Qarin : Makhluk halus pendamping manusia
Qarin ialah perkataan Arab yang
bermakna teman atau rakan. Istilah qarin di sini bermaksud roh-roh
jahat dari kalangan makhluk-makhluk halus yang mengiringi kelahiran
seseorang bayi. Kewujudan qarin ini ialah untuk menggoda manusia,
menampakkan hal-hal yang buruk dan yang jahat-jahat seolah-olah baik
pada pandangan mata manusia. Qarin sentiasa berusaha untuk
menjerumuskan manusia dengan mengajak mereka melakukan kemungkaran
dengan cara menggoda, merayu, memujuk dan menipu.
Semua manusia mempunyai qarin termasuklah Nabi atau orang yang alim. Allah SWT berfirman: “Dan demikianlah kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh dari jenis manusia dan jin, sebahagian daripada mereka membisikkan kepada yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu.” (QS Al-An’am: 112)
Rasulullah SAW pernah bersabda yang
berbunyi: “Tidaklah salah seorang daripada kamu (yang lahir ke dunia)
melainkan dia telah dipertemankan dengan seorang kawannya daripada jin
dan seorang kawannya daripada kalangan malaikat.” Sahabat bertanya:
“Adakah engkau juga, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: “Dan saya
pun. Akan tetapi Allah menolong saya daripada gangguannya, maka
tidaklah ia mendorong saya, kecuali kepada kebaikan.”
Tersebut dalam Al-Quran tentang
tugas-tugas malaikat. Di antara mereka ada yang tugasnya mencatat
amalan makhluk setiap hari, mencatat segala ucapan, dan ada yang
membawa wahyu kepada rasul-rasul dan nabi-nabi. Ada pula yang menjadi
duta-duta. Ada pula yang bertugas memelihara Al-Quran, ada yang menjaga
syurga dan ada yang menjaga neraka. Di antara mereka juga ada yang
sentiasa berdoa siang dan malam, memuji-muii Allah dan bersujud. Ada
pula yang sentiasa berdoa agar makhluk yang taat kepada Allah diberi
keampunan. Tersebut juga dalam Al-Quran tentang adanya malaikat yang
datang membawakan ilham kepada Maryam bahawa dia akan diberi putera,
atau yang kelihatan oleh Rasulullah SAW ketika beliau mula-mula
menerima wahyu. Disebut juga tentang malaikat yang bersayap, satu-satu,
dua-dua, tiga-tiga dan empat-empat.
Tersebut juga dalam Al-Qu'ran bahawa
malaikat yang datang membawa wahyu kepada rasul-rasul itu namanya
Jibril AS, yang juga disebut Ruhul-Amin dan Ruhul-Qudus. Manusia yang
sentiasa beriman dan istiqamah (tetap hati) akan didatangi oleh
malaikat-malaikat untuk menghilangkan rasa takut dan dukacita mereka.
Dalam peperangan Badar, malaikat telah
datang menolong orang-orang Islam, sampai 3,000 malaikat jumlahnya.
Dijelaskan juga dalam hadis-hadis bahawa malaikat-malaikat itu memberi
ilham yang baik kepada manusia, yang melahirkan keteguhan semangat dan
iman. Ketika manusia diberi ilham yang baik oleh malaikat atau was-was
yang buruk oleh syaitan, maka yang menerima ilham atau was-was itu
bukanlah badan kasar, melainkan roh manusia jua. Tidak ada seorang pun
yang dapat melihat dengan matanya sama ada malaikat atau syaitan yang
datang memberi ilham atau waswas, melainkan pengaruh mereka itu masuk
ke dalam jiwa atau perasaan orang yang berkenaan.
Kenyataan ini dikuatkan oleh sebuah
hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi & An-Nasa'i: “Sesungguhnya
dari syaitan ada semacam gangguan kepada anak Adam, dan dari malaikat
pun ada pula. Adapun gangguan syaitan ialah menjanjikan kejahatan dan
mendustakan kebenaran, dan sentuhan malaikat ialah menjanjikan kebaikan
dan menerima kebenaran. Maka barang siapa merasai yang demikian, dia
hendaklah mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, dan terima kasihlah
ia kepadanya. Tetapi kalau didapatinya yang lain, maka dia hendaklah
berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam. Kemudian ia membaca:
“Syaitan menyuruh menjanjikan kamu kefakiran dan menyuruh kamu
melakukan kekejian.”
Telah berkata Sayyidatina Aishah r.a.:
Bahawasanya Rasulullah SAW telah keluar dari sisinya pada satu malam,
tiba-tiba berlakulah satu tiupan (syaitan) terhadapnya. Maka Rasulullah
pun datang melihat perkara yang sedang saya lakukan. Baginda bertanya:
“Apakah yang terjadi Aishah?” Maka saya menjawab: “Apa halnya saya,
tidak diberi daya sebagaimana yang dikurniakan kepada engkau?” Jawab
Rasulullah SAW: “Adakah syaitanmu telah datang?”. Maka saya menjawab:
“Wahai Rasulullah. Adakah syaitan bersamaku?” Jawab baginda: “Ya.” Saya
bertanya lagi: “Adakah terjadi pada tiap manusia?” Jawab baginda:
“Ya.” Maka saya pun bertanya: “Adakah juga berlaku atasmu, wahai
Rasulullah?” Jawab Rasulullah: “Ya, tetapi Tuhanku memelihara akan daku
hingga aku selamat daripada tipu dayanya. Sesungguhnya tidak ada
seorang daripada manusia (yang dilahirkan) melainkan dikembari Allah
seorang jin sebagai kawan.”
Jelasnya bahawa setiap orang itu
mempunyai qarin. Maksud qarin di sini ialah syaitan yang sentiasa
berusaha untuk menyesatkan manusia. Di antara qarin dan manusia,
perbezaannya ialah manusia adalah seumpama bahan tunggangan, manakala
qarin (iblis dan syaitan) tadi adalah penunggangnya. Demikianlah,
perbandingan yang diberi oleh Rasulullah SAW. Maksud menunggang atau
memperkosa di sini bukanlah seumpama manusia itu menunggang kuda,
menjadikan syaitan itu seumpama seorang penunggang yang sentiasa berada
di atas jasad manusia dalam keadaan yang tidak dapat dilihat.
Iblis dan syaitan sentiasa berazam dan
berusaha supaya manusia menurut kehendaknya. Banyak di antara mereka
yang terpedaya dengannya sehingga menjadikan manusia itu memandang
benda-benda yang baik itu buruk dan yang buruk itu baik serta menarik,
cantik serta mengghairahkan, lantas mereka menentang perintah Allah
SWT. Mereka inilah golongan yang menjadi bahan tunggangan qarin tadi.
Gambaran godaan iblis dan syaitan
terhadap manusia dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang
bermaksud bahawa seseorang itu apabila hendak menganut agama Islam,
iblis akan menggoda dan menipu manusia. Syaitan akan bertanya adakah
mereka hendak meninggalkan agama asal mereka, iaitu agama yang telah
dianuti oleh bapa-bapa dan keturunan mereka sejak dahulu kala lagi.
Ketika manusia hendak berhijrah, iblis
dan syaitan bertanya, adakah mereka sanggup meninggalkan tanahair yang
telah mereka diami sejak dahulu kala. Adakah mereka akan meninggalkan
langit atau tempat mereka berlindung. Padahal tempat yang hendak dituju
belum pasti dapat menjamin kebahagiaan mereka. Begitu juga halnya
ketika manusia hendak berjihad ke jalan Allah. Iblis dan syaitan
menakut-nakutkan manusia supaya mereka sayangkan dunia yang begitu
indah termasuk harta benda yang mereka miliki. Kemudian dibisikkan
dalam hati mereka adakah mereka sanggup melihat isteri-isteri dikahwini
oleh orang lain apabila mereka mati ketika berjihad. Harta yang
ditinggalkan akan dibahagi-bahagi untuk orang yang masih hidup. Orang
lain bersuka ria menikmati harta peninggalan. Isteri yang ada berkahwin
lain. Perjuangan seumpama ini adalah merugikan.
Begitulah gambaran ringkas atas tamsil
yang terjadi diantara manusia dan qarinnya atau dengan syaitan lain.
Hanya manusia yang leka dan sesat sahaja yang akan terpedaya dengan
qarinnya yang boleh diperintah dan dipacu menurut kehendaknya. Mereka
inilah yang akan menjadi kuda tunggangan iblis dan syaitan.
Inilah jawapan Allah SWT ketika iblis
laknatullah bersumpah akan membinasakan manusia: “Sesungguhnya
hamba-hambaku tidak ada kekuasaan bagimu atas mereka, kecuali orang
yang mengikuti kamu iaitu orang-orang yang sesat.” (QS Al-Hijr: 42)
Selain gangguan qarin, Imam Muslim
meriwayatkan dalam kitab sahihnya bahawa Rasulullah SAW ada bersabda,
yang bermaksud bahawa tidak ada anak Adam yang dilahirkan ke dunia ini
yang tidak diganggu oleh syaitan kecuali Isa 'alaihissalam dan ibunya
Maryam berdasarkan firman Allah SWT: “Sesungguhnya aku melindungi akan
dia (Maryam) serta anak keturunannya daripada syaitan yang direjam.”
(QS Ali Imran: 36)
Lantaran gangguan-gangguan yang sedia
menunggu itu maka Allah menyuruh supaya dibacakan azan (bang) di
telinga kanan dan (qamat) di telinga kiri sebaik-baik seorang bayi itu
dilahirkan yang salah satu tujuannya untuk mengelakkan daripada
gangguan iblis dan syaitan.
Dari Abu Rafi r.a. (bekas hamba yang
dimerdekakan oleh Rasulullah SAW) ia berkata: “Aku lihat Rasulullah SAW
membaca azan solat di telinga Husain bin Ali ketika Fatimah r.a.
melahirkannya.”
Sebuah hadis lain, dari Husain bin Ali
r.a., ia berkata bahawa Rasulullah SAW ada bersabda: “Siapa yang
melahirkan anak lalu bayi yang dilahirkan itu diazankan pada telinga
kanan dan diqamatkan pada telinga kirinya, nescaya ummu sibyan (jin
yang menganggu kanak-kanak) tidak akan menganggunya.”
Sehubungan dengan gangguan-gangguan
ini, Rasulullah SAW ada bersabda yang berbunyi: “Apabila malam meliputi
(atau apabila malam menyelubungi) maka cegahlah anak-anak kamu, kerana
sesungguhnya syaitan-syaitan itu berkeliaran ketika itu. Maka apabila
luputlah satu ketika daripada Isyak, maka berilah kebebasan kepada
mereka, selak pintu kamu serta sebut nama Allah dan padamkan lampu
serta sebut nama Allah, dan tudunglah bekas-bekas minuman kamu dan
sebut nama Allah, dan tutuplah bekas-bekas makanan dan menyebut nama
Allah biarpun bekas itu telah ditudungi atau direntangi sesuatu ke
atasnya.” (HR Bukhari)
Jelasnya anak-anak kecil perlu berada
dalam rumah pada waktu maghrib. Jangan biarkan mereka berada di luar
rumah kerana pada masa itu segala jenis makhluk halus sedang keluar
dari tempat kediaman masing-masing untuk mencari rezeki sambil
mengenakan mangsanya.
Hakikatnya, malam bukan masa untuk
manusia keluar dari rumah seperti yang seharusnya dilakukan pada waktu
siang. Malam adalah untuk berehat, menenangkan fikiran dengan
mengingati Allah, bukan untuk berkeliaran di luar rumah seperti
firmanNya: “Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu
beristirehat padanya dan menjadikan siang terang benderang.
Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah
bagi orang yang mendengar.” (QS Yunus: 67)
Rasulullah SAW menyuruh supaya setiap
orang mengurangkan keluar pada waktu malam kerana pada waktu malam
segala kejahatan buruk boleh terjadi tanpa diduga. Keluar pada malam
itu tidak digalakkan kecuali sebab-sebab tertentu. Apatah lagi jika
keluar seorang diri. Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Andainya manusia itu tahu apa yang terjadi ketika berseorangan,
seseorang itu tidak akan berjalan bersendirian biarpun satu malam buat
selama-lamanya.”
Menurut kepercayaan keagamaan orang
Mesir pada zaman lampau, qarin ialah makhluk kedua dalam setiap
individu, atau secara umumnya sebagai teman, rakan dan syaitan. Dengan
kata lain, qarin umumnya dipercayai sebagai hantu, syaitan atau jin
yang lahir bersama-sama bayi dan akan menjadi teman sepanjang hidup.
Kepercayaan orang-orang Islam di Afrika
Utara terhadap qarin berkait rapat dengan kepercayaan orang-orang
Mesir. Jin yang terdiri daripada jantina yang berlainan menjadi rakan
pada roh. Sekiranya bayi yang lahir itu lelaki, maka qarin itu dianggap
sebagai kakak, begitulah sebaliknya. Qarin dikatakan tidur dengan
kembarnya dan mempunyai kaitan dalam tidurnya yang dikenali sebagai
mimpi.
Seorang yang sedang tidur dikatakan
pengaruh qarinnya lebih kuat daripada orang itu. Dibandingkan dengan
jumlah makhluk-makhluk lain, jumlah manusia adalah yang terkecil.
Nisbah bilangan manusia hanya 1 %, bilangan jin 9%, manakala malaikat
ialah 90%. Rasulullah SAW ada bersabda yang berbunyi: “Sesungguhnya
Allah mencipta malaikat dan jin juga manusia 10 bahagian. Kadar
malaikat 9 bahagian, jin dan manusia satu bahagian. Allah ciptakan dari
satu bahagian itu dipecahkan kepada 10 bahagian. 9 bahagian
daripadanya adalah bilangan jin dan hanya satu bahagian sahaja bilangan
manusia.”
Wallahua’lam.
Sumber: http://one-ummah.net/rawatan-islam/isu-pilihan/442-qarin--makhluk-halus-pendamping-manusia.html
ONE UMMAH.NET
Sumber: http://one-ummah.net/rawatan-islam/isu-pilihan/442-qarin--makhluk-halus-pendamping-manusia.html
ONE UMMAH.NET
Comments
Post a Comment