Bedah Surah Al Shaff (Barisan)
Tulisan ini merupakan tafsiran Surah al Shaff, sebuah imbasan daripada karangan as Syahid Syed Qutb rahimahuLlah yang berjudul, 'Tafsir Fi Dzilal Al Quran',
sebuah tafsiran yang ditulisnya ketika beliau berada di jerjak penjara.
Surah al Shaff bertujuan memacak dua asas yang begitu jelas disebut di
samping
isyarat-isyarat lain yang turut disentuh sekitarnya. Iaitu :
PERTAMA : Bertujuan
memacakkan keyakinan di dalam diri setiap Muslim bahawa agama Islam
adalah satu agama dan manhaj Ilahi yang terakhir untuk manusia. Ia pula
telah didahului sebelumnya oleh beberapa bentuk manhaj yang bersesuaian
dengan tahap-tahap perkembangan sejarah dan pengalaman kehidupan manusia
yang dapat membina asas yang teguh untuk agama terakhir ini. Justeru
surah ini telah menyebut tentang risalah Nabi Musa A.S dan kaumnya yang
menyakiti dan menyeleweng daripadanya yang menamatkan kelayakan mereka
sebagai pemegang amanah risalah Allah di muka bumi ini.
Ia juga menyebut tentang risalah Nabi
Isa A.S termasuklah kedudukannya sebagai penyambung risalah Nabi Musa di
samping menjadi penyedia tapak dan pembawa khabar gembira kepada
kehadiran al Rasul dan risalah langit yang terakhir. Oleh itu, Baginda
Al Masih diutuskan untuk menyerahkan amanah ini kepada Nabi Muhammad
S.A.W. Takdir Allah menentukan bahawa perjalanan risalahNya sepanjang
zaman akhirnya berhenti dan terbina teguh di tangan Nabi Muhammad yang
mulia.
KEDUA : Di atas asas
yang pertama ini, terbina pula asas kedua yang ditekankan oleh surah ini
iaitu terbentuknya rasa tanggung jawab dan taklif yang berat yang perlu
dipikul oleh umat Islam yang menerima amanah agung tersebut daripada
umat-umat yang terdahulu. Ia lantas mendorong mereka untuk memasang niat
yang benar dan ikhlas kepada perjuangan menegakkan amanah ini. Ia tidak
ragu-ragu lagi bahkan menempelak sikap nifaq di dalam perjuangan.
Di pertengahan surah pula, Allah
mendorong seluruh warga iman untuk menyambut seruan kepada satu
perniagaan paling menguntungkan di dunia dan akhirat iaitu berjihad di
jalan Allah dengan seluruh jiwa dan raga.
Surah al Shaff diakhiri dengan ajakan
terhadap warga iman agar menjadi penolong dan pembantu kepada Allah
sebagaimana golongan Hawariyyun yang telah menyatakan kesanggupan mereka
di hadapan Nabi Isa AS sekalipun Baginda ditentang oleh Bani Israel
sendiri.
Inilah dua asas utama yang merangkum
segala isi di dalam surah al Shaff. Ia termasuklah kecaman terhadap
golongan yang menentang agama terakhir ini yang berusaha bermatian untuk
memadamkan cahayanya.
Maka adalah jelas di sisi seorang Muslim
bahawa agamanya adalah agama Allah yang terakhir. Dia terbeban dengan
amanah besar ini. Dia diwajibkan berjihad demi agamanya itu. Dia bahkan,
tidak boleh teragak-agak lagi. Akhlaknya adalah benar dan ikhlas. Tidak
boleh berkata apa yang dia sendiri tidak buat. Kata dan perbuatannya
adalah sama. Zahir dan batinnya adalah sama. Dirinya adalah dirinya
sepanjang masa tanpa nifaq dan ragu-ragu. Dia konsisten dalam perjuangan
dan keikhlasannya. Itulah akhlak yang agung.
"Segala yang ada di langit dan yang
ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
Surah al Shaff yang isi besarnya adalah
bertujuan memperteguhkan konsep amanah agung yang dibebankan ke atas
umat Islam ini telah dimulai dengan perkhabaran tentang kumat-kamit
tasbih dan kalimat-kalimat pujian dan penyucian oleh seluruh makhluk
Allah di langit dan bumi terhadapNya daripada sebarang kekurangan.
Ia adalah satu isyarat yang mengilhamkan
rasa kebersamaan di sisi umat Islam bahawa risalah Islam yang
dipikulnya itu adalah satu amanah kewujudan seluruhnya. Ia adalah satu
perjuangan menegakkan akidah isi alam seluruhnya dan kemenangannya
adalah kemenangan buat seluruh alam yang tunduk dan menuju kepada Allah,
Tuhan sekalian alam.
"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!"
"Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya"
"Sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang
teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh"
Kemudian Allah terus mengutuk keras
terhadap satu kejadian yang berlaku di kalangan satu kelompok umat Islam
yang dibenciNya iaitu kejadian menolak untuk melakukan perkara yang
mereka katakan.
Mengikut satu riwayat oleh Ali bin
Talhah daripada Ibnu Abbas bahawa segolongan orang beriman sebelum
diturunkan kefardhuan berjihad telah berangan-angan dan berkata, jikalah
Allah tunjukkan kepada mereka sebaik-baik amalan lalu mereka akan
segera beramal dengannya.Allah lalu mengkhabarkan NabiNya bahawa amal
yang terbaik adalah beriman denganNya tanpa ragu-ragu dan berjihad
menentang musuhNya. Tatkala diturunkan ayat jihad, segolongan mereka
menjadi keberatan dan membencinya. Allah memurkai sikap mereka lalu
menurunkan ayat di atas.
Ayat ini walaupun diturunkan di dalam
isu jihad, tetapi ia bukan khusus bertumpu kepada semata-mata soal
jihad, bahkan ia meluas dan merangkum ke semua aspek dan lapangan kerja
umat Islam bahawa Allah membenci dan memurkai sifat munafik yang
merosakkan binaan peribadi muslim yang mulia iaitu sifat benar di dalam
akhlak dan tingkah lakunya dan sentiasa sama di antara luar dan
dalamnya.Justeru ayat pertama bermula dengan kecaman terhadap satu sikap
yang keji iaitu berkata-kata terhadap perkara yang tidak dilakukan.
Ayat kedua kemudiannya menambahkan kepanasan kecaman itu dengan
membayangkan kemurkaanNya dengan kalimah 'al maqt' yang bermaksud kemarahan yang melampau.
Ayat ketiga seterusnya merujuk kepada kejadian asal yang dimurkai iaitu perihal menolak jihad di jalan Allah.
Ada tiga kesinambungan yang disebutkan
di dalam ayat perang itu. Ia bukan hanya perang, bahkan hendaklah di
jalan Allah. Ia pula hendaklah dalam satu saf dan jamaah. Ia juga
mestilah teguh, penuh konsisten dan istiqamah. Tiga ikatan yang
bersambungan inilah yang dimaksudkan dengan jihad yang disukai oleh
Allah.
Islam Membina Umat
Sesungguhnya Al Quran datang untuk
membina satu umat. Ia dibina untuk memikul amanat ugamanya di muka bumi.
Justeru ia membina peribadi dan peribadi itu dibina di dalam jamaah.
Pembinaan itu pula berlaku secara amalan dan praktikal dalam satu masa.
Maka Islam tidak tergambar kecuali di dalam satu ruang himpunan yang
tersusun, memiliki ikatan, peraturan dan tujuan iaitu membina manhaj
Ilahi di dalam diri dan masyarakat di muka bumi. Ia membina sebuah
masyarakat yang hidup, bergerak, bekerja dan menghasil produk kehidupan
yang membangunkan muka bumi di dalam hudud dan lingkungan manhaj Ilahi.
Islam, di sebalik kesungguhannya membina
peribadi, bukanlah agama untuk golongan yang suka menyendiri dan lari
daripada masyarakatnya. Sebaliknya, Islam datang untuk mentadbir
kehidupan dan menguruskannya. Maka pembinaan Islam terhadap diri dan
peribadi adalah menumpu kepada asas bahawa mereka mesti hidup di dalam
masyarakat dan bersama masyarakat menuju Allah dan manhajNya.
Itulah pembinaan di hari pertama dakwah
al Rasul bermula. Ia membina sebuah jamaah sahabat yang dipimpin oleh
ketaatan dan kepatuhan kepada ketua dan akhlak jamaah. Ia terbina lebih
awal sebelum terbinanya negara Islam di kota Madinah, bahkan ia
menjadiwasilah ke arah pembinaan negara Islam yang pertama itu.
Ketiga-tiga ayat di atas sebenarnya
menunjukkan berlakunya cernaan akhlak peribadi yang dibina di dalam
keperluan masyarakat dan jamaah. Ayat pertama dan kedua yang
menggambarkan kemurkaan Allah terhadap mulut yang terlalu mudah berkata
perkara yang tidak dilakukannya telah memperteguhkan keperluan pembinaan
sifat benar (al shidq) dan konsisten (al istiqamah). Tanda sifat jati
mukmin ini sebenarnya telah diulang berkali-kali oleh Allah dan Rasulnya
di dalam Al Quran dan Al Sunnah.
Tiga Pemerhatian
Ada tiga pemerhatian
yang perlu diketengahkan daripada ayat ketiga yang menyebut mengenai al
jihad: Perihal diri manusia yang kadang-kadang dilanda saat-saat
kelemahan. Tiada yang dapat menyelamatkannya selain pertolongan Allah
melalui tazkirah, taujihat dan tarbiyah yang berterusan.
Mengikut riwayat, mereka adalah
segolongan Muhajirin yang berangan-angan jikalau Allah memfardhukan
jihad perang semasa awal dakwah di kota Makkah, pasti mereka akan
menyahutnya. Tetapi sebaik Allah menurunkan kefardhuan jihad, sebahagian
mereka berundur ke belakang. Atau, mereka adalah golongan Ansar yang
berangan untuk mengetahui dan melakukan sebaik-baik amalan. Tetapi
apabila dikhabarkan bahawa ia adalah jihad, sebahagian mereka
membencinya pula.
Mereka adalah Para Sahabat yang di
sebalik kekuatan, turut terserlah kelemahan diri. Justeru adalah jelas
keperluan memahami diri (al nafs) dan kelemahannya agar difahami betapa
pentingnya pemerkasaan, pengukuhan, taujihat dan tarbiyah yang
berterusan terhadap diri. Perihal kesukaan Allah terhadap hamba-hambaNya
yang berjuang secara berjamaah di jalanNya. Arahan ini bagaikan satu
penawar untuk mencergaskan diri orang Mukmin untuk mara berjihad tanpa
rasa lemah dan malas.
Sesungguhnya Islam tidak menyukai perang
tetapi ia tetap mem-fardhukannya kerana keadaan yang memaksanya dan
matlamat kedatangannya yang agung. Dakwah ini walaupun serasi dan
menyambut segala keperluan dan kehendak fitrah kemanusiaan yang
sejahtera, tetapi ia memerlukan kekuatan yang hebat untuk diterima diri
manusia yang terpaksa bertembung dan berlawan dengan kelemahan dan
kejahilan diri di samping kedegilan untuk terus mengekalkan adat dan
warisan lama yang sesat.
Ia turut pula berhadapan kekuatan musuh
yang berhimpun untuk menentangnya demi mempertahankan
kelebihan-kelebihan yang dimiliki hasil kemenangan jahiliyah di dalam
kehidupan yang menolak agama dan fitrah.
Justeru amat jelas betapa gerombolan
iman memerlukan kekuatan yang akan menjaga dan mengawalnya daripada
serangan, bahkan mengalahkan tentera jahiliyah tersebut. Bahkan jelas
sekali, di saat tiada lagi wasilah selain perang, maka jihad adalah
kefardhuan yang tidak boleh dinafikan lagi haknya.
KETIGA : Perihal
keadaan jihad yang disukai Allah iaitu dalam keadaan tersusun dan bersaf
bagaikan sebuah bangunan yang teguh. Ia adalah kewajiban fardhiah dalam
bentuk jama'ie dalam jamaah yang tersusun. Ini kerana musuh yang
memerangi Islam bergerak dalam kekuatan jamaah.
Maka begitulah kekuatan Islam mestilah
kekuatan yang sama dan menandingi kekuatan musuh. Kemudian, tabiat agama
juga menuntut kemenangan secara jama'ie kerana ia membina masyarakat
dalam proses pemerintahan jamaie dan tunduk kepadanya. Islam tidak
terbina di atas kekuatan individu dan pemerintahan individu. Ia adalah
gambaran yang jauh daripada tabiat agama Islam.
Tasawwur yang tergambar daripada sebuah
binaan yang teguh yang di-tamsilkan oleh ayat ini melukiskan untuk umat
Islam gambaran tabiat agama mereka, menerangkan batu tanda perjalanan
dan tuntutan kesatuan dan kerja sama yang perlu diterapkan oleh mereka
di dalam kehidupan Islami. Mereka mestilah sering meneguhkan, menampal
kecacatan dan menyempurnakan binaan.
"Dan (ingatlah peristiwa) ketika
Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakiti
daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah
kepada kamu? Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka
sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat
hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk
kepada kaum yang fasik – derhaka"
"Dan (ingatlah juga peristiwa)
ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku
ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang
diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira
dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku –
bernama: Ahmad. Maka ketika ia datang kepada mereka membawa
keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: Ini ialah sihir
yang jelas nyata!"
Dua ayat ini menggambarkan kisah dan
peringkat perjalanan manhaj Ilahi yang penuh onak di dalam
risalah-risalah sebelum kedatangan Islam sebagai manhaj Ilahi yang
terakhir.
Pengkhianatan Bani Israel terhadap Nabi
Musa AS adalah pelbagai dan berpanjangan. Jihad Baginda pula di dalam
membetulkan dan memimpin mereka adalah sebuah jihad yang begitu sukar
dan memenatkan. Kisah-kisah Bani Israel yang berupa pengkhiatan yang
pelbagai dan jihad yang sukar itu disebut begitu banyak di dalam Al
Quran. Sila baca sejarah mereka di dalam al Quran.
Ayat di atas menyebut mengenai kata-kata
kecaman Nabi Musa terhadap tindakan mereka, tetapi dalam nada penuh
kelembutan. Malangnya, di sebalik segala usaha dan cara yang dikorbankan
demi umatnya, Bani Israel terus menyeleweng. Lalu Allah menambahkan
lagi penyelewengan mereka. Hati mereka diselewengkan sehingga tidak lagi
layak untuk memikul amanah ugama ini dek kesesatan mereka yang nyata.
Maka berakhirlah peranan agung mereka di muka bumi.
Kemudian datang pula Nabi Isa AS dengan
perkhabaran bahawa baginda adalah utusan Allah, bukan tuhan atau anak
tuhan dan bukan satu dalam tiga. Ia manhaj Ilahi yang membenarkan ajaran
Nabi Musa dan membawa khabar gembira mengenai kelahiran rasul agung
yang akan datang selepasnya bernama Ahmad.
Ia satu bentuk yang melukiskan talian
dakwah Ilahi yang saling mengikat dan serah menyerah amanat itu dari
satu risalah kepada risalah yang datang selepasnya. Ia manhaj Ilahi yang
satu pada asasnya dan pelbagai pada bentuknya berdasarkan persediaan
dan pengalaman manusia di zamannya yang berkembang sehingga akalnya
menjadi masak dan matang untuk sebuah syariat dan manhaj Allah yang
sempurna.
Perkhabaran gembira oleh Nabi Isa
terhadap kedatangan Nabi Muhammad adalah thabit dan pasti melalui nas Al
Quran ini. Ia tidak terikat dan merujuk kepada versi kitab-kitab Injil
yang berada di tangan penganut Kristian hari ini samada wujud sebutan
mengenai kedatangannya atau tidak. Ini kerana sejarah penulisan kitab
Injil yang penuh kekeliruan itu tidak melayakkannya untuk menjadi
rujukan dan pemutus di dalam urusan ini. Al Quran pula, ketuanannya
sebagai risalah Allah yang asli adalah jelas dan tiada syak lagi.
Justeru segala isinya adalah benar.
"Dan tidak ada yang lebih zalim
daripada orang yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, sedang
ia diajak kepada memeluk Islam; dan (ingatlah), Allah tidak memberi
hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim"
"Mereka sentiasa berusaha hendak
memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah
tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka
(akan yang demikian)"
"Dia lah yang telah mengutus
RasulNya (Muhammad S.A.W) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang
benar (agama Islam), supaya ia memenangkannya dan meninggikannya atas
segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya"
Tampak daripada kehadiran ayat-ayat di
atas selepas sebutan kisah Bani Israel bahawa ianya ditumpukan kepada
mereka yang menunggu, tetapi kemudiannya menolak secara keras berita
gembira kedatangan Rasul akhir zaman di samping penentangan dan tipu
daya berterusan mereka demi menyekat perkembangan dakwah Islam.
Bani Israel telah membina sikap memusuhi
dakwah baru ini dengan merancang segala usaha jahat dan memeranginya
dengan pelbagai cara. Ia terus berlangsung sejak awal kisah dakwah
sehinggalah hari ini tanpa pernah berhenti walau seketika. Mereka
menuduhnya sebagai perbuatan sihir yang nyata, tuduhan yang sama
dilakukan oleh golongan musyrikin tidak berkitab di kota Makkah.
Mereka memeranginya dengan menanam
bibit-bibit fitnah dan percakaran sesama sendiri di dalam kem tentera
Muslimin di Madinah. Mereka bekerja sama dengan golongan munafiqin,
bahkan dengan golongan musyrikin juga dengan mengkhianati janji dan
menyertai tentera musyrikin yang datang memerangi negara mereka sendiri
sebagaimana berlaku di dalam perang Ahzab.
Mereka mencetuskan dan menyebarkan
fitnah ke atas isteri Rasulullah SAW di tangan Abdullah bin Ubai, ke
atas Saidina Uthman di tangan Abdullah bin Saba' dan terus menerus
memerangi umat Islam dengan cerita-cerita Israeliyatyang dimasukkan ke
dalam sumber utama umat Islam. Ia terus berlangsung sehingga abad akhir
kini. Gerakan Zionis dan kristianisasi antarabangsa bersatu melakukan
tipu daya memerangi Islam. Di Timur, tercetus perang salib yang panjang
manakala di Barat mereka memeranginya di Andalus dan akhirnya mereka
masuk ke tengah dan menghancurkan kerajaan khilafah yang terakhir di
Turki.
Pada kandungan ayat 8 menggambarkan satu
hakikat dan melukiskan satu gambaran persendaan terhadap golongan musuh
Islam. Mereka melakukan tuduhan bahawa al Rasul dan dakwahnya adalah
sihir. Mereka lalu berusaha keras menikam dan melakukan segala tipu daya
untuk membunuh agama Islam dan memadamkan cahayanya.
Alangkah memalukan dan alangkah lemahnya
mereka di hadapan sebuah agama yang Allahlah pemiliknya dan penyempurna
kepada kesudahannya yang agung. Benarlah janji Allah. Dia
menyempurnakan agamaNya di dalam hayat Baginda SAW. Dia membina sebuah
jamaah Muslimah yang begitu sempurna yang menayangkan satu gambaran
masyarakat agung yang jelas dan hidup untuk generasi selepasnya.
Dia menyempurnakan agamaNya dan
nikmatNya ke atas umat Islam. Mereka mencintainya, berjuang di jalannya
dan setiap mereka lebih rela dicampak ke dalam api yang panas demi
mempertahan dan menikmati keagungan agamaNya itu. Bagaimanakah
digambarkan cahaya Allah mampu dihembus mati oleh hembusan dari
mulut-mulut manusia?
Terjadilah takdir dan ketentuan Allah
Yang Maha Agung bahawa agama Islam akhirnya memperolehi kemenangan di
atas muka bumi ini. Persaksian Allah adalah jelas bahawa agama ini
adalah petunjuk dan agama yang benar (al huda dan din al haq). Ia adalah kata putus. Ia hujah sepanjang zaman yang menolak seluruh agama lain ke hujung yang kelam.
Agama-agama langit telah diselewengkan
dan jika ada secalit yang kekal, maka ia sudah tidak sesuai lagi untuk
memandu kehidupan manusia baru yang telah mencapai puncak kematangan. Ia
syariat lama yang telah dihakis masanya untuk berperanan.
Ada pun agama-agama berhala yang lain,
Islam datang dengan hujah keesaan Allah yang cukup jelas bagai sinaran
suria yang menerangi.Adapun secara realitinya pula, telah jelas
penyempurnaan Allah terhadap agama dengan kemenangan-kemenangan yang
dicapai oleh agamaNya sehingga terus tersebar ke serata alam samada
melalui jihad di tanah yang keras atau melalui dakwah yang aman di tanah
yang lembut.Bahkan melalui dakwah aman di sebelah Timur, Islam telah
dianuti oleh penduduknya berganda-ganda berbanding jumlah penganutnya
pada jihadnya yang pertama.
Ayat-ayat di atas hakikatnya telah
menjadi pendorong utama kepada umat Islam sepanjang zaman untuk terus
memikul amanah yang telah gagal disempurnakan oleh Yahudi dan Nasrani.
Ia membina ketenangan dengan janji daripada Allah. Tiadalah mereka
selain menjadi alat kepada janji Allah Yang Maha Esa.
"Wahai orang-orang yang beriman!
Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu
dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?"
"Iaitu, kamu beriman kepada Allah
dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah
dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik
bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)"
"(Dengan itu) Allah akan
mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di
tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga Adn. Itulah kemenangan yang
besar"
"Dan ada lagi limpah kurnia yang
kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa
berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada
orang-orang yang beriman"
"Wahai orang-orang yang beriman!
Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan
penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada
penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam
perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka
menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak
berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israel beriman, dan
sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada
orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah
mereka orang-orang yang menang"
Di bawah lembayung kisah akidah dan
pertentangannya yang berterusan dengan musuh, Al Quran bergema dengan
seruan indah ke atas seluruh orang yang beriman kepada satu perniagaan
paling menguntungkan di dunia dan akhirat iaitu perniagaan iman kepada
Allah dan berjihad di jalanNya. Dengan pelbagai keindahan bentuk dan
lenggok bahasa yang digunakan, ia jelas bertujuan menetapkan satu seruan
yang mesti disahut oleh orang-orang yang beriman. Ia bermula dengan
seruan khusus terhadap orang-orang beriman dan disusuli dengan tawaran
dalam nada pertanyaan daripada Allah sendiri yang mendorong mereka untuk
menyahut seruan itu.
Siapakah yang tidak merindui seruan
daripada Allah yang menunjuki kepada sebuah perniagaan yang paling
menguntungkan?Kemudian, pertanyaan yang begitu diharapkan jawaban segera
itu lantas diperolehi tanpa lengah-lengah, saat seluruh pendengaran
orang-orang yang beriman tertumpu kepadanya.
"...Kamu beriman kepada Allah dan RasulNya". Itu debaran pertama dan sesungguhnya mereka telah beriman kepada Allah dan RasulNya itu.
Kemudian debaran kedua yang menjadi topik segera menyusul, "...Dan kamu berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri kamu".
Kalimah Allah diulang-ulang agar hati mereka menjadi segar dengan janji
tuhan yang agung. Kemudian diikuti dengan janji keelokan dan kebaikan, "...Itu adalah lebih baik untuk kamu jika sekiranya kamu mengetahui".
Allah lalu menambahkan kejelasan maksud kebaikan yang dijanjikan itu. "Dia mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurgaNya yang mengalir...".
Sesungguhnya ia adalah benar-benar satu perniagaan yang paling
menguntungkan. Hayat yang pendek di dunia ini digantikan dengan
kehidupan mewah yang abadi di akhirat nanti.
Tetapi kelebihan Allah amat besar. Dia
maha mengetahui bahawa jiwa manusia itu lebih melekat kepada janji yang
lebih dekat. Allah lalu menyahut keinginan hambaNya dengan janji yang
lebih dekat, iaitu pertolongan daripadaNya dan kemenangan agamaNya yang
dekat di dunia ini.
Di sini keuntungan perniagaan mencapai
kemuncaknya. Ia hanya mampu datang daripada Allah yang takkan kering
khazanahNya yang luas.Sesungguhnya manusia yang beriman yang memahami
hakikat iman kepada Allah dan hidup dengan hatinya yang segar, kemudian
dia melihat kepada sempitnya dunia dan ajal umurnya sudah pasti tidak
mampu hidup walau sesaat tanpa iman yang agung ini. Ia tidak mungkin
lagi ragu-ragu untuk berjihad di jalan demi menegakkan akidahnya itu dan
menanti janji agung Tuhannya.
Tetapi Allah Maha Mengetahui bahawa jiwa
itu kadang-kadang dirundung rasa lemah dan lelah. Semangat boleh
menjunam dan rasa ingin selamat kadang-kadang mendorong diri untuk
berpuas hati dengan realiti kelemahan yang ada. Justeru Allah
menyudahkan surah ini dengan satu seruan baru yang membawa kepada rasa
yang baru, tolakan yang baru dan isyarat yang baru.
"Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu pembantu Allah sebagaimana golongan Hawariyyun...",
Hawariyyun adalah murid-murid kepada Nabi Isa A.S. Di mana lagi tempat
yang lebih tinggi berbanding kedudukan sebagai pembantu Allah?
Inilah janji yang lebih tinggi daripada
janji syurga dan kenikmatannya. Jadilah pembantu Allah. Perolehilah
kemuliaan besar ini. Pengajaran adalah jelas bahawa seruan di dalam ayat
di atas adalah demi membangkitkan jiwa orang-orang yang beriman dengan
Allah yang diamanahkan untuk memikul beban dakwah ini agar terus
bersedia dan siap siaga di dalam menolong Allah dan agamaNya.
Pusingan akhir ini turut berakhir dengan
janji kemenangan dan sokongan Allah terhadap mereka yang menyahut
seruan iman ke atas musuh mereka. Kemenangan akhirnya adalah menjadi
milik pembantu Allah yang beriman.
Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Pengerusi Akademi Tarbiyah DPPM
Comments
Post a Comment