Mengapa kita gagal mencapai Taqwa dengan berpuasa?
“Dan tiadalah aku berani membersihkan
diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan
kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku
(maka terselamatlah dia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Quran, Yusof 12:53)
Sederhana di dalam mengawal nafsu.
Kita berpuasa bertujuan untuk kembali
kepada fitrah dan menjadi hamba yang bertaqwa. Namun seringkali puasa
yang kita jalankan hanya sekadar mendapat lapar dan dahaga sahaja. Ia
menjadi seperti sebuah adat iaitu berlapar beramai-ramai.
Latihan puasa yang bertujuan untuk
menghalang kehendak nafsu juga seringkali dilihat seolah-olah gagal
apabila nafsu masih kuat dan kekadang semakin meningkat jadinya di bulan
Ramadhan ini.
Tidak mungkin ada salahnya ibadah yang
diwajibkan oleh Allah SWT ini namun mengapa makin dihalang kehendak
nafsu, makin meningkat keinginannya.
Mari kita lihat penjelasan Allah SWT
yang sangat sederhana di dalam Al-Quran. Di dalam surah Al-Baqarah 183
firman yang mewajibkan kita berpuasa, Allah SWT menyeru ORANG-ORANG YANG
BERIMAN untuk berpuasa.
Jelas untuk berpuasa…seseorang itu perlu
beriman terlebih dahulu. Beriman ini secara ringkasnya adalah percaya
kepada rukun iman yang 6. Boleh baca artikel saya untuk memahami iman di
sini.
Mengapa pentingnya perlu beriman dahulu?
Berbalik kepada surah Yusof di atas,
jelas ungkapan Zulaikha ketika mengaku beliaulah yang mengajak Nabi
Yusof berzina…mengatakan nafsu itu tidak mampu ditahan kerana ia
sentiasa mengajak kepada kejahatan. KECUALI Allah SWT memberikan rahmat
kepada nafsunya.
Jelas keinginan ini datang dari jiwa
lalu ke fikiran. Fikiran inilah yang semakin menguatkan nafsu. Namun
kehendak asal datang dari dalam jiwa. Allah SWT yang memberikan ilham
kepada jiwa ini baik dan buruk.
Lalu di kala kita terasa ingin membuat
kejahatan, maka sebenarnya kita diilhamkan oleh Allah SWT dengan ilham
fujur (buruk). Kini tinggal sedikit ruang atau daya yang Allah SWT
berikan kepada kita samada untuk meneruskan keinginan yang diilhamkan
atau tidak.
Di sinilah ramai yang kecundang kerana
tiada memiliki kekuatan atau daya untuk menghalang nafsu. Lalu apakah
yang harus dilakukan di dalam menghalang nafsu ini?
Caranya adalah perlu memohon RAHMAT
ALLAH SWT. Memohon agar Allah SWT merahmati nafsu kita dengan memberikan
kekuatan untuk kita menghalang kehendaknya disamping melemahkan
keinginan nafsu tadi kerana kita tidak berdaya melainkan Allah SWT yang
memberikan daya yang dikehendakiNya kepada kita.
Apabila kita beriman…kita akan mudah dan
sentiasa sedar akan Allah SWT. Ketika nafsu melonjak…kita yang sentiasa
berada di atas rasa pasti sedar bahawa ini adalah kehendak nafsu ku.
Tapi ia sungguh kuat. Bertubi-tubi datang ke jiwa lalu ke fikiran dan
sukar untuk menahannya.
Lalu orang yang beriman sedar..perlu kembali kepada Allah SWT. Lalu kembali ke Allah dengan memohon…
Ya Allah..rahmatilah nafsuku….rahmatilah
nafsuku ya Allah…rahmatilah ya Allah. Aku tidak mampu melawannya
melainkan dengan pertolonganMu ya Allah. Sesungguhnya jika aku mengikuti
nafsuku ya Allah…aku termasuk ke dalam golongan orang yang menzalimi
diriku ya Allah. Ya Allah…hindarlah aku dari menzalimi diriku ya Allah.
Ya Allah..terima kasih ya Allah..terima kasih.
Diulang terus doa di atas
bersungguh-sungguh. Pasti nafsu yang memberontak akan melemah dan
akhirnya Allah SWT mencabut rasa ingin nafsu tadi.
Doa di atas hanya mampu dibaca bagi
orang yang beriman…yang sedang dalam ujian nafsu yang melonjak. Jika
orang yang tidak beriman..mana mungkin dia mampu berada di atas rasa
lalu mana mungkin dia mampu berdoa sedemikian.
Kerana itulah objektif puasa hanya akan
dapat dicapai jika kita beriman kepada Allah SWT kerana kita akan
sentiasa sedar akan Allah SWT setiap saat dan kita sentiasa berada di
atas rasa.
Namun apabila kesedaran kita meningkat,
kita akan mudah mengawal nafsu kerana orang yang sentiasa ingat Allah
SWT pasti sentiasa diilhamkan dengan taqwa bukan fujur.
Juga jika diilhamkan fujur sebagai ujian
dari Allah SWT, orang beriman mudah mengawal nafsunya kerana sentiasa
sedar akan Allah SWT…sentiasa berada di atas rasa lalu memohon agar
Allah SWT merahmati nafsunya dengan bersungguh-sungguh permohonan.
Semoga penjelasan ini jelas di dalam
memahami cara bagaimana untuk mengawal nafsu dan akhirnya akan
memudahkan diri untuk terus memiliki taqwa dan kembali kepada fitrah.
Cuba praktikkan doa di atas ketika di
pasar Ramadhan, semasa membeli belah persediaan raya, ketika marah,
ketika malas untuk solat awal, ketika rasa geram pada seseorang, rasa
benci, rasa dengki, rasa tidak puas hati dan lain-lain di mana ketika
nafsu sedang mengawal diri.
InshaAllah saya yakin, pasti kita akan
tersedar dan rasa-rasa itu hilang dari jiwa kita. Bukan sekadar hilang
di fikiran…tetapi terus di jiwa.
“Ya Allah, malasnya aku nak solat ni.
Waktu dah masuk dah ya Allah. Ya Allah rahmatilah nafsu malas ku ya
Allah..ya Allah rajinkanlah aku ya Allah. rahmatilah aku ya Allah…ya
Allah kuatkanlah aku untuk bangun mendirikan solat ya Allah.”
Diulang-ulang
terus….bersungguh-sungguh..pasti kita terbangun lalu mendirikan solat.
Pasti..saya amat yakin kerana dulu saya sentiasa melakukannya dan
sentiasa berjaya melawan nafsu.
Artikel : Fuad Latip
fuadlatip.com
fuadlatip.com
Comments
Post a Comment