Akidah Dan Perjuangan- Armarhum Dato' Ustaz Haji Fadzil bin Muhammad Noor
Aqidah mestilah diperjuangkan,
Dan perjuangan mestilah berteraskan aqidah.
Aqidah
merupakan suatu perkara yang paling penting dalam perjuangan Islam. Ia
merupakan suatu kekuatan utama yang mesti dimiliki oleh seluruh pejuang
Islam agar perjuangan yang didokongi tidak lari daripada matlamat asal
serta tidak bercanggah daripada landasan yang telah digariskan oleh
Islam. Menyedari betapa pentingnya kekuatan aqidah ini kepada jatuh
bangunnya perjuangan Islam telah menyebabkan musuh Islam dari dulu
hingga kini sentiasa berusaha di dalam menjauhkan umat Islam daripada
ajaran Islam yang sebenar melalui serangan pemikiran. Kesinambungan
daripada itulah maka kita sebagai orang yang mengaku berjuang Islam
mesti faham, mengguna serta mempertahankan kekuatan aqidah ini daripada
sebarang usaha musuh Islam untuk merobek dan menghancurkannya demi
mencapai kejayaan dan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat.
Definisi Aqidah
Dari segi bahasa aqidah berasal daripada perkataan ‘aqada yang bermaksud ikatan atau simpulan yang kukuh.
Menurut
istilah syara’: Aqidah ialah kepercayaan yang tersimpul kukuh dan teguh
dalam jiwa sehingga tidak mungkin akan terurai oleh apa jua suasana dan
keadaan.
Aqidah
Islamiyyah ialah satu ikatan yang menghubungkan antara makhluk (yang
dicipta) dengan Allah sebagai Khaliq (pencipta). Ia dibina di atas Rukun
Iman.
“…Dan
barangsiapa yang engkar kepada taghut dan beriman kepada Allah, maka
sesungguhnya dia telah memegang tali yang amat kuat dan tidak akan
putus…”
(Surah Al-Baqarah : 256)
“Orang-orang Mukmin hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu...”
(Surah Al-Hujurat : 15)
“Kitab itu (Al-Quran) tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah Al-Baqarah : 2)
3 Unsur Utama Aqidah
- Tidak mencari Tuhan selain Allah S.W.T
- Tidak mengambil pemimpin atau pelindung selain daripada Allah
- Tidak mencari hakim selain Allah
Perjuangan Kita
Sesungguhnya aqidah ini wajib diperjuangkan.
PERJUANGANNYA IALAH MENEGAKKAN KALIMAH ALLAH DAN MERUNTUHKAN SEGALA
KEKUFURAN. Tidak sempurna iman bagi sesiapa yang hanya menumpukan amal
untuk dirinya sendiri tanpa ada hubung kait dengan masyarakat. Aqidah
ini bukan untuk dipegang oleh orang-orang tertentu sahaja. Ia juga bukan
hanya perlu diperjuangkan oleh orang-orang tertentu sahaja. Bukan hanya
diperjuangkan oleh para Nabi dan Rasul atau para ulama’, bahkan seluruh
umat Islam. Sebagaimana Allahu Subhanahu Wa Ta’ala menyebut di dalam
al-Quran dalam banyak ayat tentang aqidah dan perjuangan. Disebut
tentang kewajipan berada dalam perjuangan ini seiring dengan perintah
beriman kepada-Nya. Dua perkara yang tidak dapat dipisahkan.
“Dan
sesungguhnya Kami telah mengutuskan pada tiap-tiap umat akan Rasul
(untuk menyerukan) sembahlah Allah sahaja dan jauhilah taghut.”
(Surah An-Nahl : 36)
“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh melakukan yang ma’ruf dan kamu melarang dari mengerjakan yang mungkar serta beriman kepada Allah.”
(Surah Ali Imran : 110)
“Perangilah mereka (orang-orang kafir) sehingga tidak ada lagi fitnah dan agama semuanya hanyalah untuk Allah.”
(Surah Al-Anfal :39)
“Orang-orang Mukmin hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta benda dan dirinya di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.”
(Surah Al-Hujurat : 15)
“Wahai
orang-orang yang beriman, mahukah Aku tunjukkan kepadamu suatu
perniagaan yang akan melepaskan kamu dari azab yang pedih. (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjuang pada jalan Allah dengan harta dan dirimu. Itulah yang lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”
(Surah As-Shaf : 10-11)
Perjuangan ini adalah jihad. Aqidah dan jihad ibarat sebatang
pokok yang mana aqidah sebagai akarnya dan pucuknya adalah jihad.
Kecacatan Aqidah Tanpa Perjuangan
Jika
kita lihat masyarakat Islam pada hari ini dapat kita lihat betapa
sedikitnya golongan yang memperjuangkan Islam. Agama dianggap hak
individu. Padahal Islam bukan agama individu, tetapi agama jamaah.
Pandangan sesetengah anggota masyarakat kita, “biarlah dia (orang yang
melakukan kemungkaran). Kita jaga diri kita cukuplah”. Mereka kedekut
untuk menyampaikan ajaran Islam kepada orang ramai. Ini sebenarnya
aqidah yang tidak jelas. Para penjajah pada era penjajahan dahulu, amat
suka golongan macam ini. Walaupun ‘abid (orang yang kuat beribadat),
tetapi tidak ambil kisah soal orang lain, soal negara dan sebagainya.
Asalkan tidak mengganggu ibadat khususnya. Lebih malang apabila ada
golongan yang hendak memperjuangkan undang-undang Islam, politik Islam,
maka akan dianggap salah. Sedangkan kita sedia maklum tentang kewajipan
amar ma’ruf dan nahi mungkar dan kewajipan beramal dengan seluruh ajaran
Islam. Tidak ada seorang Rasul pun yang bersenang-lenang tanpa
perjuangan menegakkan Islam. dan jika tidak kerana perjuangan
orang-orang terdahulu menyebarkan Islam, mungkin Islam tidak akan sampai
ke nusantara ini.
Setiap
individu Muslim wajib berjuang menegakkan Islam. lebih-lebih lagi pada
saat ini di mana tiadanya satu khilafah ataupun daulah yang melaksanakan
seluruh ajaran Islam dan menggunakannya dengan adil. Malah, ummat Islam
sebahagiannya dijajah oleh Barat dan Yahudi.
Golongan
yang tidak berjuang untuk Islam mereka juga tidak selamat. Allahu
Subhanahu Wa Ta’ala mengingatkan kita akibat meninggalkan perjuangan
menegakkan agama Allah dalam Al-Quran dalam beberapa kisah. Di sini saya
memetik peristiwa pada hari Sabtu kaum Nabi Musa a.s.
“Tanyakanlah
kepada mereka tentang negeri yang terletak berhampiran laut. Ketika
mereka melanggar perintah Allah pada hari Sabtu, ketika ikan-ikan mereka
datang terapung-apung (di muka air) pada hari Sabtu, sedangkan pada
hari (yang lain) bukan hari Sabtu tiada datang kepada mereka.
Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan mereka orang-orang fasiq.
Ketika segolongan di antara mereka itu berkata: Mengapa kamu menasihati
kaum, sedang Allah akan membinasakan mereka itu atau menyiksanya dengan
seksaan yang keras? Mereka menjawab: (kami nasihati mereka itu) untuk
meminta uzur (setelah menunaikan tanggungjawab dakwah) kepada Tuhan-Mu
dan mudah-mudahan mereka itu bertakwa. Tatkala mereka melupakan apa-apa
yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang
melarang kejahatan dan Kami seksa orang-orang yang aniaya dengan ‘azab
yang keras, disebabkan mereka fasiq. Setelah mereka sombong (melanggar)
apa yang terlarang, Kami berfirman kepada mereka: Jadi keralah kamu
serta terusir.”
(Surah Al-A’raaf : 163-166)
Dalam ayat lain, Allahu Subhanahu Wa Ta’ala menyebut:
“Terlaknatlah
orang-orang kafir dari golongan Bani Israel melalui lisan Nabi Allah
Daud dan Isa bin Maryam, itu adalah disebabkan oleh derhaka mereka
(terhadap Allah Ta’ala) dan mereka melampau, mereka tidak mencegah
kemungkaran di kalangan mereka - itulah seburuk-buruk amalan mereka.”
Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, maksudnya:
“Tidak
ada dari Nabi yang diutus dalam ummat sebelumku, kecuali dari ummatnya
terdapat orang-orang yang membelanya dan sahabat-sahabat yang
melaksanakan sunnahnya dan meneladani perintahnya. Kemudian setelah itu
akan datang orang-orang yang mengatakan apa yang tidak mereka lakukan
dan melakukan apa yang tidak diperintahkan. Barangsiapa yang berjihad
melawan mereka dengan tangannya, maka dia mukmin. Barangsiapa yang
berjihad melawan mereka dengan lisannya, maka dia mukmin. Barangsiapa
yang berjihad melawan mereka dengan hatinya, maka dia mukmin. Setelah
itu tidak ada lagi iman walaupun sebesar biji jagung.
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud;
“Barang siapa yang tidur dan tidak mengambil tahu ataupun mengambil
berat tentang urusan orang-orang Islam, maka dia bukanlah golongan
mereka (golongan orang-orang Islam)”.
Kecacatan Perjuangan Tanpa Asas Aqidah Yang Kukuh
Diriwayatkan dari Abu Musa r.a.:
Seorang
Badwi bertanya kepada Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) tentang
jihad: “Orang yang berjuang atau berperang kerana mahukan harta
rampasan, orang yang berperang kerana mahukan supaya namanya disebut,
orang yang berperang kerana menunjuk-nunjuk kepada orang, orang yang
berperang kerana keberanian semata-mata, orang yang berjuang kerana
perkauman, atau kerana kekeluargaan, ataupun kerana fanatic
keturunannya, ataupun berperang kerana marah, maka siapakah yang
dikatakan berperang fi sabilillah?” Rasulullah (sallallahu ‘alaihi
wasallam) menjawab: “Orang yang berperang pada jalan Allah, ialah mereka
yang berperang kerana menegakkan kalimah Allah yang Maha Suci.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Dari Amirul Mukminin Umar Ibnu Al-Khattab r.a. katanya:
Aku
telah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Sesungguhnya setiap perbuatan itu adalah (bergantung) dengan niat. Dan
sesungguhnya setiap apa (yang dilakukan oleh) manusia itu (balasannya
atas) apa yang diniatkan. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah
dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan
barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin dikecapinya, atau
kerana seorang perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu
kepada apa yang ia berhijrah kerananya.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Kepentingan Aqidah Terhadap Perjuangan Islam
1. Supaya jelas matlamat perjuangan
Pejuang Islam mesti tahu bahawa perjuangan yang sedang
didokongi merupakan suatu tuntutan Allah S.W.T di mana setiap gerak
kerja yang dilakukan mestilah selari dengan apa yang telah digariskan
oleh Islam. Bagaimana kita mahu berjuang sekiranya kita tidak tahu
matlamat perjuangan Islam yang sebenarny.
2. Supaya perjuangan benar-benar ikhlas kerana Allah S.W.T
Sebuah
hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa
al-Asy’ari bahasanya seorang arab badwi telah datang kepada Rasulullah
s.a.w lalu bertanya:
يارسول
الله! الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ و الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ
و الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ؟ وفى رواية يُقَاتِلُ شَجَاعَةً و
يُقَاتِلُ حَمِيَّةً , وفي رواية : يُقَاتِلُ غَضَبًا فَمَنْ فى سبيل
الله؟ فقال رسول الله : مَنْ قَاتَلَ لِتَكُوْنَ كَلِمَةُ الله هِىَ
العُلْيَا فَهُوَ فِى سَبِيْلِ الله
Maksudnya
: Ya Rasulullah! Ada seseorang yang berperang dengan tujuan merebut
harta rampasan, ada pula seseorang yang berperang dengan tujuan suapaya
disebut-sebut namanya dan ada pula seseorang yang berperang dengan
tujuan untuk memperlihatkan betapa hebat peranannya”. Dan dalam riwayat
lain “ Ada seseorang yang berperang dengan tujuan menunjukkan
keberaniannya dan ada pula seseorang yang berperang untuk membalas
dendam keluarganya. Dan riwayat yang lain pula disebutkan “ Ada
seseorang yang berperang kerana mahu melepaskan kemarahannya maka yang
mana di antara semua ini yang dianggap orang yang berperang
fisabilillah?.” Rasulullah s.a.w menjawab :” Sesiapa yang berperang
dengan tujuan supaya kalimah Allah S.W.T (Islam) menjadi tinggi maka
orang itu sahajalah yang dikatakan berjihad fisabilillah
2 kisah dalam peperangan Uhud ini ialah apabila seorang kafir yang
bernama ‘Amru bin Thabit di mana sebelum ini telah diajak kepada Islam
tetapi dia enggan. Tiba-tiba dalam peperangan ini dia telah dijumpai
dalam keadaan nazak dan apabila ditanya tentang sebab dia turut
berperang lalu dia menjawab bahawa dia telah beriman kepada Allah dan
rasulNya. Apabila diberitahu kepada Rasulullah s.a.w tetang perkara ini
lalu bagnda menjawab : Dia masuk Syurga.
Satu lagi peristiwa iaitu yang berlaku kepada Qazman di mana
dia berperang dipihak Islam dan berjaya membunuh tujuh atau lapan orang
kafir. Dia dijumpai dalam keadaan luka parah kemudian dibawa pulang
kerumahnya. Dia memberitahu bahawa dia berperang kerana mempertahankan
kaum bangsanya. Oleh kerana dia tidak tertahan dengan kesakitan yang
dihadapi lalu dia telah membunun diri. Apabila Rasulullah s.a.w
diberitahu mengenai perkara ini lalu baginda bersabda : Dia masuk neraka
3. Supaya dapat merasai kemanisan iman dalam perjuangan
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Anas:
قَالَ
الرَّسُوْلُ : ثَلاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ ِبهِنَّ حَلاوَةَ
الإْيمَان : أَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ ِمَّما
سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لايُحِبُّهَ إِلا ِللهِ وَأَنْ
يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِى الكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ
كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِى النَّارِ
Maksudnya
: Sesiapa yang memiliki tiga perkara ini nescaya dia akan dapat
merasakan kemanisan iman iaitu dia mengasihi Allah dan rasulNya lebih
daripada yang lain dan dia mengasihi seseorang semata-mata kerana Allah
serta dia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas dia diselamatkan
oleh Allah daripadanya sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api
neraka
4. Supaya tidak mudah kecewa dan berputus asa dalam perjuangan
Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali ‘Imran :
وكأين من نبي قــتل معه ربيون كثير فما وهنوا لمآ أصابهم فى سبيل الله وما ضعفوا وما استكانوا والله يحب الصــبرين
Maksudnya
: Dan berapa ramai nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar
daripada pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana
bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak
pula menyerah kepada musuh. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang
sabar
5. Supaya tidak menjadikan perjuangan sebagai tempat mencari habuan dunia
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah
iaitu antara 3 orang yang Allah S.W.T tidak bercakap dengan mereka pada
hari kiamat serta tidak disucikan mereka dan mendapat azab pedih ialah:
…. وَرَجُلٌ بَايَعَ إِمَامًا لايُبَايِعَهُ إِلا لِدُنْيَا . فَإِنْ أَعْطَاهُ مِنْهَا وَفَى لَهُ وَإِنْ لَمْ يُعْطِهِ مِنْهَا لَمْ يَفِ لَهُ
Maksudnya
: ….dan seorang lelaki yang taat setia kepada pemimpin di mana dia
tidak taat kecuali kerana dunia. Jika pemimpin memberinya habuan maka
dia tunai ketaatan baginya tetapi jika pemimpin tidak memberinya maka
dia tidak mentaatinya
6. Supaya amanah dan bertanggungjawab dalam perjuangan
قَالَ الرَّسُوْلُ : لا دين لمن لاأمانة له
قَالَ
الرَّسُوْلُ : يا أبا ذر إنك ضعيف وأنها أمانة وأنها يوم القيامة خزي
وندامة إلا من آخذها بحقها وأدى الذي عليه فيها – رواه مسلم
Maksudnya
: Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya engkau lemah sedangkan jawatan itu
adalah suatu amanah dan pada hari qiamat kelak kehinaan dan penyiksaan
yang akan menimpa kecuali orang yang telah mengambilnya dengan hak dan
menunaikan tanggungjawabnya
7. Supaya tidak mudah goyah apabila diserang oleh pihak musuh Islam
فرمان الله تعالى دالم أية 19 سورة التوبة :
أجعلتم
سقاية الحاج وعمارة المسجد الحرام كمن ءامن بالله واليوم الآخر وجــهد فى
سبيل الله لايستون عند الله والله لايهدى القوم الظــلمين
Maksudnya
: Adakah mereka yang memberi minuman kepada jemaah haji dan menguruskan
Masjidil Haram kamu samakan kedudukan mereka dengan orang-orang yang
beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad di jalan Allah?. Mereka tidak sama kedudukannya di sisi Allah dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim
8. Supaya dapat lari daripada menjadi pengkhianat terhadap perjuangan Islam
9. Supaya tahan dalam menerima ujian dan cabaran
Firman Allah dalam ayat 2 dan 3 surah al-Ankabut :
أحسب
الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لايفتنون . ولقد فتنا
الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكذبين .
Maksudnya
: Adakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan untuk
mengatakan: “ Kami telah beriman “, sedangkan mereka belum diuji.
Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum
mereka maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar
dan Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.
10. Supaya sentiasa muhasabah diri dalam perjuangan
Firman Allah S.W.T dalam ayat 104 surah an-Nisa’ :
ولا تهنوا في ابتغاء القوم , إن تكونوا تألمون فإنهم يألمون كما تألمون , وترجون من الله مالا يرجون
Maksudnya
: Jangan kamu merasa hina (hilang semangat) memburu musuh kerana jika
kamu merasa sakit mereka juga merasa sakit seperti kamu merasainya
sedangkan kamu pula berharap kepada Allah apa yang mereka tidak harapkan
11. Sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah S.W.T
12.
Supaya tidak mencampur-adukkan antara Islam dan jahiliah, iman dan
kufur, dosa dan pahala, ibadat dan maksiat dalam perjuangan
120 سورة االأنعام :
وذروا ظــهر الإثم وباطنه إن الذين يكسبون الإثم سيجزون بما كانوا يفترون
Maksudnya
: Dan tinggallah dosa yang nampak dan tersembunyi. Sesungguhnya
orang-orang yang mengerjakan dosa, kelak akan diberi balasan disebabkan
apa yang mereka telah kerjakan
Pesan
Sayyidina Umar al-Khattab : Kamu hendaklah takut kepada dosa kamu
sendiri berbanding musuh. Jika kamu mati di tangan musuh maka hanya
jasad bercerai daripada roh sedangkan jika kamu mati dengan dosa maka ia
akan kamu bawa ke akhirat. Orang kafir itu dikalahkan disebabkan
kederhakaan mereka terhadap Allah. Sekiranya kamu umat Islam pun turut
derhaka maka kamu tidak akan dibantu oleh Allah.
Perjuangan
ini hendaklah didasari dengan aqidah. Tanpa aqidah maka perjuangan
menjadi batil, sebagaimana orang-orang munafiq yang ikut Rasulullah
dalam peperangan, tetapi mereka tiada Aqidah Islamiyyah. Perjuangan
sebegini tidak diterima oleh Allah.
Aqidah
yang lemah akan menyebabkan kita lemah dalam perjuangan. Kita akan
mudah goyah dan juga akan mudah terpesong dengan kehendak-kehendak dunia
yang sementara apabila aqidah kita tidak kukuh.
Penutup
Justeru,
hendaklah kita sentiasa bermuhasabah diri sejauh manakah kedudukan iman
dan aqidah dalam perjuangan kita. Di samping kita beramal secara
jama’ie dan amal ijtima’ie, jangan kita lupa untuk mendekatkan diri
kepada Allah di malam hari dengan berqiamullail dan memperbanyakkan
amalan-amalan sunat. Kita juga perlu menekankan amalan-amalan
tazkiyatunnafs (mendidik jiwa), amalan-amalan fardi (individu) supaya
kita benar-benar berjuang pada landasan aqidah. Dalamilah ilmu
aqidah/ilmu tauhid/ilmu usuluddin/ilmu kalam. Biarlah hubungan kita
rapat dengan Allah supaya perjuangan kita tidak terpesong dengan
keinginan duniawi. Tidak disekutukan dengan sesuatu dan hanya
bermatlamatkan Allah. Jangan kita terlalu asyik mengutamakan ilmu-ilmu
haraki dan gerak kerja sedangkan ilmu-ilmu fardhu ‘ain, ilmu feqah, ilmu
aqidah kita tidak dalami, dan jangan pula kita asyik dengan
amalan-amalan fardi (individu) sehingga melupakan tanggungjawab kita
terhadap masyarakat. Marilah kita sama-sama mengikhlaskan diri dalam
perjuangan ini hanya untuk Allahu Subhanahu Wa Ta’ala.
Aqidah mestilah diperjuangkan,
Dan perjuangan mestilah berteraskan aqidah.
Comments
Post a Comment