Kerinduan Rasulullah Pada Umat Akhir Zaman
Suasana di majlis pertemuan itu hening
sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang
memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama
kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan
demikian.
Seulas
senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang
tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai
Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar
bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.
"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua
adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara
Rasulullah bernada rendah.
"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah,"
kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan
kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara,
"Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka
beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku.
Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak
dan orang tua mereka."
Pada ketika yang lain pula, Rasulullah
menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda: "Siapakah yang paling
ajaib imannya?" tanya Rasulullah. "Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.
Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, " Para nabi."
"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."
"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.
"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.
"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka?
Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan
beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan
beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman
denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.
"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan
mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur
kesayuan pada ucapannya itu.
Begitulah nilaian Tuhan. Bukan jarak dan
masa yang menjadi ukuran. Bukan bertemu wajah itu syarat untuk
membuahkan cinta yang suci. Pengorbanan dan kesungguhan untuk
mendambakan diri menjadi kekasih kepada kekasih-Nya itu, diukur pada
hati dan buktikan dengan kesungguhan beramal dengan Sunnahnya.
Pada kita yang bersungguh-sungguh mahu
menjadi kekasih kepada kekasih Allah itu, wajarlah bagi kita untuk
mengikis cinta-cinta yang lain. Cinta yang dapat merenggangkan hubungan
hati kita dengan baginda Rasulullah.
Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah s.a.w...
Comments
Post a Comment