mereka. Dan bila ada
masyarakat yang diganggu jin, mereka muncul untuk membantu. Tetapi itu
hanya tugas sampingan..”
“Tugas sampingan? Apa maksud kau?”
“Tugas utama mereka berdakwah dan mendidik
masyarakat. Mereka murabi bukan bomoh atau dukun. Cuma dalam tigas
mendidik, kepakaran menghadapi jin kekadang diperlukan. Rasulullah saw
juga begitu. Sejarah perjuangannya dipenuhi dengan kesabaran, keberanian
dan iltizam mendidik manusia. Puluhan tahun, dari era Makkah menuju era
Madinah…”
“Daripada berdakwah, mentarbiah, bersiasah
hinggalah memerintah negara. Rasulullah saw lebih banyak menghadapi
manusia. Sekali-skala sahaja baginda menghadapi kerenah jin. Kenapa
agaknya ya?” giliran saya pula meminta pandangan balasnya.
“Sebab Rasulullah tahu jika manusia mengikut
perintah Allah dan menegakkan cara hidup Islam dalam kehidupan mereka,
jin tidak akan mengacau. Bahkan jin pun akan tunduk akur dan boleh
menjadi hamba Allah yang soleh. Tetapi bila manusia jahat, menjadi hamba
kepada hawa nafsunya, jin yang jahat akan mengganggu mereka.”
“Agak-agak kau mana lebih ramai, bayi yang
dibuang oleh manusia yang tidak bertanggung jawab berbanding atau yang
dilarikan puntianak? Berapa ramai remaja yang mati dan hilang anggota
akibat merempit berbanding yang dicekik oleh hantu penanggal? Dan betapa
dahsyatnya bahana yang menimpa hidup kita akibat makan rasuah dan riba
berbanding termakan santau?”
Dia senyum.
“Ahli agama jangan muncul di hujung cerita
dalam kehidupan sebenar manusia. Muncullah di awal, di tengah dan di
hujung serta pada bila-bila masa sahaja. Jadilah pendakwah yang mengubat
punca masalah. Bukan dukun atau bomoh yang hanya datang bila dijemput.
Al Quran itu medium tarbiah bukan jampi serapah. Sedarlah bahawa bahaya
hantu yang muncul di kalangan manusia sendiri lebih buruk dan meluas
kesannya daripada hantu di kalangan jin.”
“Ayat Al Quran mesti dibaca oleh semua
manusia untuk mengatur semua agenda hidupnya. Bukan dibaca oleh
orang-orang tertentu hanya untuk menghalau hantu!”
“Dan pada malam Jumaat, jangan asyik terpaku
di hadapan TV dengan pelbagai versi hantu yang dikutip semula daripada
“mesin pemikiran kitar semula” yang dangkal dan rakus. Tetapi isilah
program malam yang berakah itu dengan program membaca Al Quran, tahlil
Yasin, qiamullail dan lain-lain aktiviti yang berfaedah.”
“Tidak salah untuk menonton TV, jika programnya memberi manfaat. Jika ada drama atau cerita yang mendidik jiwa apa salahnya?”
Saya terdiam. Ya, kita masih kekurangan
penggiat seni yang berkarya atas apa yang diyakini, dialami dan
dirasakannya. Hanya dengan itu hasil karyanya akan benar-benar mendidik
jiwa. Penggiat seni yang mampu menghalau “hantu” dalam hati manusia
bukan mereka yang dihantui oleh nilai-nilai komersial dan dunia “glamour” semata-mata.
“Apa yang mampu kita lakukan hanyalah percubaan mengetuk minda Melayu…”kata teman saya.
“Mengetuk bukan mengutuk… Dan kita mesti berusaha untuk menjadi bahu bukan hanya telinga dan mata pada masalah ini.”
Dan sahabat saya yang menjadi penulis skrip itu kini sedang menyiapkan karyanya berjudul: Hantu dalam hati manusia!
Tulisan : DIALOG DENGAN SENIMAN
“Jika halaman rumah kita dibiarkan begitu
sahaja, akan tumbuh keledek atau lalang?” tanya saya kepada lelaki yang
bergelar seniman itu.
“Pastinya lalang,” jawabnya, “kenapa?”
“Itulah perumpaannya hati manusia…”
“Maksud awak?”
“Mudah jadi jahat berbanding jadi baik.”
“Apa kena mengenanya dengan perbincangan kita ini?” tanyanya kehairanan.
Itulah antara dialog saya dengan seorang
seniman sewaktu kami sama-sama hadir dalam satu muzakarah tertutup
baru-baru ini. Muzakarah itu bertujuan mencari jalan terbaik bagaimana
menangani masalah remaja masa kini melalui pendidikan dalam media massa.
“Begini, filem-filem kita sepatutnya memberi input yang lebih bagaimana nak jadi baik berbanding bagaimana nak jadi jahat…”
“Sekarang tidak?”
Saya mengangguk dan berkata“saya lihat adegan seorang jadi jahat lebih ditonjolkan bagaimana nak dia nak jadi baik.”
Saya terbayang filem-filem kita yang begitu
stereotaip sifatnya. Bila ada masalah seks bebas, maka berlambak
filem-filem bercorak itu di pasaran. Kemudian datang lumba haram, driff
dan sebagainya. Kononnya untuk membantu menangani masalah-masalah
tersebut. Sayangnya, hal sebaliknya pula berlaku. Filem-filem itu
seperti memberi publisiti dan menggalakkan lagi gejala negatif itu.
“Kita perlu nilai komersial. Kalau khutbah orang tak tengok!” ujarnya tajam.
“Yang baik, khutbah? Yang jahat, ada nilai komersial?” balas saya.
Dia menjeling. Jelas tidak senang dengan “asakan” saya.
“Betullah kata saya. Kalau nak berkhutbah bukan dalam filem,” asaknya lagi.
“Penggiat filem perlu kreatif menyampaikan
mesej yang baik melalui pendekatan yang menarik. Saya setuju dengan
awak, jangan berkhutbah dalam filem. Masalahnya…”
“Masalahnya apa?”
“Masalahnya penggiat filem hanya kreatif
dalam memaparkan bagaimana orang jadi jahat. Bila nak paparkan bagaimana
orang jadi baik, mereka mula berkhutbah!”
Saya memulangkan paku buah keras kembali kepadanya.
Saya mengikuti filem-filem Melayu dari jauh.
Begitu juga dengan drama-dramanya. Bagaimana elemen hantu, bohsia,
bohjan, sumbang mahram, mat rempit dan lain-lain diadun untuk “makanan”
minda dan jiwa orang-orang Melayu. Idea-idea yang sudah dicampakkan ke
“Recycle Bin” pun sering dikitar semula untuk dinobatkan sebagai hasil
seni. Usahkan di sudut autentik dan saintifiknya, nilai estetiknya pun
kekadang lintang pukang.
Jalan pulang watak jahat menjadi baik kerap
dipaparkan secara pra-matang dengan menafikan unsur sebab dan akibat
secara logik dan netral.
“Kekadang secara tak sedar filem mengajar bagaimana orang jadi jahat, bukan sebaliknya!” tusuk saya lagi.
“Kenapa? Itu bukan maksud kami?”
“Adegan yang negatif dipaparkan begitu
terperinci. “Reverse psicology” berlaku tanpa disedari. Nikmat jadi
jahat kelihatan lebih menggoda berbanding tarikan menjadi baik.”
“Sekali lagi saya tekankan, penonton suka pergolakan. Mereka nak lihat pergolakan. Kalau cerita tenang sahaja mana laku?”
“Kalau begitu usah bercakap tentang akhlak
dan moral. Beri sahaja apa yang masyarakat mahu. Penggiat filem jadi
peniaga bukan pendidik. Tidak payah bermuzakarah sampai begini…” balas
saya sinis.
“Kita hendak juga jalankan tanggung jawab sosial…” katanya perlahan.
“Selepas meraih keuntungan komersial?”
Itulah manusia. Tekadnya tidak bulat untuk
Allah. Hakikatnya dunia pasaran adalah “Tuhan” baru sembahan manusia
yang sudah ketandusan nilai Islam dalam dirinya.
Sumber: http://genta-rasa.com/2011/10/09/tuhan-atau-hantu/#more-1673
Ustaz Pahrol Juoi - Genta Rasa
Comments
Post a Comment