Impak GST Terhadap Kewangan Negara
Apa yang saya kongsikan pada artikel ini adalah pandangan daripada Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman. Saya secara peribadi setuju dengan pandangan beliau berkenaan GST. Isu GST wajar dibincangkan agar rakyat cakna akan dasar negara baru yang bakal memberi impak dalam kehidupan kita hari ini. Lebih-lebih lagi, faktor ini melibatkan soal kewangan kita. Halal dan haram juga tidak terlepas dari skop perbincangan. Selamat membaca....
Cukai, GST, Amanah & Hukum Islam
Sewaktu saya menulis artikel
ini, GST telah pun diluluskan oleh kerajaan dan parlimen Malaysia dengan undi
majoriti ahli dewan rakyat. Namun apa pula sebenarnya pandangan ahli fiqh dan
ulama berkenaannya?. Banyak perbincangan timbul berkenaan cukai lantaran
pengumuman kerajaan untuk memperkenalkan Goods and Service Tax (GST) bermula
April 2015 nanti. Tidak kurang juga yang mengulas berkaitan hukum GST terbabit,
ada yang mendakwanya haram secara mutlaq (total), ada juga yang menganggapnya
haram kerana sebab-sebab lain dan sebagainya. Ada pula yang menyebutnya sebagai
harus lagi halal. Menteri Agama pula menyatakan tiada keperluan untuk
membincangkan hukum GST di peringkat Majlis Fatwa.
HUKUM KERAJAAN MENGENAKAN CUKAI
Penulisan ringkas ini akan
berkongsi persoalan cukai menurut ahli fiqh Islam berdasarkan ijtihad
masing-masing. Secara umumnya, para ulama fiqh terbahagi kepada tiga kumpulan
dalam menentukan hukum kerajaan mengenakan cukai. Ia seperti berikut:-
1. Haramnya cukai secara mutlaq.
Mereka berhujjah berdasarkan
dalil :
a. Firman Allah
swt dalam surah Al-Baqarah ayat 188 yang mengharamkan memakan harta sesama
manusia secara bathil.
Justeru, pungutan cukai
dianggap tergolong dalam pendapatan yang bathil kerana tanpa rela dan keperluan
mendesak.
b. Sabdaan Nabi
sallaallahu ‘alaihi wasallam yang menyebut
أَلَا لا تَظْلِموا, أَلَا لا يَحِلُّ مالُ
امرِىءٍ إلا بِطِيبِ نفسٍ منه
Ertinya : Janganlah kami
menzalimi dan tiada halal harta seseorang muslim yang (diambil) tanpa disertai rela dan izin dari pemiliknya. ( Riwayat Ahmad : hadis sohih)
Justeru, mengambil cukai dari
rakyat sedang rakyat tidak rela disebabkan pendapatan kerajaan yang mewah
adalah tiada halal.
c. Sabda Nabi sallaallahu ‘alaihi
wasallam
فوالذي نفسي بيدِه
! لقد تابت توبةً ، لو تابها صاحبُ مُكْسٍ لغُفِرَ
لهُ
Ertinya : Telah datang kepada
Nabi seorang wanita yang berzina yang ingin dilaksanakan hukuman had ke atasnya
tetapi baginda menjawab, “Demi jiwaku pada tangan Allah, seseungguhnya wanita
itu telah bertaubat yangsekiranya seorang pemungut cukai bertaubat juga akan
diampunkan baginya. ( Riwayat Muslim : Sohih)
Justeru, pemungut cukai adalah
haram kerana itu baginda Nabi menyebut ‘bertaubat’ menunjukkan ianya berdosa.
d. Nabi bersabda :
إنَّ صاحبَ المَكْسِ في النارِ
Ertinya :Sesungguhnya penguasa
yang mengenakan ‘Maks’ (sebahagian menterjemahkannya sebagai cukai) adalah di
dalam neraka. ( Riwayat Ahmad : Sohih menurut Al-Suyuti)
2. Harus secara
sementara waktu ke atas si kaya pada
kadar tertentu di musim wujudnya keperluan.
a. Dalil mereka
: Sabda Nabi ;
إنَّ في المالِ لَحَقًّا سِوَى الزكاةِ
Ertinya : sesungguhnya pada
harta itu ada kewajiban lain selain zakat (Riwayat At-Tirmidzi : Dhoif menurut
Al-Suyuti, Albani, )
b. Berlandaskan
Siyasah Syari’iyyah yang digubal berdasarkan keperluan semasa. Sebagaimana
fatwa Imam Malik yang berkata :
Ertinya: Wajib ke atas orang
ramai menebus tawanan perang mereka walaupun mereka terpaksa menggunakan harta
mereka sendiri (Ahkam al-Quran, Ibn Arabi, 60/1). Imam Al-Qurtubi juga
menguatkan hal ini dengan katanya “Sepakat ulama apabila wujudnya keperluan untuk
kaum muslimin dalam sesebuah Negara iaitu selepas digunakan wang zakat dari
baitul mal maka wajib pula dibantu dengan menyalurkan wang (dari cukai rakyat).
( Tafsir Al-Qurtubi, 2/223). Hal ini juga ditegaskan oleh Imam Al-Syatibi dalam
kitabnya al-I’tisom. Imam Al-Ghazzali juga menyatakan yang sam apabila dia
menyebut:-
Ertinya “Apabila sudah
kosong milikan Negara dari harta, dan tiada lagi
harta awam yang boleh memenuhi keperluan tentera, sehingga jika tentera
terpaksa bekerja lain bagi mendapatkan pendapatan dan meninggalkan tugasan
tentera, maka dibimbangi masuknya musuh ke neraka umat Islam atau pemberontakan
fitnah, maka haruslah bagi pemerintah mengenakan kepada si kaya kadar (cukai)
bagi memenuhi keperluan tentera. ( Al-Mustasfa, 1/426)
Namun, konteks fatwa ini
kelihatan tidak begitu menepati situasi Malaysia kerana negara kita masih tidak
sampai ke tahap tersebut.
3. Harus mengenakan cukai pada
sekadar memenuhi maslahat umum pentadbiran Negara.
Pendapat ini dipegang oleh
Sheikh Mahmud Syaltut, (Al-Fatawa al-Kubra, hlm 116), begitu juga Sheikh Abu
a’la al-Mawdudi yang menyatakan, harus dikenakan cukai jika wang bayaran cukai
itu adalah bagi kemaslahatan awam. (Nazariyat al-Islam, hlm 313). Sheikh Dr.
Yusuf Al-Qaradawi juga berijtihad harus dikenakan cukai bagi kemaslahatan awam
sambil mengatakan perkataan ‘Maks’ di dalam hadis ancaman neraka itu oleh Nabi
s.a.w itu membawa maksud khusus iaitu
التي يفرضها بعض الحكام توسعة على أنفسهم وأتباعهم وتضييقا على
شعوبهم
Ertinya : iaitu jenis cukai
yang difardhukan oleh sebahagian pemerintah untuk bersenang-senang mereka
dengannya dan penyokong mereka walaupun menyempitkan rakyat mereka. ( Fiqh
al-Zakat, Qaradawi, 2/987)
Prof. Dr Ali Muhydin Al-Qurrah
Daghi menyatakan Ini juga merujuk kepada sebahagian cukai yang dikenakan
di zaman pemerintahan awal Islam seperti AL-KHARRAJ (cukai tanah), AL-'USHUR (
cukai perniagaan 10 % ke atas perniagaan non muslim) dan AL-JIZYAH (cukai
individu) . Kesemua cukai ini digunakan sebaikanya untuk kepentingan dan
kebaikan rakyat.
TARJIH PANDANGAN
Penulisan ringkas ini tidak
mampu untuk membuat tarjihan pendapat yang terkuat secara komprehensif, namun
secara umumnya perbincangan hukum cukai dalam Islam tidak dapat lari dari menimbang
di antara maslahat kebaikan dan kemudaratan darinya. Walaupun sewaktu wujudnya
dalil-dalil berkaitan cukai, namun menurut majoriti ulama’, nas yang berkait
dengan urusan siyasah dan pentadbiran mesti dilihat kepada ‘illah atau sebab
utamanya ianya disebutkan oleh Nabi s.a.w. Melhat kepada objektifnya iaitu
membawa lebih kebaikan berbanding kemudaratan. Beberapa jenis hukum dalam
urusan muamalat boleh berubah dengan berubahnya masa dan zaman serta keperluan.
Namun apapun, kaedah fiqh ada
menyatakan “Menolak Keburukan didahulukan dari Membawa Kebaikan (tambahan)”.
Justeru, jika benar tanpa GST atau cukai jualan dan servis, maka ini ekonomi
negara bakal terancam, kelangsungan Negara menjadi longgar, tatkala itu cukai
boleh berubah menjadi harus dan hal ini boleh dinilai dari masa ke semasa.
Sebahagian ahli ekonomi
menyimpulkan cukai GST mampu membawa kestabilan fiskal dalam kewangan negara
dan keutuhan pendapatan kerajaan. Manakala sebahagian yang lain menyatakan
cukai hanya menyebabkan inflasi semakin sukar dikawal, kenaikan harga dalam
majoriti barangan yang akhirnya membawa kesan buruk kepada hampir semua kelas
pendapatan rakyat khususnya yang berpendapatan sederhana dan rendah. Disebabkan
harga barang menjadi menaik, kuasa beli dan nilai matawang menjadi turun.
Cukai seperti ini mungkin
sangat releven bagi sesebuah negara yang belum memperkenalkannya khususnya
seperti cukai pendapatan, korporat dan sebagainya. Namun, memperkenalkan cukai
baru sedangkan kantung kewangan negara masih utuh dan perbelanjaan awam masih
boleh dikawal dan diperbetulkan, sudah tentu lebih cenderung hukumnya kepada
HARAM, kecuali jika ia bersifat sementara sebagaimana fatwa kumpulan kedua
ulama.
Negara Malaysia yang telah
sedia ada cukai jualan dan servis sejak beberapa puluh tahun lepas, namun untuk
meniadakannya secara drastik bakal menyaksikan kekalutan pengurusan kewangan,
pentadbir awam dan negara berada dalam kesukaran yang dibimbangi membawa lebih
mudarat berbanding manfaat. Jika hukum haram yang ingin dipegang sebagai
terkuat, maka sejak berpuluh tahun sebelum ini cukai ini sudah haram dan patut
ditegaskan agar tidak perlu dibayar serta jangan dibayar. Bukanlah sekarang
masanya untuk terus menolak cukai secara sepenuhnya.
Berkenaan GST pula, jika mampu
dibuktikan sebagai penyusunan semula metode cukai dan seterusnya mampu diurus
dengan lebih baik, telus dan lebih kurang menekan berbanding sistem percukaian
cukai jualan dan khidmat sebelum ini, maka saya rasakan GST boleh disokong
pelaksanaannya atas dasar, mengambil kaedah Fiqh iaitu mengambil yang kurang
mudarat di antara dua kemudaratan.
ANTARA SYARAT
Namun tentunya, keharusan
berdasarkan pertimbangan kaedah “yang kurang mudarat dari dua mudarat” ini
mestilah diikat dengan beberapa perkara antaranya seperti :-
a.
Kadar 6 % patut dimulakan dengan lebih rendah agar tidak berlaku
sebarang perubahan drastik terhadap peniaga dan rakyat. Mungkin kadar 3 % lebih
sesuai sebagai permulaan.
b.
Sebarang ketirisan dan kelemahan pengurusan hasil kewangan oleh
kementerian yang dibuktikan oleh Jabatan Audit Negara mestilah dikenakan
tindakan keras dan segera bagi memastikan setiap hasil cukai yang diterima
tidak disalahgunakan oleh pentadbir awam dan ahli politik yang berkuasa. Kita
tidak mahu laporan kelemahan dan salah urus tadbir kewangan yang didedahkan
Jabatan Audit Negara pada setiap tahun menjadi hanya bebelan awam secara
berkala tanpa sebarang tindakan jitu.
c.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia patut diberi kuasa dan
kemampuan pendakwaan dengan lebih berkesan agar tiada peniaga yang mampu lari
dari GST atau tiada pegawai awam boleh memanipulasi pelaksanaan GST untuk
kepentingan mereka.
d.
Pihak KPDNKK mestilah mempunyai mekanisme terbaik dan jitu dengan
jumlah pegawai yang mencukupi bagi menangani kenaikan harga yang disengajakan
oleh peniaga sejurus GST dikuatkuasakan.
e.
Peruntukan bajet kepada semua kementerian yang BELUM digunakan
sewajarnya dilaporkan semula dalam bajet tahun berikutnya. Jangan dipaksa
sesebuah jabatan atau kementerian menghabiskan wang peruntukan sehingga
sebahagian mereka ‘terpaksa’ menghabiskannya kepada perkara yang sia-sia
dan merugikan rakyat serta pecah amanah.
Pada waktu beberapa perkara
utama ini gagal dipastikan dan jika kemudaratan pula bertambah ke atas peniaga
dan rakyat, tatkala itu, pihak yang mengharuskan GST dikira telah membuat
keputusan yang memudaratkan ahli negara dan rakyatnya, itu tidak lain membawa
kepada dosa dan pengabaian amanah. Wallahu’alam.
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Presiden MURSHID
www.murshid.my
9 April 2014
Comments
Post a Comment