78% PENCARUM KWSP GAGAL MENYIMPAN
78% pencarum KWSP tiada simpanan yang mencukupi untuk hari tua |
Hanya 22 peratus daripada 6.7 juta pencarum aktif Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 54 tahun mempunyai simpanan yang
mencukupi sebanyak RM196,800 atau lebih untuk menampung kehidupan mereka
dalam tempoh persaraan.
Ketua Jabatan Pengurusan Strategi KWSP
Balqais Yusoff berkata, 78 peratus pencarum lagi tidak mempunyai asas
caruman mencukupi untuk tempoh persaraan mereka.
Sambil menyatakan
dari sudut pandangan KWSP bahawa realiti persaraan hari ini agak
menyedihkan, beliau berkata daripada 6.7 juta pencarum KWSP yang aktif,
65 peratus daripada mereka mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam
simpanan.
"Jadi,
ini bermakna, berdasarkan definisi kami, di mana pesara akan memerlukan
sekurang-kurangnya RM820 sebulan dalam tahun-tahun persaraan, mereka
yang mempunyai simpanan RM50,000 hanya boleh bertahan selama lima tahun
sebelum simpanan mereka kehabisan.
"Itupun jika mereka boleh
bertahan hidup dengan RM820 sebulan. Kita tahu RM820 itu tidak cukup, di
mana dengan jumlah itu hari ini, mungkin anda boleh berbelanja untuk
barangan runcit dan itulah realiti kehidupan hari ini," katanya kepada Bernama, di Petaling Jaya.
Balqais berkata, jumlah simpanan asas RM196,800 untuk persaraan dikira sebagai RM820 sebulan.
Beliau
berkata, pada hari ini KWSP mempunyai kira-kira 14.5 juta pencarum di
mana 6.7 juta yang menyumbang sekurang-kurangnya sekali setiap 12 bulan
dianggap sebagai pencarum aktif.
Katanya, struktur gaji yang
rendah di negara ini adalah penyumbang utama kepada keadaan itu, di mana
89 peratus daripada penduduk yang bekerja mendapat kurang daripada
RM5,000 yang diterjemahkan kepada kadar simpanan yang lebih rendah untuk
KWSP.
"Dari
segi kadar sumbangan, Malaysia adalah yang kelima tertinggi di dunia
dari segi simpanan mandatori. Namun disebabkan struktur gaji ia tidak
boleh diterjemahkan kepada bilangan simpanan yang tinggi," katanya.
Walaupun
struktur gaji merupakan satu isu, beliau menjelaskan beberapa langkah
telah diambil oleh kerajaan terutamanya dasar gaji minimum di mana
apabila kadar caruman dijajarkan dengan gaji minimum, keadaan itu akan
bertambah baik.
"Oleh itu, kita perlu sentiasa mengkaji semula
struktur gaji dan gaji minimum juga perlu dijajarkan dengan kos sara
hidup yang terus meningkat,"katanya.
-Bernama
Comments
Post a Comment