HIDUP BUKAN SEPERTI CERITA CINDERELLA
Ramai orang mengimpikan kehidupan mewah ala-ala drama TV3 jam
tujuh malam. Hidup kaya-raya, duduk di rumah besar dan pandu kereta mewah.
Bercinta pula dengan wanita-wanita cantik seperti Mira Filzah, Neelofar dan
Heliza Helmi atau lelaki kacak seperti Asyraf Muslim, Remy Ishak, Fahrin Ahmad
dan Izzue Islam. Gaduh-gaduh kemudian bercinta.
Ringggggggggg!
Loceng jam berbunyi. Buka mata, badan masih terlantar di atas katil empuk
bersama baju tidur. Bilik besar, rumah pula banglo tiga tingkat. Masuk bilik
air semuanya tersusun rapi. Sabun muka, ubat gigi, berus, pencukur bulu-bulu
semunya kelihatan baru dan teratur. Mandi pula menggunakan pancuran
air panas. Fuhh.
Keluar
bilik air, badan yang basah dilap dengan tuala tebal lagi empuk. Rambut pula
dikeringkan dengan pengering rambut. Kemudian kemeja disarung pada badan dan
seluar dipakai dengan cermat. Akhir sekali, tali leher diikat pada leher dengan
kemas.
Penuh
bergaya.
Sebelum
keluar bilik, dilihat dahulu cermin besar yang tergantung dan dibetul-betulkan
lagi rambut. Ermmm, muka macam Fahrin Ahmad. Fuhh.
Baju kot dicapai dan terus keluar.
“Morning, papa…”
Fahrin menyapa si ayah yang sibuk membaca akhbar sambil menghirup secawan kopi
panas.
“Morning, Fahrin…”
balas Dato’ Mansor. Suaranya seperti Datuk Jalaludin Hasan.
“Darling…
Sudah-sudahlah tu baca paper.
Makan lauk tu,” kata Datin Salmah. Mukanya seperti Liza Abdullah. Ehh sesuai ke
tak eh? Tak mengapalah kita teruskan.
“Ehh
Fahrin, tak nak makan dulu ker?”
Tanya Datin Salmah.
“Tak
apalah, mama. Rin kena cepat. Banyak kerja di pejabat tu. Papa mama, I
need to go now. Papa, see
you di pejabat.”
Pakai
kasut hitam berkilat dan masuk dalam kereta BMW warna merah. Vrooommmm…
vroooommmmm…
Bila
sampai pejabat, disapa pula oleh pembantu peribadi yang cantik.
“Morning,
Encik Fahrin. Saya dah sediakan kopi kegemaran encik di atas meja.”
“Morning, Shila. Thank
you so much.”
Rakan-rakan
kerja Shila ada yang cemburu melihat situasi itu. “Pandai si Shila tu ambik
hati si Fahrin. Tengoklah, aku pasti akan dapat Fahrin,” monolog Zie, musuh
ketat Shila.
“Encik
Fahrin, ada orang dari Kencana Holding datang nak berjumpa dengan Encik Fahrin.
Saya minta dia tunggu di bilik tamu terlebih dahulu,” beritahu Shila.
“Oh,
baik. Boleh suruh dia masuk.”
“Knokk…
knookk…” Pintu dibuka.
“Encik
Fahrin, ini Cik Nialofa dari Kencana Holding. Anak kepada Dato’ Salim.”
Dalam
keadaan gerak peralahan, kamera zum dekat pada wajah cantik ayu Cik Nialofa.
Muzik tiba-tiba kedengaran. Irama dan lagu bersatu.
Kelipan
mata begitu memikat hati dan wajahnya cantik warna kekuningan langsat.
“Nuuuuurrrr
Kasih… Nurrrr kasih…” lagu OST Nur Kasih mula kedengaran. Ehh, sesuai ker lagu
Yasin dalam drama ini? Ahh, hentam sahajalah! Kita teruskan.
Hati
Fahrin mula bermonolog, “Siapakah dia? Tidak pernah aku melihat gadis secantik
ini… Waaaaahhh”
“Vrrooooooooooommm…
Bangunn… Bangunnn... Oii, bangun dari mimpi!” kejut emak untuk bangun solat
Subuh.
Air
liur basi dilap dengan tangan sambil wajah masam mencuka. Arrrgggghhhhhhhh.
Menguap kemain besar lagi.
Hakikatnya,
hidup saya dan ramai orang yang saya kenal tidak seperti yang sering kita
idam-idamkan seperti dalam drama TV, ya tak?
Menurut
laporan akhbar sebanyak 400,000 orang masih menganggur. Angka itu hampir
setengah juta.
Saya
harap kita sedar bahawa hidup ini bukan macam cerita Cinderella yang buka-buka
mata sahaja ada anak raja masuk meminang. Itulah hakikatnya.
Kita
perlu buat sesuatu. Jangan terus menunggu.
Hidup
ada asam garamnya, ada manis tebunya. Adakala kita senyum kegembiraan, ada
masanya kita sedih kedukaan. Ramai dalam kalangan kita bukanlah dibesarkan
dalam keluarga orang-orang besar yang mempunyai syarikat-syarikat besar.
Habis
sahaja belajar boleh terus kerja jadi orang kanan di syarikat besar Daddy.
Segala-galanya sudah siap disediakan. Pejabat, kereta, pembantu am (PA),
pelanggan pun sudah ada. Tak perlu susah-susah turun padang buat marketing dan sales.
Hidup
bukan sesenang dan seromantik seperti dalam-drama TV. Awal-awal pagi ketika
langit masih gelap, ada yang sudah mula memacak payung gerai di tepi jalan, ada
yang sudah bersesak di jalan raya dan pengangkutan awam dan ada yang sudah
menunggu depan pintu kedai menunggu pelanggan datang.
Hidup
kian mencabar dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. Pesaing pula semakin
kuat dan bertambah. Fikiran mula stres kebingungan. Namun, hidup perlu
diteruskan.
Kerana
itu sahaja jalan yang kita ada.
Zaman
sekarang ialah zaman di mana kita perlu cari peluang atau cipta peluang. Tiada
istilah tunggu peluang sebab kita bukannya anak menteri atau anak raja yang
berbondong-bondong orang nak harta kita.
Ada
yang dibesarkan dalam keluarga miskin, ada yang dibesarkan dalam keluarga
sederhana dan ada yang kaya. Ia tidak penting di mana kita bermula tetapi ia
amat penting di mana kita akan berakhir.
Tidak
kira siapa kita, setiap orang ada ceritanya yang tersendiri. Kita adalah hero
dalam filem kita tersendiri. Setiap hari, setiap jam dan setiap saat, kisah
hidup kita dirakam dan akan ditayangkan di akhirat kelak.
Jadi,
jadikan kisah hidup kita satu perjuangan hidup yang sangat bermakna dan mampu
menjadi inspirasi kepada ramai. Teruskan bermimpi agar impian tidak mati.
Teruskan berdoa dan berharap agar hati tidak mati. Teruskan langkah agar impian
menjadi pasti.
Ingat.
Jalan Terus!
Comments
Post a Comment