Pendirian Mahasiswa Dalam Serangan Israel
GAZA
dan Palestin terus diserang, selepas serangan demi serangan berlangsung sejak
1948 sehingga kembali meletus sejak Rabu (14 Nov.) lepas. Israel yang
bertanggungjawab ke atas serangan ini terus rakus bertindak di luar batas
kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa demi menjayakan agenda pembentukan
wilayah Israel raya. Amerika Syarikat (AS) pasti sekali. bersekutu dan
berkerjasama dalam hal ini demi memastikan kepentingannya terpelihara.
Terbaru, Israel telah menyatakan komitmennya untuk melancarkan
serangan ke atas hampir 1000 sasaran melibatkan pejabat, rumah pejuang dan
pusat ketenteraan HAMAS di Gaza. Dalam serangan sejak Rabu lalu itu, kini telah
mengorbankan lebih 50 orang penduduk Gaza dan ratusan yang lain cedera teruk.
Gaza kini berada dalam keadaan yang sangat kritikal. Dengan
bilangan penduduk mencecah 1.7 juta orang di dalam kawasan berkeluasan 140
miles persegi menjadikan Gaza sebagai salah satu tempat paling padat di dunia.
Lebih 10% kanak-kanak berusia dalam lingkungan 5 tahun terbantut tumbesaran
mereka, lebih 30% hidup tanpa pekerjaan, setiap 1 daripada 5 kanak-kanaknya
mengalami Post-Traumatic Stress Disorder, 45% rakyatnya hidup di bawah paras
kemiskinan, hak asasi mereka khususnya makanan dan tempat tinggal diragut kejam
oleh perbuatan durjana tentera Israel.
Perkembangan terkini ini sangat membimbangkan. Israel dan
sekutunya tidak mustahil akan melakukan seperti dalam 'Six Days War' pada tahun
1967 sehingga terjajahnya sebahagian besar bumi Palestin, semenanjung Sinai dan
Bukit Golan, atau juga 'Operation Cast Lead' pada tahun 2008 yang mengorbankan
lebih 1000 orang penduduk Gaza, bahkan mereka pasti bersiap siaga untuk
melakukan lebih daripada itu. Jika tiada peranan masyarakat dunia,
negara-negara umat Islam yang berjiran dengan Palestin, dan pertubuhan-pertubuhan
antarabangsa untuk membendung konflik ini, perang besar pasti akan meletus
lagi.
Alhamdulillah, pelbagai pihak telah memainkan peranan
masing-masing. Di peringat antarabangsa, kebijakan dan komitmen Mesir dan Turki
dalam menangani krisis ini amat diharapkan oleh muslim seluruh dunia. Liga
Arab, OIC dan EU perlu lebih tegas dan melakukan tindakan secara lebih
komprehensif dan kolektif. PBB pula mesti bersikap adil menjalankan fungsinya
dan tidak menjadi budak suruhan Israel dan AS dengan tunduk kepada kemahuan
mereka bersandar kepada alasan "...hak dan tanggungjawab Israel untuk
melindungi rakyatnya...". Di Malaysia pula, kerajaan, parti politik, NGO
Islam, pertubuhan hak asasi manusia, media dan masyarakat perlu berpakat
berpadu tenaga menyelamatkan warga Gaza dan tanah air Palestin.
InsyaAllah, GAMIS dengan upaya yang ada akan turut serta
berpartisipasi menangani isu ini khususnya dalam memberi kefahaman dan maklumat
semasa kepada masyarakat, dan akan mengadakan pertemuan serta kerjasama dengan
pelbagai pihak untuk mengatur tindakan yang lebih efektif. Selepas mengadakan
pertemuan dengan duta Mesir Jumaat lalu, Selasa ini GAMIS akan bertemu pula
dengan duta Turki untuk mendapat maklum balas terkini perkembangan peranan
Turki dalam isu ini dan juga bertujuan untuk menyerahkan beberapa cadangan
kepada pihak kedutaan. Rabu ini pula GAMIS bercadang untuk mengadakan piket
mega di hadapan pejabat United Nations (UN) di Kuala Lumpur.
Meneliti sejarah panjang Gaza dan Palestin ini, GAMIS yakin dan
percaya bahawa pendekatan 'two state solution' pun tidak mampu mengembalikan
keamanan di wilayah yang telah bergolak sejak berabad lamanya ini. GAMIS
menyokong penuh perjuangan HAMAS dan rakyat Palestin untuk terus berurusan
dengan Israel dengan 'bahasa darah'. HAMAS dan rakyat Palestin pasti sekali
akan mendapat salah satu dari dua kemuliaan; menang atau mati syahid.
Allahuakbar.
AZAN SAFAR
Presiden GAMIS
(Gabungan Mahasiswa Islam seMalaysia)
Comments
Post a Comment