BELAJAR DARI UNIVERSITI KEHIDUPAN
“Kalau
hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja” - Hamka
Satu perkara yang mungkin mereka dan kita
terlupa akan kepentingannya dalam membina kehidupan ialah…
‘ILMU’
Keperluan ilmu adalah sangat penting pada
hari ini berbanding zaman sebelumnya. Selepas kita meninggalkan zaman industri,
kita sekarang berada di zaman informasi yang sentiasa bergerak laju ke hadapan.
Pergerakan yang begitu pantas inilah menyebabkan nilai bagi sesuatu ilmu itu
menjadi sangat tinggi. Jika tiada ilmu, maka kita akan ketinggalan.
Ramai yang mengejar gred akademik dengan cara
menghafal ayat-ayat buku, soalan bocor dan formula lalu dimuntahkannya kembali
di dalam dewan peperiksaan. Jika begini cara kita belajar maka percayalah masuk
tahun atau semester hadapan, apa yang kita hafal itu semua akan hilang.
Seseorang yang berilmu itu bukan diukur
dengan hanya sekadar menghafal teori-teori lama yang dipelajari di dalam kelas di
sekolah atau teori-teori di dalam kelas pengurusan di universiti semata-mata.
Dalam dunia keusahawanan. Usahawan dan bakal
usahawan perlu lebih didedahkan dengan ilmu-ilmu praktikal yang menjadi
keperluan semasa kita pada hari ini. Perlu dipastikan juga ilmu yang dipelajari
itu boleh dimanfaatkan dalam kehidupan. Dengan ilmulah seseorang itu akan lebih
berani ke hadapan.
Persoalan saya, adakah institusi pendidikan
hari ini sudah menyediakan persiapan yang cukup buat anak-anak muda bagi
menghadapai dunia yang sebenar? Dunia yang penuh dengan cabaran, godaan dan
kealpaan?
Sudah lengkapkah sistem pendidikan di sekolah
dan universiti untuk mempersiapkan anak-anak muda bagi mendepani dunia sebenar
yang kian lama kian mencabar? Sudah cemerlangkah sistem pendidikan kita dalam
membina pemikiran manusia yang berwawasan, emosi yang mantap dan kerohanian
yang suci?
Atau kita hanya sibuk membina generasi yang
mengejar sijil? Yang suatu hari nanti mereka akan mula sibuk menjaja diri
mereka dalam sektor-sektor swasta dan kerajaan? Jika tiada tawaran maka
pengangguran akan menjadi pilihan. Apa yang malang lagi adalah apabila mereka
membiarkan orang lain menentukan nilai diri sendiri dengan mengikut dan mempercayai
kata-kata orang lain berbanding kata-kata hati yang ingin mendorong dan
membangunkan diri.
Kita tidak boleh hanya bergantung kepada
ilmu-ilmu yang diajar di sekolah mahupun di universiti semata-mata untuk
berjaya di dunia dan akhirat. Hari ini kita perlukan ilmu-ilmu yang lebih
praktikal, ilmu yang boleh dimanfaatkan pada situasi kita sekarang, ilmu yang
mampu menjadi bekalan untuk seseorang itu membina sebuah kehidupan.
Namun ilmu semata-mata tidak mampu menjadikan
kita tahan lasak dengan sepak terajang ujian kehidupan. Elemen utama selepas
ilmu ialah elemen pentarbiyahan diri. Pentarbiyah atau dalam kata lain
‘latihan’ ialah elemen yang akan menguatkan diri seseorang itu saat diuji dan
kental jiwanya untuk berani melangkah kehadapan kembali.
Kita sebenarnya memerlukan ilmu-ilmu dan
pentarbiyahan kehidupan yang berjaya membentuk insan-insan luar biasa seperti
tokoh-tokoh Islam seperti Sultan Muhammad Al Fatih, Sultan Salahuddin Al Ayubi,
Ibnu Khaldun, Ibnu sina dan banyak lagi.
Kita perlu mencontohi tokoh-tokoh perniagaan
seperti Steve Job, Antony Robbin, Oprah Winfrey, J.K Rowling, Bill Gates, Tan
Sri Syed Mokhtar Bukhary, Sulaiman Ar Rajhi sebagai inspirasi dan panduan
membangunkan empayar perniagaan sendiri.
Kita juga perlu menjadikan pemimpin-pemimpin
kerohanian yang hebat seperti Sheikh Yusuf Al Qaradawi, Hassan Al Banna dan
Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz sebagai pedoman.
Ilmu dan pentarbiyahan ini tidak dapat kita
miliki daripada sistem pendidikan sekolah dan universiti yang sedia ada semata-mata
kerana banyaknya polisi dan silibus pendidikan hari ini dipegang ketat oleh
orang politik yang mempunyai kepentingan peribadi. Tetapi kita mampu
mempelajarinya melalui sistem pendidikan yang diatur oleh Allah s.w.t.
Sistem pendidikan yang mengajar kita erti
susah dan senang, cabaran dan dugaan, pemurah dan bakhil, bijak dan jahil,
melalui pengalaman sebenar dan kita merasainya melalui kehidupan. Maka, saya
namakan ia sebagai Universiti Kehidupan.
Realitinya, kita semua sedang melalui sebuah Universiti
Kehidupan. Sama ada seseorang itu sedar atau tidak, hidup ini ialah sebuah
‘universiti’ yang besar yang tiada sempadan. Tidak kiralah kita belajar di
UiTM, UTM, UTHM, UTP, UUM dan sebagainya. Hakikatnya anda, saya dan semua
berpijak di sebuah universiti yang sama iaitu Universiti Kehidupan.
Di Universiti Kehidupan inilah tokoh-tokoh
hebat yang saya nyatakan seperti di atas mendapat pendidikan utama mereka dan
berjaya. Kita juga mampu menjadi seperti mereka. Memiliki kejayaan hebat
seperti mereka. Tetapi, persoalannya ialah sanggupkah kita menempuhi
ujian-ujian dalam Universiti Kehidupan?
Di Universiti Kehidupan kita akan mempelajari
tentang dunia sebenar. Dunia yang penuh dengan pembelajaran, pengalaman dan
warna-warni kehidupan. Dunia yang kadang-kala bercanggah dengan logik akal.
Saya ingin mengucapkan selamat datang ke
Universiti Kehidupan.
Comments
Post a Comment