KENAPA ULAMA TIDAK SEKATA ISU HUDUD?
Kenapa umat Islam, hatta di kalangan
ulama-ulama terbuang di Malaysia, tidak bersependapat dan sepakat dalam
hal pelaksanaan hukum hudud? Malah mereka dilihat bertentangan antara
satu sama lain. Seolah-olah hukum hudud itu ada pilihan untuk
melaksanakannya atau tidak melaksanakannya. Berikutan kecelaruan itu,
apakah pandangan Dato' dalam
perkara ini?
Dato' Dr. Haron Din :
Berlainan dan percanggahan pendapat dalam Islam adalah perkara lumrah
dari dahulu hingga sekarang. Bagaimanapun perlulah diketahui bahawa
berlainan pendapat itu, ada yang diharuskan syarak dan ada yang
dilarang. Malah ada yang amat-amat dilarang.
Yang diharuskan adalah pada perkara-perkara/ furu'iyyah
(masalah-masalah cabang) yang tidak ada nas syarak yang memastikannya.
Adapun yang diharuskan berkhilaf, adalah pada ruang berijtihad pada
perkara yang ada tiada nas syarak, tidak ada ayat yang menetapkan
hukumnya. Lebih-lebih lagi pada perkara yang baru timbul, di mana tidak
pernah berlaku sebelum ini.
Contoh jelas yang diharuskan berkhilaf.
Seperti bila mana sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W tidak bersependapat,
sama ada hendak menghimpun dan menulis semula Al Quran. Abu Bakar As
Siddiq R.A berpendapat tidak boleh dibuat kerana Rasulullah S.A.W tidak
melakukannya dan tidak pernah ada suruhan melakukannya. Oleh kerana itu
beliau berpendapat, ia tidak boleh dilakukan. Manakala Umar Al Khattab
R.A berpendapat, perlu dilaksanakan usaha pengumpulan dan penulisan Al
Quran kerana dibimbangi akan hilang daripada hafalan ummah. Sebabnya
pernah berlaku, ramai penghafal Al Quran yang terkorban syahid. Generasi
kemudian akan kehilangan Al Quran. Setelah mereka bertelagah, akhirnya
mereka bersetuju perlu dihirnpun dan ditulis semula Al Quran.
Demikian juga mereka bertelagah dalam
memilih seorang ketua negara untuk menggantikan Rasulullah S.A.W, bagi
meneruskan pemerintahan Islam. Mereka bertelagah pada memilih orang,
yang akhirnya mereka bersetuju memilih Abu Bakar As Siddiq.
Dalam permasalahan hudud, perlu atau
tidak melaksanakannya, telah dijawab oleh amalan Rasulullah S.A.W, para
sahabat dan juga as-salafussoleh. Perlu melaksanakannya. Mereka tidak
pernah bertelingkah kerana wujud nas-nas syarak yang amat jelas,
menyuruh kita, khasnya pihak berkuasa agama, pada setiap generasi, pada
setiap negara, wajib melaksanakannya.
Sepatutnya tidak berlaku pertentangan
pendapat di kalangan ulama-ulama muktabar, khasnya ulama 'amilin (yang
beramal dengan ilmunya), jika kesemua mereka benar-benar takutkan Allah
dan melaksanakan perintah Allah. Bagaimanapun jika ada di kalangan
mereka, yang takut akan kehilangan maslahat keduniaan, daripada
kemurkaan Allah Taala dan azabnya, maka akan berlakulah apa yang anda
ajukan pada persoalan di atas, bahawa ada ulama bertelingkah.
Setiap satu dalam kesalahan hudud
(mencuri, merompak, berzina, menuduh zina, meminum arak, murtad)
semuanya telah ditetapkan Allah hukumannya di dalam Al Quran (dan terang
hukumnya) dan juga hadis-hadis sahih, maka pelaksanaannya adalah wajib.
Seperti Allah Taala memerintahkan kita melaksanakannya dalam perintah-Nya menerusi ayat (mafhumnya), "Dan
hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang
telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa
nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu
daripada sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.
Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka
ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah
daripada dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan daripada umat
manusia itu adalah orang-orang yang fasik". Surah Al Maidah:49
Di kalangan ulama-ulama muktabar tidak
berlaku khilaf dalam kewajipan melaksanakannya. Ini kerana
mempertikaikan kewajipannya, adalah bererti melawan dan mempertikaikan
hukum Allah yang sabit wajibnya. Jika berlaku demikian, maka bererti
mereka melawan hukum Allah. Mengendalakan hukum Allah, mempertikaikan
hukum Allah adalah menentang Allah. Firman Allah (mafhumnya), "Tidakkah
mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah)
Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam
serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang
besar". Surah At Taubah:63
Ayat-ayat yang sedemikian maksudnya, banyak berulang dalam al-Quran. Antaranya firman Allah (mafhumnya), "Orang-orang
yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, mereka tetap ditimpa
kehinaan sebagaimana orang-orang yang terdahulu daripada mereka ditimpa
kehinaan; kerana sesungguhnya Kami telah menurunkan
keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan bagi orang-orang yang kafir
disediakan azab seksa yang menghina.
"Sesungguhnya orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, mereka termasuk dalam golongan yang amat hina. Surah Al Mujadilah, ayat 5 dan ayat 20.
Ulama muktabar atau ilmuan yang
terbilang, tidak mungkin bertelingkah kerana mereka tahu akibat
penentangan itu akan menghadapi seksa Allah yang amat keras menunggu
mereka. Ada kalangan ulama yang menjadi ahli politik, menggunakan akal
pendek mereka dan menilai kepentingan dan pulangan-pulangan duniawi,
atau membela dan mempertahankan kedudukan, atau kepentingan-kepentingan
khusus, yang mereka berselindung di sebalik kalimah (bahasa) yang
seolah-olahnya mereka bukan menentang, tetapi sebenarnya menentang.
Ini kerana dalam hati mereka, mereka
tidak mahu melaksanakan hukuman hudud. Sebenarnya hukum-hukum hudud
tidak ada pilihan bagi kita, melainkan mencari jalan yang terbaik untuk
melaksanakannya, dan Mta sama-sama menggalas amanah untuk memahamkan
masyarakat tentang kebaikan hukuman itu, bagi dilaksanakan
sebaik-baiknya tanpa sebarang kecelaruan.
Comments
Post a Comment